Pemalsuan Ubat-Ubatan Herba Dan Kesan-Kesannya Terhadap Pengguna – Khairul Naim bin Zainal Abidin

Berdasarkan definisi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ubat-ubatan herba bermaksud herba, bahan herba, sediaan berbentuk herba dan produk herba yang telah siap diproses yang mengandungi bahan aktif yang terdiri daripada

  • Bahagian tumbuhan atau
  • Bahan lain dari tumbuhan

atau kombinasi kedua-duanya.

Sumber: www.economist.com

Sumber: www.economist.com

Ubat-ubatan herba mempunyai reputasi yang tersendiri di kalangan sesetengah kelompok masyarakat di Malaysia. Terdapat aliran fahaman yang meyakini bahawa ubat-ubatan herba merupakan ubat-ubatan yang lebih selamat berbanding ubat-ubatan moden. Hal ini bertitik tolak daripada sentimen bahawa ubat-ubatan herba diperoleh daripada tumbuhan dan bukan melalui proses tindak balas kimia; oleh itu ubat-ubatan herba diyakini kurang memberi kesan sampingan terhadap tubuh badan berbanding ubat-ubatan moden. Di samping itu kepercayaan turun temurun berkenaan keberkesanan sesuatu produk ubat herba turut mempengaruhi pengguna untuk memilih menggunakan ubat-ubatan herba berbanding ubat-ubatan moden.

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir pengeluar ubat-ubatan herba melakukan pemalsuan produk terhadap ubat-ubatan herba yang dikeluarkan oleh pihak mereka. Pemalsuan yang dimaksudkan disini ialah, ubat-ubatan moden turut dicampurkan ke dalam ubat-ubatan herba yang dihasilkan oleh mereka. Faktor utama hal tersebut dilakukan ialah untuk memastikan ubat-ubatan herba yang dihasilkan mereka memberikan kesan yang diinginkan, seterusnya menjadikan ubat-ubatan herba tersebut laris di pasaran. Dalam erti kata lain, terdapat pengeluar ubat-ubatan herba yang tidak meyakini keberkesanan herba yang mereka gunakan dalam penghasilan produk mereka lantas menyebabkan mereka mencampurkan ubat-ubatan moden ke dalam produk ubat-ubatan herba.

Tindakan mencampurkan ubat-ubatan moden ke dalam ubat-ubatan herba boleh mendatangkan bahaya dan mudarat kepada para pengguna. Antaranya ialah:

  • Kebanyakan ubat-ubatan moden yang dicampurkan bersama ubat-ubatan herba merupakan ubat-ubatan terkawal. Contoh: steroid, ubat pelangsing (sibutramine & bupropion). Pesakit perlu mendapat penilaian doktor terlebih dahulu sebelum mengambil ubat-ubatan tersebut bagi mengelakkan kesan yang tidak diingini.
  • Pencampuran ubat-ubatan moden dan ubat-ubatan herba tersebut akan menghasilkan produk yang dikhuatiri mempunyai dos yang tidak seragam. Contoh: apabila 1500 mg serbuk sildenafil dicampurkan dengan 1 kg akar tongkat ali, diproses menjadi serbuk dan dimasukkan ke dalam kapsul, kuantiti sildenafil di dalam setiap kapsul yang dihasilkan mungkin tidak seragam. Sekiranya kuantiti ubat-ubatan moden tersebut melebihi dos yang dibenarkan, pengguna berisiko mengalami kesan toksik ubat akibat terlebih dos.
  • Ubat-ubatan moden yang dicampurkan dengan ubat-ubatan herba mungkin mengalami tindak balas kimia yang menghasilkan bahan toksik terhadap pengguna.

Berikut merupakan senarai jenis-jenis ubat-ubatan moden yang kerap dikesan terdapat di dalam sampel produk ubat-ubatan herba (senarai berikut tidak terhad kepada ubat-ubatan yang disenaraikan di dalam artikel ini sahaja);

Corticosteroid

  • Corticosteroid merupakan ubat moden yang digunakan untuk rawatan penyakit radang dan lelah (asma). Contoh: prednisolone, dexamethasone
  • Penggunaan untuk jangka masa lama (melebihi 3 bulan) boleh menyebabkan pengguna mengalami masalah tekanan darah tinggi, Sindrom Cushing dan osteoporosis
  • Kerap dikesan di dalam produk herba dan tradisional yang didakwa boleh menguatkan sendi dan urat, merawat resdung dan luka selepas bersalin

Sibutramine

  • Sibutramine merupakan ubat moden yang pernah diluluskan untuk rawatan berat badan berlebihan. Telah ditarik balik dari pasaran pada tahun 2010
  • Penggunaan sibutramine meningkatkan risiko serangan jantung dan strok
  • Kerap dikesan di dalam produk herba dan tradisional yang didakwa boleh menurunkan berat badan

Antihistamine

  • Antihistamine merupakan ubat moden yang digunakan untuk rawatan selsema, resdung dan reaksi alahan. Contoh: cetirizine, chlorpheniramine, dexchlopheniramine
  • Boleh menyebabkan kesan mengantuk. Tidak digalakkan mengendalikan sebarang jentera dan mesin selepas mengambil ubat tersebut
  • Kerap dikesan di dalam produk herba dan tradisional yang didakwa boleh merawat masalah resdung

Ubat anti radang bukan steroid (Non-steroidal anti inflammatory drugs, NSAIDs)

  • NSAIDs merupakan ubat moden yang digunakan sebagai penahan sakit. Contoh: meloxicam, ibuprofen, diclofenac sodium, mefenamic acid
  • Penggunaan berpanjangan tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang
  • Kerap dikesan di dalam produk herba dan tradisional yang didakwa boleh merawat masalah sakit sendi, sakit gigi dan bengkak

Sildenafil

  • Sildenafil merupakan ubat yang digunakan untuk rawatan kegagalan fungsi erectile di kalangan lelaki dan juga tekanan darah tinggi pulmonary
  • Penggunaan pada dos yang tinggi boleh mengakibatkan kegagalan fungsi jantung
  • Kerap dikesan di dalam produk herba dan tradisional yang didakwa boleh merawat kegagalan fungsi seksual lelaki

Pengguna ubat-ubatan herba dinasihatkan agar mendapatkan ubat-ubatan herba yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengelakkan daripada terbeli produk ubat-ubatan herba palsu di pasaran. Penggunaan ubat-ubatan herba palsu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah berpotensi mendatangkan bahaya bukan sahaja ke atas kesihatan bahkan nyawa pengguna tersebut. Maklumat lanjut berkenaan ubat-ubatan boleh didapati di laman web Bahagian Perkhidmatan Farmasi Malaysia, www.pharmacy.gov.my

 Khairul Naim bin Zainal Abidin seorang pegawai farmasi yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Rujukan:

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box