Menjadikan Tempat Kerja Tempat yang Selamat – Dr Lim Jac Fang

aug15_03_000043726284

Sumber gambar: hrb.org

Kita tahu persekitaran tempat kerja yang selamat dan sihat dapat meningkatkan produktiviti serta kualiti kerja. Ia juga memastikan pekerja bebas daripada kecederaan, kemalangan dan penyakit akibat amalan dan proses berbahaya di tempat kerja. Berapa ramai dari kalangan kita yang sedar akan perkara ini?

Lihatlah kawasan sekeliling tempat kerja anda – adakah ia ‘selamat’ dan ‘sihat’? Adakah anda menderita sakit-sakit dan sengal-sengal di penghujung hari anda? Adakah anda mengalami sakit yang lebih teruk berbanding hari pertama anda mula bekerja dahulu? Adakah rakan sekerja anda mengalami masalah yang sama? Mungkin anda rasa ia disebabkan oleh faktor usia, tetapi, ianya mungkin disebabkan oleh persekitaran tempat kerja.

Bagaimana kita boleh memperbaiki tempat kerja? Kita boleh mula dengan memperjelas beberapa istilah. Pertama sekali: bahaya. ‘Bahaya’ ialah apa-apa perkara yang berpotensi untuk mendatangkan kecederaan. Contoh-contoh bahaya ialah bahan kimia, haba, elektrik atau pun sekadar penggunaan tangga. Kedua: risiko. ‘Risiko’ ialah kebarangkalian ‘bahaya’ itu terkena kepada kita. Tahap risiko bersangkut paut dengan keparahan akibatnya.

Berikut adalah suatu contoh untuk gambaran yang lebih jelas berkenaan risiko dan bahaya. Seekor singa lapar (bahaya) sudah terlepas. Ia melihat seseorang melintas di depannya. Apakah yang anda fikir akan berlaku (risiko) kepada orang itu? Sudah tentu, singa itu mendapat lauknya (akibat)! Dalam senario lain, singa tersebut lapar tetapi kali ini ia berada di dalam sangkar yang berkunci. Seseorang berjalan kearah sangkar tetapi berhenti cukup jauh dari jangkauan singa. Dalam hal ini, singa tersebut akan tetap lapar dan semestinya lebih marah!

Jika bahaya dapat dikenali lebih awal, dengan penilaian yang teliti dan kawalan berkesan, kita boleh meminimumkan atau menghapuskan risiko. Ini dikenali sebagai HIRARC, Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control (Pengenalan Bahaya, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko). Berikut adalah langkah-langkah asas untuk mencapai tempat kerja yang selamat dan sihat, semudah 1, 2, 3.

Mengenal Pasti Bahaya

Ini langkah yang paling penting dalam HIRARC kerana ia mengasingkan/memencilkan bahaya dan juga pekerja yang berisiko. Ada banyak cara untuk melakukannya.

  • Teliti peristiwa/kecederaan atau rekod perubatan yang ada (mungkin perlu keizinan). Ini dapat membantu anda mengesan kawasan, aktiviti atau bahan yang menjadi punca peristiwa/kecederaan dan juga mengenal faktor-faktor penyumbang seperti pencahayaan malap, pengawasan tidak rapi atau hal-hal selenggaraan.
  • Cerap aktiviti di tempat kerja. Ini harus dilakukan semasa aktiviti rutin dan bukan rutin.
  • Gunakan senarai semak untuk pemeriksaan teliti. Suatu analisa kebahayaan pekerjaan (job hazard analysis/JHA) boleh digunakan untuk aktiviti khusus yang berbahaya.

Mengenal pasti bahaya pada asasnya memperjelas kerja/tugas/elemen yang berbahaya. Kemudian ia dihurai kepada langkah-langkah utama yang melibatkan pengesyoran mengurang atau menghapuskan bidang-bidang yang bermasalah yang dikenalpasti.

Maklumat mengenai bahaya boleh didapati daripada agensi berkaitan seperti DOSH (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Kerja). Akan tetapi, hanya bahaya yang sebenar yang mendatangkat mudarat kepada pekerja sahaja dikenal pasti dan bahaya yang tidak seberapa akan diabaikan.

Penaksiran Risiko

Sejurus selepas bahaya yang ketara dikenal pasti, ia perlu diberi keutamaan. Elemen-elemen yang sangat berbahaya hendaklah diuruskan dengan segera, mengatasi elemen bahaya berkelas sederhana atau rendah. Penaksiran risiko dijalankan melalui satu kaedah dipanggil penaksiran risiko kualitatif. Ia menilai tahap risiko dari segi kebarangkali sesuatu peristiwa dan keparahan akibatnya, berdasarkan formula “Risiko = Kebarangkalian X Keparahan”. Seharusnya ada suatu susur masa yang tetap untuk tindakan pemulihan selepas penaksiran. Latihan penting untuk melakukan penaksiran risiko.

Kawalan Risiko

Langkah ketiga dalam HIRARC ialah mengawal risiko yang telah dikenal pasti tadi. Sebelum mengesyorkan tindakan kawalan baharu atau yang lebih baik, mekanisma kawalan yang sedia ada perlulah diperiksa. Adakah ia memadai, diselenggara dengan tertib atau sesuai dengan tempat kerja? Jika tidak, syorkan cara untuk mempertingkatkan kawalan risiko yang telah sedia ada.

Prinsip umum untuk menghalang/mengawal bahaya yang boleh digunakan ialah:

  1. Menghindari risiko
  2. Menilai risiko yang tak terhindar
  3. Mengurus sumber risiko
  4. Menyesuaikan kerja kepada individu
  5. Menggunakan teknologi
  6. Menggantikan perkara yang berbahaya dengan yang kurang bahaya
  7. Maklumat, arahan, latihan dan seliaan yang memadai kepada pekerja

Proses di atas tidak tamat dengan 3 langkah sahaja. Semua penaksiran mestilah direkod dan disimpan untuk rujukan apabila ada semakan oleh pihak pengurusan. Hanya bahaya yang ketara dan syor yang penting perlu diarkibkan. Ia mestilah termasuk butiran pekerja/orang yang terjejas oleh bahaya, langkah kawalan yang ada dan keberkesanannya. Tarikh semakan dan langkah kawalan baharu (jika ada) hendaklah disertakan. Penting untuk penaksir menyemak semua syor dalam tempoh masa yang patut untuk memastikan bukan sahaja syor-syor itu dilaksanakan tetapi bersesuaian dan berguna.

Menjadikan tempat kerja anda satu tempat yang selamat serta sihat ialah tidak mustahil dan seharusnya diberi keutaaman. Manfaat besarnya ialah ia dapat mengurangkan serta membasmi kemalangan, kecederaan dan penyakit di kalangan pekerja. Mudah kata, datang kerja dengan sihat dan bersara juga dengan selamat dan sihat.

Dr. Lim Jac Fang ialah seorang pakar kesihatan cara kerja. Beliau bertugas di Sabah dan kolumnis tetap Malaysian Medical Gazette. Kenali beliau lebih lanjut di laman The Team. Artikel ini diterjemahkan oleh Azizul Ismie Mohd Puad daripada https://www.mmgazette.com/making-the-workplace-safe-dr-lim-jac-fang/

Rujukan:

  • The Management of Safety and Health at Work Regulations 1999 Schedule 1 (HSE)
  • HSE Booklet 5 Steps to Risk Assessment

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box