Penggunaan Kertas Surat Khabar untuk Membungkus & Menyediakan Makanan – KKM

Sumber: The Star Online

Sumber: The Star Online

Kementerian Kesihatan mengambil maklum bahawa masih terdapat pengendali makanan menggunakan kertas surat khabar yang bersentuhan secara langsung dengan makanan sedia dimakan seperti untuk membungkus makanan, menutup makanan atau untuk menyerap minyak daripada makanan.

Di bawah Peraturan 35, Peraturan-Peraturan  Kebersihan  Makanan  2009, seseorang pengendali makanan hendaklah mengendalikan makanan dan menggunakan perkakas makanan dan bekas makanan tanpa bersentuhan secara langsung dengan apa-apa benda atau bahan yang boleh mencemarkan makanan itu. Selain daripada itu, di bawah Peraturan 36, Peraturan-Peraturan  Kebersihan  Makanan  2009, pengendali makanan yang menyediakan, membungkus atau menghidang makanan untuk dijual hendaklah:

  • Memastikan penyediaan, pembungkusan atau penghidangan makanan adalah bebas daripada apa-apa pencemaran;
  • Memastikan pembungkus makanan menyediakan perlindungan yang secukupnya  untuk hasil makanan bagi meminimumkan pencemaran dan mengelakkan kerosakan kepada hasil makanan itu; dan
  • Memastikan bahan pembungkus makanan bukan toksik dan cukup kuat untuk menahan koyak dan bocor;

Kegagalan untuk mematuhi peraturan tersebut merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi dua (2) tahun.

Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan hanya membenarkan penggunaan kertas surat khabar untuk membungkus dan menyedia makanan dengan syarat-syarat berikut:

  • Kertas surat khabar hanya boleh digunakan sebagai lapisan kedua untuk membungkus makanan yang sedia dimakan dan tidak bersentuhan secara langsung dengan makanan sedia dimakan. Bahan pembungkus seperti plastik (lutsinar) atau daun pisang hendaklah digunakan sebagai lapisan pertama yang melindungi sepenuhnya makanan tersebut daripada bersentuhan secara langsung dengan kertas surat khabar. Lapisan  pertama  ini  hendaklah  berada dalam keadaan bersih bebas daripada kotoran dan pencemaran;
  • Pembungkusan makanan sedia dimakan dengan surat khabar sebagai lapisan kedua hendaklah dikendalikan dengan kaedah yang dapat mengelakkan pencemaran dakwat daripada kertas surat khabar kepada makanan tersebut melalui apa jua cara. Contohnya, pencemaran boleh terjadi melalui tangan pengendali makanan yang telah menyentuh kertas surat khabar terlebih dahulu dan kemudiannya menyentuh makanan sedia dimakan secara langsung; dan
  • Kertas surat khabar hendaklah tidak digunakan bersentuhan secara langsung dengan makanan sedia dimakan seperti untuk menutup makanan atau menyerap minyak daripada makanan bergoreng.

Sekiranya pengguna mendapati mana-mana pengendali makanan gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan berhubung penggunaan kertas surat khabar untuk membungkus dan menyedia makanan, pengguna boleh membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau melalui laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM)http://fsq.moh.gov.my atau facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

24 Disember 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box