Penggunaan Ubat-ubatan Secara Selamat Ketika Banjir- Norvena Hisyam

Musim tengkujuh datang lagi.

Media perdana dan laman-laman sosial giat memaparkan status terkini mangsa-mangsa yang terlibat dengan bencana ini. Kami melahirkan rasa simpati kepada ahli masyarakat yang terlibat terutama di kawasan Pantai Timur.

ubatBeberapa garis panduan menghadapi banjir telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai persiapan kepada anggota kesihatan yang terlibat. Walau bagaimanapun, para pesakit dan juga ahli keluarga perlulah mengambil inisiatif bagi memastikan penggunaan ubat-ubatan secara selamat ketika banjir.

Antara panduan umum yang boleh diikuti ialah seperti berikut :

  1. Menyimpan ubat di dalam plastik dan kalis air (ziplock bag). Ia mudah didapati di kebanyakan pasaraya. Sebagai langkah berjaga-jaga, pastikan plastik sentiasa dizipkan.
  1. Label ubat tidak dibuang bagi mengelakkan kekeliruan semasa mengambil ubat.
  1. Insulin yang belum digunakan perlu disimpan pada suhu 2-8 darjah Celcius. Sekiranya tidak dapat berbuat demikian, catat tarikh insulin dikeluarkan dari peti sejuk dan simpan pada suhu bilik. Insulin tersebut boleh digunakan dalam tempoh 4 minggu. Sekiranya berlebihan, pulangkan insulin yang telah luput kepada farmasi bagi tujuan perlupusan.
  1. Pastikan preskripsi ubat dibawa ketika berpindah ke pusat pemindahan banjir. Ia bagi memudahkan anggota kesihatan mengenalpasti ubat-ubatan yang diambil oleh pesakit. Ia adalah dokumen terpenting bagi setiap pesakit.
  1. Kenal pasti ubat-ubatan anda. Berkongsi ubat-ubatan dengan pesakit lain adalah tidak digalakkan.
  1. Sekiranya ragu-ragu akan keadaan ubat-ubatan yang telah terdedah dengan air banjir, dapatkan kepastian daripada anggota kesihatan sebelum menggunakan ubat tersebut.
  1. Jika anda menerima rawatan akibat penyakit bawaan air, maklumkan jenis ubat-ubatan yang sedang diambil bagi mengelakkan interaksi ubat-ubatan.
  1. Semasa berada di pusat pemindahan banjir, pastikan ubat-ubatan disimpan jauh dari capaian kanak-kanak.
  1. Patuhi jadual pengambilan ubat dan pastikan pemantauan rawatan tidak diabaikan.

Ahli keluarga perlu sentiasa mengingatkan pesakit agar tidak mengabaikan pengambilan ubat-ubatan semasa musim banjir. Harta yang paling bernilai ialah kesihatan diri. Lindunginya sebagai mana anda melindungi harta benda anda.

Norvena merupakan seorang Pegawai Farmasi di Bahagian Perkhidmatan Farmasi Melaka.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box