Pendekatan Holistik Jurupulih Carakerja – Siti Asma Anis Hashim

1330-fitandcrop-484x305Kecerdasan spiritual sangat berkait rapat dengan kecerdasan rohani dan kesihatan jiwa dan tidak semestinya berhubung dengan agama. Kecerdasan spiritual  merupakan kecerdasan jiwa yang dapat membantu seseorang membangunkan dirinya secara maksima dan tidak bergantung pada budaya atau nilai.

Perez (2012) menyatakan bahawa kecerdasan spiritual adalah salah satu daripada jenis kecerdasan yang boleh dibangunkan secara menyeluruh serta boleh menyumbang kepada kesejahteraan psikologi seterusnya menghasilkan pembangunan insan yang sihat dan berkualiti.

Kecerdasan spiritual memacu kepada keterampilan, kemampuan dan perilaku yang diperlukan untuk mengembangkan dan mempertahankan hubungan dengan Pencipta, keberhasilan dalam menemukan makna hidup, menemukan cara moral dan etika untuk membimbing kita dalam hidup, mengeksternalisasi perasaan kita akan makna dan nilai-nilai dalam kehidupan peribadi kita dan dalam hubungan interpersonal kita.

Ada yang beranggapan bahawa kecerdasan spiritual adalah kecerdasan tertinggi dari kecerdasan lain seperti kecerdasan intelektual dan kecerdasan emosional. Jika seseorang sudah memiliki kecerdasan spiritual, orang itu mampu hidup dengan penuh bijaksana dan teratur.

Kecerdasan spiritual dapat dilihat pada aktiviti seharian, seperti bagaimana cara bertindak, gaya hidup dan menjadi orang yang lebih bijaksana dalam segala hal. Memiliki kecerdasan spiritual bererti memiliki kemampuan untuk bersikap fleksibel, mudah menyesuaikan diri dengan kelompok masyarakat, mampu belajar dari setiap perkara dalam hidupnya sehingga mampu berdikari dalam kehidupan seharian.

Mental yang sihat pula adalah terhindarnya fikiran dari gangguan mental baik neurosis mahupun psikosis. Selain itu juga berhubungan dengan kondisi seseorang yang berkaitan dengan penyesuaian diri yang aktif dalam menghadapi dan mengatasi masalah dengan mempertahankan minda yang stabil, juga ketika berhadapan dengan perkara baru, serta mampu menilai baik buruk sesuatu perkara dan menanganinya dengan sebaik mungkin.

Jurupulih Perubatan Carakerja atau Occupational Therapy ini adalah suatu kerjaya yang memberi fokus kepada rawatan pemulihan ke atas individu yang mengalami kecacatan anggota, gangguan mental, berpenyakit dan uzur untuk menjalani kehidupan berdikari, produktif serta bermakna.

Antara tugasan jurupulih pula adalah:

  • Menyedia dan mengendalikan program rawatan yang disesuaikan dengan keperluan pesakit bagi mempertingkatkan keupayaan pesakit dlam menjalankan aktiviti harian.
  • Mengendalikan penilaian dan mencadangkan pengubahsuaian yg perlu ada kediaman, persekitaran dan tempat bekerja untuk membolehkan pesakit hidup berdikari.
  • Memberi preskripsi dan latihan menggunakan alat-alat bantuan sementara / kekal berdasarkan keperluan pesakit.
  • Memberi pendidikan , nasihat serta cara penjagaan yang berkesan dan selamat kepada pesakit , ahli keluarga dan penjaga.

Jurupulih Carakerja mengamalkan pendekatan holistik dalam menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan pesakit mental termasuklah aktiviti yang melibatkan kecerdasan spiritual. Antara aktiviti yang dikelolakan adalah seperti sokongan spiritual secara terus mengikut kesesuaian pesakit sama ada secara berkumpulan mahupun individu. Disamping itu, jurupulih turut menyediakan risalah berkaitan spiritual untuk diedarkan kepada pesakit dan penjaga. Peranan jurupulih juga adalah menasihatkan dan mendorong pesakit untuk melakukan aktiviti spiritual yang lain seperti doa dan / meditasi bagi membantu mengoptimumkan kesihatan dan kestabilan mental serta aktiviti-aktiviti lain yang bersesuaian dan menarik. Kesimpulannya, Jurupulih Carakerja akan sentiasa membantu meningkatkan kesihatan mental pesakit psikiatrik melalui pendekatan yang holistik termasuklah pendekatan spiritual agar setiap pesakit dapat berdikari dan berfungsi semaksimum yang mungkin dalam kehidupan seharian dan kembali menjalani kehidupan yang bermakna di dalam komuniti.

Siti Asma Anis Hashim adalah seorang Jurupulih Perubatan Carakerja yang bekerja di Kuala Lumpur.

Artikel ini ditulis sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, Bulan Kesedaran Kesihatan Mental dan kempen #reachout.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box