Oh Frenumku! – Dr Husna Razak

Gambar AApakah itu frenum dan bagaimanakah ia boleh menggangu fungsi oral yang normal?

Ibu kepada seorang remaja berumur 14 tahun membawa anaknya ke klinik untuk pemeriksaan gigi. Dia memberitahu doktor yang anaknya menghadapi kesukaran menyebut sesetengah huruf, terutamanya ketika membaca Al-Quran. Selepas doktor pergigian tersebut menjalankan pemeriksaan, dia memaklumkan kepada ibu pesakit yang anaknya mempunyai lekatan frenum lingual yang tinggi dan sebuah pembedahan kecil (frenektomi) mungkin diperlukan sebagai rawatan.

Jadi, apa itu frenum? Frenum ialah struktur berserat yang menghubungkan dua bahagian mulut yang berbeza. Fungsinya adalah untuk memberikan stabiliti bagi bibir dan lidah. Bila anda angkat bibir atas anda, anda akan nampak jalur berserat yang nipis yang menghubungkan bibir dan gusi anda – itulah frenum labial atas (rujuk Gambar A).

Gambar BSatu lagi frenum utama yang boleh menyebabkan masalah pertuturan ialah frenum lingual. Angkat lidah anda dan anda akan nampak jalur berserat yang menghubungkan lidah anda dan lantai mulut. Jika jalur ini terlekat sehingga ke hujung lidah (seperti dalam Gambar B), lekatan yang tinggi ini boleh menyebabkan pergerakan lidah menjadi terhad lalu menyebabkan ‘lidah terikat’ atau ‘lidah pendek’. Dalam bahasa Inggerisnya pula, keadaan ini dipanggil ‘tongue-tied’.

Ankiloglossia, istilah saintifik bagi ‘lidah terikat’, kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan boleh memberi kesan kepada pemakanan, pertuturan dan kesihatan oral mereka. Ankiloglossia yang teruk juga boleh melambatkan perkembangan fungsi oral dan otot mulut dan gigi. Ini seterusnya boleh menyebabkan pelbagai kecacatan susunan gigi dan tulang.

Gambar CTempat pautan normal bagi frenum labial atas adalah pada gusi di atas gigi kacip (gigi hadapan di bahagian atas). Lekatan frenum yang terlalu tinggi terjadi apabila ia terlekat pada gusi antara dua gigi kacip atau hingga menyebabkan gigi kacip terpisah (rujuk Gambar C). Lekatan frenum labial atas yang tinggi adalah antara sebab gigi kacip atas menjadi jarang dan ia boleh dibetulkan dengan rawatan ortodontik dan frenektomi.

Frenum labial atas yang tinggi juga boleh mengakibatkan resesi gingiva (penyusutan gusi) seperti yang dilihat dalam Gambar D. Sila ambil perhatian pada garis gusi yang menyusut daripada gigi. Ini berpunca daripada ketegangan (‘tension’) daripada pergerakan bibir yang menarik gusi daripada gigi. Ia boleh menjurus kepada pembentukan poket gusi dan seterusnya pengumpulan plak serta penyakit periodontal yang berulang.

Gambar DAnda pasti tertanya-tanya, apa itu frenektomi? Mungkinkah anda perlu menjalani prosedur ini? Frenektomi adalah sebuah pembedahan kecil untuk membuang frenum. Ia diperlukan apabila anda atau anak anda menghadapi komplikasi daripada lekatan frenum yang terlalu tinggi seperti yang telah dihuraikan di atas. Ia cuma sebuah prosedur yang ringkas dan dilakukan menggunakan bius setempat. Pada awalnya, frenum akan dikebaskan dengan ejen bius. Kemudian, lekatan fibromuskular akan dipotong dan tisu akan dibiarkan supaya sembuh. Selepas tisu tersebut pulih, fungsi pergerakan lidah dan oral akan kembali normal.

Dalam kes yang melibatkan frenum labial atas menyebabkan gigi kacip atas terpisah, frenektomi harus ditunda sehingga semua gigi kekal telah tumbuh. Ini adalah kerana pemisahan gigi kacip ini mungkin bersifat sementara semasa tahap kegigian campuran atau ‘mixed dentition stage’ (keadaan di mana terdapat kedua-dua gigi susu dan gigi kekal di dalam ruangan oral) dan akan ditutup apabila gigi kekal tumbuh. Walau bagaimanapun, anda digalakkan berunding dengan doktor pergigian atau pakar ortodontik untuk maklumat yang lebih lengkap dan pilihan rawatan yang spesifik bagi kes anda.

Dr. Husna Razak (BDS) (KLE VK) ialah pegawai pergigian yang kini berkhidmat di Jabatan Pembedahan Oral dan Maksilofasial di Kota Bharu. Artikel ini diterjemahkan oleh Dr Maimun daripada artikel asal https://www.mmgazette.com/oh-my-frenum-dr-husna-razak/

Rujukan:

  • Carranza’s Clinical Periodontology, 10th edition

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box