Merokok & Kanser Paru-Paru – Dr Helmy Hazmi

Sumber: howzzdat.com

Sumber: howzzdat.com

Ia telah diiklankan berkali-kali.

Ia telah dipropagandakan.

Ia telah menjadi mantra.

Merokok membawa maut.

Namun, di pinggir sebuah kampung nelayan terpencil di Malaysia, seorang ibu tua dengan bangga berkata yang MEROKOK membuatkan dia bebas daripada penyakit. Sebelum anda tersenyum lega, fikirkan kembali. Apakah ini benar?

Seperti yang anda sedia maklum, merokok melipat gandakan kebarangkalian anda mendapat kanser paru-paru. Tidak ada satu pun kajian yang menyatakan merokok adalah baik untuk kesihatan – sifar, nihil, langsung tiada. Malahan, selain kanser paru-paru, merokok turut mendedahkan anda kepada pelbagai penyakit paru-paru yang lain. Berikut adalah penjelasan mengenai dakwaan ramai bahawa merokok tidak membahayakan kesihatan serta kanser paru-paru boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuklah orang yang tidak pernah memegang batang rokok.

Setiap individu mempunyai tahap ketahanan yang berbeza.

Pernahkah ini terjadi kepada anda? Sebahagian tetamu anda merasakan masakan anda terlalu masin sedangkan sebahagian yang lain merasakan ia kurang garam? Ini adalah kerana setiap orang mempunyai tahap sensitiviti yang berbeza terhadap kemasinan. Begitulah juga dalam hal pembentukan sel kanser dalam tubuh kita. Sesetengah orang hanya perlu merokok selama 3 tahun sebelum mendapat kanser paru-paru dan sesetengah yang lain memerlukan masa sehingga 50 tahun. Dalam erti kata lain, sel-sel paru-paru dalam sebahagian kita boleh menggila dan bertukar menjadi sel kanser dengan hanya ‘secubit’ bahan karsinogenik seperti rokok dan tembakau.

Ada sesuatu dalam genetik anda.

Faktor genetik ialah faktor yang tidak boleh diubah suai. Apabila ia telah dikodkan, kod genetik adalah tetap dan muktamad. Ada beberapa gen yang didapati boleh mendedahkan individu kepada risiko kanser paru-paru. Misalnya, gen RGS17 yang bertanggungjawab ke atas kanser paru-paru dalam 10% orang yang mempunyai ahli keluarga asas yang menghidap kanser tersebut. Mujurnya, gen-gen ini adalah seperti suis yang boleh dihidupkan dan dimatikan. Suisnya akan tetap di situ, namun yang bertanggungjawab ke atasnya adalah kita yang mengawal persekitaran kita. Kita boleh mengurangkan kemungkinan untuk suis itu ‘dihidupkan’ dengan menjauhi rokok dan perokok, makanan dan bahan masakan yang mengandungi bahan-bahan karsinogenik iaitu bahan-bahan yang boleh menyebabkan kanser.

Ada sesuatu di rumah anda.

Tidak, bukan makhluk halus yang kami maksudkan. Kami juga tidak merujuk kepada asap rokok yang mencemari ruang udara di rumah anda. Bahan yang ingin kami utarakan ialah bahan yang kurang diketahui namun boleh menghidupkan suis gen kanser dalam tubuh kita. Ia adalah gas radon. Gas radon adalah gas radioaktif yang boleh menyebabkan kanser. Dianggarkan sebanyak 20,000 kes kanser paru-paru di US setiap tahun adalah berpunca daripada gas radon. Malangnya, gas ini tidak dapat dilihat, dirasa dan dihidu. Oleh itu, anda tidak akan sedar jika anda sedang menghela masuk gas berbahaya ini ke dalam paru-paru anda sambil anda membaca artikel ini. Gas ini bersumber daripada uranium yang wujud dalam batu-batu dan tanah. Uranium? Di dalam rumah kita? Takkan lah! Ya, uranium boleh berada dalam bahan binaan rumah anda kecuali jika anda tinggal dalam rumah 100% kayu atau papan. Jadi, adalah baik jika rumah anda mempunyai sistem pengudaraan yang bagus. Sekarang, anda bayangkan sekiranya gas radon dan asap rokok digabungkan? Tentu anda faham logik disebalik pengharaman perbuatan merokok di ruang awam, bukan?

Ada sesuatu di tempat kerja anda.

Selain dilemaskan dalam politik tempat kerja yang memeningkan, tempat kerja juga boleh menyebabkan nyawa anda melayang. Salah satu sebabnya adalah gas radioaktif yang kita perkatakan tadi – gas radon. Selain daripada bangunan-bangunan pejabat, tempat kerja juga merangkumi lombong atau kuari, stesen petrol, tapak pembinaan dan bengkel kereta. Di tempat-tempat ini, anda and keluarga anda terdedah kepada zarah asbestos, asap daripada eksos diesel dan habuk-habuk yang boleh meningkatkan kebarangkalian anda mendapat kanser paru-paru. Tambahkan rakan-rakan perokok tegar anda kepada senarai ini – inilah dia resepi untuk malapetaka.

Ada sesuatu di dalam udara.

Anda fikir pencemaran udara cuma menyebabkan selesema, sedikit batuk, sakit tekak dan mata berair. Hanya sekejap sahaja sakitnya, nanti sembuhlah, kata anda. Inilah masanya untuk anda mengubah pola pemikiran anda. Pencemaran udara adalah sesuatu yang lebih serius daripada itu. WHO (World Health Organisation/ Organisasi Kesihatan Sedunia) dan IARC (International Agency for Research on Cancer/ Agensi Internasional bagi Kajian Kanser) telah menyenaraikan pencemaran udara sebagai ejen penyebab kanser paru-paru. Pada tahun 2010, terdapat hampir 233,000 kes kanser paru-paru yang berpunca daripada pencemaran udara sahaja. Trafik, asap sisa industri dan pertanian, pembakaran arang di stesen janakuasa dan pembakaran terbuka adalah antara punca-punca pencemaran udara. Sekiranya anda tinggal berdekatan dengan punca pencemaran, inilah masanya untuk bertindak dan melakukan perubahan. Bagi pekerja yang bekerja di tempat-tempat berkenaan, pastikan anda memakai pakaian perlindungan/ PPE (Personal Protective Equipment). Jangan sekali-kali tanggalkan pakaian perlindungan anda semasa bekerja!

Perokok pasif/ Perokok “tangan ketiga”.

Pernahkah anda dengar tentang bahayanya menjadi perokok pasif, dan bagaimana kanak-kanak terutamanya menjadi mangsa akibat menghirup asap rokok di persekitaran? Baiklah, jika anda katakan anda tidak merokok di hadapan anak-anak anda dan anda cuma melepak di anjung apabila merokok – fikirkan ini; bahan buangan daripada rokok dan asapnya boleh melekat pada pakaian, tangan dan rambut anda. Ini akan sampai dan dipindahkan kepada orang-orang yang berdekatan dengan anda termasuklah anak-anak anda. Tangan anak-anak anda, apabila bersentuhan dengan anda, akan dicemari oleh bahan-bahan toksik. Bahan toksik ini boleh masuk ke dalam tubuh apabila dijilat atau dimakan. Tidak menghairankanlah sekiranya terdapat kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital berkali-kali dalam setahun akibat lelah walaupun bapa (atau ibu) mereka menafikan yang mereka merokok. Jumlah perokok di kalangan wanita di Malaysia juga turut meningkat dewasa ini. Bahan-bahan toksik ini tidak boleh dihilangkan dengan pengudaraan bilik. Ia perlu dibersihkan dengan mencuci kawasan bilik dan memastikan bilik tersebut bebas asap rokok.

Masuk akal?

Walaupun sesetengah orang berlagak dengan mengatakan mereka telah merokok sepanjang hayat mereka dan mereka masih sihat, mereka hanya bernasib baik kerana mereka mungkin adalah daripada golongan 1% di hujung spektrum populasi. Bukan semua orang bernasib baik seperti mereka. Dan mungkin anda juga bukan dari golongan yang bernasib baik ini. Dan mungkin anak-anak, sepupu-sepapat, cucu-cicit mereka juga tidak berkongsi nasib dengan mereka. Oleh kerana itu, atas sebab-sebab yang telah dihuraikan diatas, berhentilah merokok. Dengan berhenti merokok, anda telah menghapuskan antara penyumbang terbesar kanser paru-paru. Risikonya akan tetap ada, tetapi tanggungjawab mengurangkan risiko tersebut adalah di atas bahu kita. Seperti motto Captain Planet, “Kuasa di Tangan Anda!”

Dr. Helmy Hazmi ialah pakar perubatan komuniti dengan major dalam Epidemiologi dan Biostatistik. Beliau kini bekerja di kampung halamannya, Kuching, sebagai pensyarah perubatan. Untuk maklumat lanjut, lawat laman ‘The Team’. Artikel ini diterjemahkan oleh Dr Maimun.

Rujukan:

Samet, J. M., Avila-Tang, E., Boffetta, P., Hannan, L. M., Olivo-Marston, S., Thun, M. J., et al. (2009). Lung cancer in never smokers: clinical epidemiology and environmental risk factors. Clin Cancer Res, 15(18 ), 5626-5645.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box