Menjayakan Penyusuan Bayi – Dr Nur Hidayati

Sumber: handum.wordpress.com

Sumber: handum.wordpress.com

Saya bangga menjadi ibu yang menyusukan anak. Saya percaya penyusuan ibu adalah terbaik buat bayi dan ibu. Tetapi menjadi ibu yang berkerjaya memberi cabaran untuk meneruskannya.

Kementerian Kesihatan Malaysia menyokong penyusuan anak dan aktif menggalakkannya walau sebelum kelahiran bayi lagi. Sebahagian daripada Initiatif Hospital Mesra Bayi, ibu-ibu diberi maklumat dan sumber rujukan ketika sedang hamil sebagai panduan untuk menjayakan penyusuan bayi.

Tetapi bagi ibu-ibu yang bekerja – percubaan penyusuan sehingga 6 bulan merupakan rintangan besar. Ramai memutuskan untuk menghentikan penyusuan sekembalinya ke tempat kerja. Lebih-lebih lagi apabila tidak mendapat sokongan padu di rumah, tempat kerja dan juga komuniti.

Dari perbualan bersama ibu-ibu yang mengamalkan penyusuan ibu lain yang berkerja sepenuh masa, perkara sama berulangkali diperkatakan. Bos tidak membolehkan waktu rehat untuk mengepam susu. Ibu tidak dibenarkan menyimpan susu ibu di peti sejuk pejabat atau pantry. Tiada peruntukkan bilik khas bagi ibu untuk mengepam susu menyebabkan para ibu terpaksa menggunakan bilik stor, surau, atau tandas. Sesetengah wanita dituduh malas kerana terlalu kerap mengambil waktu rehat untuk mengepam susu atau dikatakan tidak fokus dalam kerja.

Hal ini terbukti benar untuk doktor-doktor junior yang baru bergelar ibu walaupun mereka merupakan pegawai penjagaan kesihatan yang sedar akan kepentingan penyusuan ibu. Bekerja sambil menyusu di hospital membuka mata dan menyedarkan diri saya bahawa hospital sebagai tempat kerja juga tidak mesra ibu-ibu yang mengamalkan penyusuan ibu. Seorang rakan kerja mengalami bengkak buah dada selama berjam-jam kerana tidak dapat berehat daripada tugasan klinik pesakit luar, menghadiri kes-kes tanpa henti. Doktor junior yang mengambil masa untuk sesi mengepam ketika rondaan wad atau ketika on call dikritik mengelak kerja.

Rakan sekerja serta saya sendiri mengalami semua yang disebut tadi dan amat sedih untuk mendengar para intern berhenti menyusukan anak kerana tidak dapat mengimbangi masa mengepam dengan kesibukan serta beban kerja di hospital. Ada juga yang berhenti bekerja sebagai doktor untuk memberi perhatian kepada anak-anak. Saya kenal ramai wanita berbakat yang tidak memilih untuk menjalani latihan selepas ijazah untuk bidang perubatan kritikal seperti Perubatan Dalaman, Obsteriks dan Ginekologi, Pembedahan dan lain-lain kerana sebab yang sama.

Di rumah, ibu-ibu yang memilih untuk menyambung penyusuan anak mungkin juga menghadapi cabaran. Kebanyakannya dari ahli keluarga dan pasangan yang tidak berilmu tetang perihal penyusuan. Ibu-ibu baru mungkin menerima maklumat yang salah daripada saudara-mara yang berniat baik. Ini merupakan salah satu sebab kenapa ibu-ibu suri rumah turut berhenti menyusukan anak.

Sekiranya kita mahukan lebih ramai ibu untuk memilih dan meneruskan penyusuan anak, kita sebagai komuniti perlulah memberi sokongan yang kuat. Alu-alukan ibu-ibu ini di tempat kerja dengan memperkenalkan polisi mesra ibu yang menyusukan anak. Buang stigma wanita yang memilih untuk menyusukan anak bermakna mereka tidak produktif. Biasakan penyusuan di tempat awam. Wujudkan kesedaran dan sebarkan maklumat betul tentang penyusuan kepada ibu-ibu baru.

Ramai bertanya bagaimana saya mampu menyusukan anak selama dua tahun. Jawapannya – sokongan yang bagus daripada rakan-rakan sekerja dan keluarga. Ianya perjalanan mencabar yang saya tidak lalui seorang diri.

Tips menjayakan penyusuan di tempat kerja

  1. Perancangan awal – maklumkan kepada majikan sebelum kelahiran anak tentang rancangan untuk menyusukan anak. Dapatkan maklumat tentang polisi syarikat terhadap penyusuan di tempat kerja. Sekiranya syarikat tersebut tidak menyediakan tempat khas untuk mengepam susu ibu dan menyimpannya, anda mungkin perlu membuat persediaan bagi membolehkan perkara tersebut dilakukan. Cari tempat sesuai untuk mengepam dan menyimpan susu ibu tanpa gangguan.
  1. Sekiranya anda akan mengepam susu di pejabat, sediakan kad ‘jangan ganggu’ untuk diletakkan di pintu. Jika anda bekerja di cubicle di mana hampir tiada privasi, minta sebuah bilik yang membolehkan anda mengepam susu sendirian tanpa gangguan atau teruskan mengepam di meja anda. Saya pernah bertemu dengan ibu-ibu yang telah mengepam susu di meja kerja menggunakan kain litup sambil bertugas. Saya juga mengenali seorang pramugari yang mengepam susu ketika bekerja di atas kapal terbang!
  1. Beritahu rancangan anda kepada rakan sekerja. Mereka mungkin tertanya-tanya ke mana anda pergi beberapa kali sehari. Oleh itu, jelaskan tentang rancangan penyusuan anda dan jadikan mereka sebagai pasukan sokongan. Terangkan dan yakinkan mereka bahawa penyusuan tidak akan menjejaskan produktiviti di tempat kerja.
  1. Gunakan masa dengan bijak. Kerja-kerja ringan seperti membaca dan membalas email boleh dilakukan semasa mengepam susu. Sebagai doktor pasca ijazah, saya menggunakan masa mengepam sebagai sesi pembelajaran – masa untuk membaca jurnal-jurnal baru, menulis nota, atau latih tubi kertas peperiksaan tahun lalu.
  1. Makan dengan sihat dan banyakkan minum air. Ramai ibu yang kembali bekerja mengalami penurunan kadar susu yang dihasilkan. Dinasihatkan untuk ibu-ibu memastikan badan terhidrat dengan meminum banyak air dan makan dengan sihat. Elakkan kafein dan alkohol.
  1. Pastikan jangkaan anda realistik. Tidak semua ibu mampu menghasilkan 5-6oz susu ibu pada hari pertama kembali bekerja. Stres boleh memberi kesan kepada kadar penghasilan susu ibu. Oleh itu, amalkan pemikiran positif. Meneruskan penyusuan anak selepas kembali bekerja merupakan pencapaian yang sangat baik. Jangan letakkan jangkaan yang terlalu tinggi untuk penghasilan susu ibu. Tugasnya tidak mudah, tetapi setiap sesi mengepam atau penyusuan akan membuat anda lebih cekap melakukannya.
  1. Buat kumpulan sokongan – saya pernah mempunyai kumpulan Whatsapp yang terdiri daripada rakan-rakan yang turut menyusukan anak mereka, sedang hamil, atau pernah menyusu. Sokongan saling diberikan dengan memberi tip dan galakkan dengan berkongsi pengalaman. Pastinya di tempat kerja anda terdapat wanita lain yang pernah menjalani pengalaman yang sama. Sekiranya tidak mengenali sesiapa, layari forum di internet dan kumpulan sosial media untuk berhubung dengan ibu-ibu susuan lain. Ketahuilah bahawa anda tidak berseorangan.

Sama ada mereka memutuskan untuk menyusukan anak mereka sepenuhnya, sebahagian formula atau menyusukan hanya ketika dalam pantang – semua ibu wajar diberi sokongan sepanjang tempoh penyusuan. Cuti bersalin yang lebih panjang, polisi mesra penyusuan, dan peruntukan di tempat kerja tentunya akan menggalakkan ibu-ibu di Malaysia untuk menjayakan penyusuan anak dengan lebih lama. Saya berharap perkara ini boleh dicapai dengan sokongan orang ramai dan kesedaran yang lebih tinggi dalam masyarakat.

Maklumat dan rujukan untuk sokongan penyusuan.

Rencana ini ditulis khusus bagi semua doktor-doktor, para jururawat, dan ibu-ibu yang menyusukan anak-anak mereka. 

Dr. Nur Hidayati seorang registrar perubatan dalaman yang sedang bertugas di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Artikel ini diterjemahkan oleh Nur Nadhirah daripada artikel asal https://www.mmgazette.com/making-breastfeeding-work-dr-nur-hidayati/

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

1 comment for “Menjayakan Penyusuan Bayi – Dr Nur Hidayati

  1. April 24, 2015 at 2:50 am

    Tips yg sangat membantu. T’kasih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box