Meroyan: Salah Suami Tidak Membantu Atau Isteri Tidak Tahu? –  Nur Nabiila Masfuzah Binti Abdullah

“Eh..si A ni dok marah-marah semua orang dah kenapa? Meroyan ke?”

“Kau janganlah main cakap aje, meroyan makcik tu nanti”

“Jaga elok-elok emosi bini kau Mat, esok-esok dia meroyan, silap-silap baby kau dia campak”

“Ajib! Kau nak nikah satu lagi ni,bini kau tak meroyan ke?”

 

Dialog-dialog di atas selalu kita dengar dikalangan masyarakat kita. Namun adakah perkataan meroyan digunakan mengikut konteks yang sepatutnya?

Istilah meroyan selalu dikaitkan dengan wanita dan jarang dikaitkan dengan orang lelaki. Malah, masyarakat Malaysia, tidak mengira kaum, sudah maklum dengan taboo berkaitan ‘meroyan’.

Ada yang mengaitkannya dengan kisah-kisah mistik, gangguan ‘makhluk halus’ terutama semasa tubuh masih berhadas. Malahan ada amalan-amalan yang seolah-olah perlu diamalkan bagi mengelakkan meroyan daripada terjadi seperti;

  • Jangan memakai bedak muka atau menyikat rambut nanti dikhuatiri meroyan
  • Jangan tidur sekatil dengan suami
  • Kena ikat ibu jari kaki dengan kain hitam untuk elak angin meroyan daripada masuk ke dalam badan

Terlalu banyak amalan sehingga ia jadi membebankan. Saya tidak menolak sepenuhnya amalan berpantang secara tradisional kerana ada sesetengah amalan itu sangat selesa seperti bertungku, berurut serta mandi air akar kayu yang amat menyegarkan.

Sebenarnya, ganguan emosi terhadap wanita yang baru melahirkan boleh berlaku akibat perubahan hormon yang berlaku. Sekitar 85% wanita dalam pantang mengalami gangguan perasaan pada tahap yang ringan dan tidak membahayakan (berlaku dalam masa yang singkat dan tidak memerlukan rawatan). Namun, dalam 10% wanita, gangguan ini mungkin lebih mendalam dan berpanjangan.

Dari segi perubatan dan sains, gangguan perasaan wanita selepas bersalin dibahagikan kepada 3 peringkat mengikut tahap kemurungan mereka;

  1. Gangguan perasaan ringan (postpartum blues)
  2. Kemurungan (depression)
  3. Gila meroyan (postpartum psikosis)

Gangguan Perasaan Ringan (Post Partum Blues/Baby Blues)

Seorang ibu yang mengalami postpartum blues akan berasa sedih, penat dan mengalami mood yang tidak menentu. Semua orang mungkin akan mengalami keadaan ini, termasuklah orang yang tidak pernah mengalami masalah mental ataupun tekanan emosi sebelum atau semasa mengandung terutama sekali ibu-ibu yang melahirkan buat kali pertama. Beberapa penyesuaian perlu dilakukan oleh wanita untuk menghadapi peranan barunya sebagai ibu pada minggu-minggu atau bulan-bulan pertama selepas melahirkan, baik dari segi fizikal mahupun psikologi. Sebahagian wanita berjaya menyesuaikan diri dengan baik tetapi sebahagiannya tidak dapat menyesuaikan diri dan akan mengalami gangguan psikologi.

Namun gejala ini sangat ringan dan biasanya akan baik sendiri tanpa rawatan. Perubahan emosi ini kerap berlaku pada hari ke-3 hingga ke-5 selepas bersalin dan berkurangan selepas hari ke-10, kemudian emosi mereka biasanya kembali stabil. Kadang kala, perkara remeh seperti teguran boleh menyebabkan kesedihan itu berpanjangan.

Kemurungan (Postpartum Depression)

Kemurungan adalah masalah yang lebih serius dan perlu mendapatkan rawatan. Keadaan ini menimpa 1 daripada 8 ibu dan lebih kerap berlaku pada bulan pertama sehingga setahun selepas melahirkan anak. Bermakna, postpartum depression mengambil masa yang lebih lama untuk terjadi. Si ibu juga mungkin sudah mengalami masalah mental atau tekanan beberapa bulan sebelum gejala kemurungan semasa berpantang muncul.

Simptomnya  sama sahaja dengan postpartum blues tetapi biasanya lebih teruk. Ibu-ibu ini mempunyai risiko tertentu dan lebih cenderung untuk mendapat kemurungan selepas bersalin (kemungkinan berlaku rentetan daripada gejala postpartum blues yang berpanjangan).

Faktor yang boleh meningkatkan risiko kemurungan selepas bersalin adalah :

  • Tekanan (Stress)
  • Sejarah kemurungan selepas bersalin untuk kelahiran sebelumnya
  • Mempunyai masalah tekanan emosi yang tidak berkaitan dengan kandungan
  • Kehidupan alam rumah tangga yang bermasalah
  • Tiada tempat meluahkan perasaan
  • Tekanan hidup sebelum, semasa atau selepas bersalin
  • Tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada suami serta keluarga dalam menguruskan bayi dan diri sendiri (terutama bagi kes ibu yang melahirkan bayi sulung)
  • Trauma yang terbawa-bawa jika pernah mengalami kehilangan bayi sebelum kelahiran sekarang
  • Kesukaran dalam menangani masalah bayi menangis di tengah-tengah malam ditambah dengan badan yang letih akibat ‘labour stage’ yang lama serta kesakitan akibat luka episiotomi atau pembedahan
  • Masalah dengan orang tua atau mertua (terutama dalam amalan berpantang yang kadangkala terlalu ketat)
  • Bayi mengalami jaundice/perlu ulang alik ke hospital atau klinik
  • Masalah dalam menyesuaikan diri dengan bayi yang baru lahir serta anak yang sedia ada yang juga memerlukan perhatian
  • Menahan rasa rindu dan merasa jauh dari suami (bagi ibu yang pertama kali melahirkan)
  • Perilaku anak semakin nakal sehingga ibu menjadi stress
  • Gangguan corak tidur ibu pada malam hari kerana bayinya menangis
  • Kegiatan ibu menjadi terbatas kerana hadirnya seorang bayi
  • Takut melakukan hubungan suami isteri kerana takut mengganggu bayi selain trauma di bahagian sulit semasa melahirkan

Psikosis

Psikosis selepas bersalin atau gila meroyan merupakan peringkat paling teruk dan jarang berlaku selepas bersalin. Gila meroyan boleh berlaku secara tiba-tiba, biasanya dalam 2 minggu pertama selepas bersalin dan ada yang berlaku dalam masa 48 jam.

Ibu-ibu ini biasanya mengalami simptom psikosis termasuk;  nampak sesuatu yang tiada atau mendengar suara yang tidak didengari orang lain (halusinasi). Ini boleh meningkatkan kecenderungan untuk mencederakan diri sendiri atau orang sekeliling, terutama sekali bayi, disamping idea untuk membunuh diri sendiri muncul dalam kepala.

Ibu yang berisiko untuk mendapat psikosis selepas bersalin:

  • Mempunyai sejarah masalah mental atau pernah mengalami gila meroyan sebelum ini
  • Sejarah keluarga yang mempunyai masalah gila meroyan, terutama ibu atau kakak
  • Gelaja kemurungan yang berpanjangan selain punca masalah kemurungan gagal dikenalpasti dari awal

Antara simtom-simtom masalah psikosis adalah seperti berikut :

  • Cemas tanpa sebab
  • Menangis tanpa sebab
  • Tidak sabar
  • Tidak percaya diri
  • Sensitif
  • Mudah tersinggung
  • Merasa kurang menyayangi bayinya
  • Merasa seperti tidak disayangi oleh suami/ibu/mertua/adik beradik kerana perhatian berlebihan terhadap bayi
  • Cemburu terhadap perhatian yang diberi terhadap bayi
  • Merasa tangisan bayi terlalu menyakitkan telinga

Masalah kemurungan sebenarnya boleh dikenalpasti lebih awal serta boleh dielakkan malah di atasi dengan kerjasama dari suami serta ahli keluarga yang lain terutama sekali dalam pengurusan bayi dan anak sedia ada.

Selain itu, terdapat beberapa cadangan diberikan kepada ibu-ibu yang baru melahirkan antaranya :

Banyakkan berehat

Buat suami, tidak salah rasanya membantu isteri dalam menguruskan bayi anda; samada memandikan bayi, menukar lampin, membancuh susu dan menjaga bayi sebentar bagi memberi peluang kepada isteri untuk berehat.

Makan makanan yang sihat dan berkhasiat

Makanan yang sihat dan berkhasiat mampu membantu dalam penyembuhan luka selepas bersalin selain mengembalikan tenaga yang hilang. Pemakanan juga membantu dalam penghasilan susu badan yang lancar.

Berurut dan bertungku

Amalan tradisional yang sangat bermanfaat untuk kesihatan badan. Berurut dan bertungku membantu melancarkan kembali aliran darah dan menghilangkan sakit-sakit badan. Ia juga melancarkan pengeluaran darah nifas. Bertungku juga membantu mengecutkan kembali rahim seperti sediakala yang boleh dilakukan oleh bidan-bidan yang berpengalaman dan mereka yang arif dalam bidang perbidanan.

Libatkan diri dengan kumpulan sokongan

Pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Instagram, blog dan Twitter yang boleh diikuti oleh para ibu. Mereka boleh mengaktifkan diri dalam kumpulan sokongan ibu-ibu berpantang dan menyusu. Di sini, mereka boleh berkongsi pengalaman, bertanya tentang perihal masalah yang dihadapi semasa berpantang dan tentang penjagaan bayi. Tapi pastikan anda mengikuti kumpulan sokongan yang membina dan turut disertai oleh pakar laktasi, pakar nutrisi dan doktor.

Berfikiran positif

Walau terdapat pelbagai dugaan yang menimpa, sentiasa ingat bahawa Allah selalu ada untuk kita. Pasti ada sesuatu yang baik sedang menunggu kita. Jangan bebankan diri dengan memikirkan sesuatu yang negatif. Nikmatilah waktu berpantang dengan penuh gembira.

Masalah tekanan emosi dan mental seperti ini, jika dibiarkan berlarutan, mungkin akan menambahkan lagi kekusutan fikiran bahkan boleh menjadi tidak siuman. Oleh yang demikian, peranan suami, keluarga serta rakan-rakan yang rapat amatlah perlu disini bagi membantu para ibu menyesuaikan keadaannya. Para ibu memerlukan perhatian, kasih sayang dan juga bantuan secara berterusan sehingga tahap kesihatan mereka kembali seperti sedia kala.

Buat suami dan ahli keluarga, berilah sokongan kepada para isteri. Sentiasa pastikan si isteri menerima kasih sayang dan perhatian secukupnya. Bantu dan berkerjasama dalam hal-hal rumah tangga seperti memasak, membasuh dan menjaga anak. Pastikan si isteri mendapat rehat yang mencukupi dan emosinya dalam keadaan stabil.

Sekiranya keadaan si isteri mula menunjukkan ciri-ciri meroyan, cepat-cepatlah bertindak bagi memastikan kesihatan isteri kembali seperti sedia kala.

Cegah sebelum melarat

Rawat sebelum terlewat

Sayang isteri, manja-manjakan

Sayang baby, bangun tolong susukan

Nur Nabiila Masfuzah Binti Abdullah adalah seorang jururawat terlatih yang bertugas di Hospital Banting.

Artikel pernah disiarkan di https://www.facebook.com/MedicalMythbustersMalaysia/posts/1114075132016317

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box