Memulakan Penyusuan Susu Ibu Dengan Penuh Yakin – Dr Ezura Madiana

Sumber: www.todaysparent.com

Sumber: www.todaysparent.com

Payudara merupakan organ tubuh yang amat penting. Memahami fungsinya termasuk perubahan-perubahan yang berlaku ketika mengandung dan selepas melahirkan akan membantu ibu-ibu berfikiran positif mengenai punyusuan susu ibu.

Ketika hamil di trimester pertama, payudara dan bahagian puting selalunya akan berasa tegang dan sakit. Di trimester kedua, ibu mula merasakan bahagian puting dan areola akan bertambah besar dan menjadi gelap. Pada ketika ini, terdapat hormon-hormon yang terlibat dalam perkembangan duktus-duktus susu dan kantung susu (alveolus) di dalam payudara. Antaranya ialah hormon daripada uri seperti estrogen, progesterone dan human placental lactogen. Prolactin juga merupakan hormon yang penting untuk tumbesaran payudara pada ketika ini. Ia turut menghasilkan sejumlah kecil kolostrum (susu awal ibu) di dalam payudara ibu. Namun, kandungan progesterone yang tinggi menghalang tubuh ibu daripada menghasilkan jumlah susu yang banyak sehinggalah bayi yang dikandungkan lahir dan uri dikeluarkan. Pada ketika inilah, penghasilan susu sebenar bermula.

Apabila uri telah keluar selepas bayi dilahirkan, paras progesterone dalam badan ibu turun dengan mendadak. Hormon penyusuan susu ibu yang utama iaitu prolactin akan memulakan proses penghasilan susu ibu. Oxytocin merupakan satu lagi hormon penting dihasilkan oleh tubuh ibu apabila penyusuan susu ibu dimulakan sejurus kelahiran bayi. Ia turut dikenali sebagai hormon kasih saying (love), kelahiran (labour) dan penyusuan susu ibu (lactation).

Sentuhan kulit ke kulit awal antara ibu dan bayi yang dilahirkan dan hisapan puting oleh bayi akan merangsang saraf-saraf di dalam puting dan payudara untuk memberitahu badan ibu untuk menghasilkan hormon oxytocin dengan lebih banyak. Hormon ini akan mengecutkan otot-otot di sekeliling alveolus di dalam payudara supaya kolostrum dapat ditolak keluar daripada alveolus terus ke duktus susu. Keadaan ini dipanggil refleks ejeksi susu (milk ejection reflex) atau refleks “let-down”. Kolostrum kemudiannya akan mengalir keluar melalui bukaan di puting dan terus ke dalam mulut bayi.

Kolostrum yang turut digelar “cecair emas” merupakan susu awal yang dihasilkan oleh payudara ibu. Ia adalah cecair likat, pekat berwarna putih kekuningan yang akan diminum oleh bayi dalam beberapa hari selepas kelahirannya sehinggalah payudara ibu akan menghasilkan susu yang matang. Setiap anak mamalia memerlukan kolostrum ibunya sendiri ketika lahir kerana ia mengandungi kandungan antibodi yang tinggi untuk imuniti badan. Selain itu, peratusan kandungan karbohidrat (laktos), lemak tepu, protein yang bersesuaian membantu tumbesaran dan perkembangan bayi serta memudahkan pencernaan dan membentuk sistem penghadaman yang baik. Di dalam 48 jam pertama selepas kelahiran, bayi hanya memerlukan setengah ke satu sudu kecil kolostrum pada setiap kali penyusuan. Walaupun kuantiti yang diperlukan oleh bayi amat kecil, ia bersesuaian dengan saiz perut bayi yang amat kecil (sebesar buah ceri pada hari pertama-kedua selepas kelahiran) dan kolostrum yang pekat tersebut dapat menyaluti sistem pencernaan bayi untuk menghalang bakteria daripada memasuki dan menjangkiti salur darah bayi.

Penyusuan susu ibu adalah satu kemahiran yang perlu dipelajari. Membuat persediaan untuk menyusukan bayi dengan susu ibu ketika hamil lagi dapat memudahkan proses penyusuan susu ibu setelah bayi dilahirkan. Kaedah memegang dan posisi bayi ketika menyusu serta pelekapan mulut bayi ke atas payudara dengan betul dapat mengelakkan masalah-masalah lain timbul ketika proses penyusuan susu ibu berlaku. Ibu juga harus memikirkan rangkaian sokongan yang dapat menyokong dan membantu anda dalam mengharungi perjalanan menjadi seorang ibu dan menyusukan bayi dengan susu ibu. Anda mungkin memerlukan bantuan daripada suami, keluarga, kawan-kawan dan pengamal kesihatan profesional.

Proses penyusuan susu ibu melibatkan pelbagai refleks dan tindakbalas. Berlatih untuk menyusukan bayi ketika hamil, walaupun agak pelik adalah sangat berguna. Lagi kerap anda berlatih, contohnya dengan menggunakan anak patung, serta membiasakan diri anda dengan payudara sendiri, anda akan menjadi lebih tenang dan mahir apabila menyusukan bayi anda setelah dia lahir.

Ketika hamil lagi, anda bolehlah menghubungi kumpulan sokongan penyusuan susu ibu di kawasan anda dan berjumpa dengan ibu-ibu lain yang sedang menyusukan anak mereka. Lihat dan pelajari bagaimana ibu-ibu tersebut membantu dalam pelekapan bayi mereka ke payudara, dan perhatikan bagaimana bayi yang agak besar sedikit menyusu sendiri di payudara ibu tanpa bantuan. Menghadiri kelas penyusuan susu ibu ataupun berjumpa dengan pakar laktasi dapat membantu anda dan suami mendalami ilmu dan praktikal penyusuan susu ibu.

Selain itu, mempelajari teknik yang betul untuk memerah susu menggunakan tangan (hand expression) ketika hamil dapat membantu proses penyusuan susu ibu nanti. Selain daripada membiasakan ibu dengan payudara mereka sendiri, ia dapat membantu ibu melegakan kebengkakan ketika dalam pantang di mana penghasilan susu adalah amat banyak. Adakalanya, kaedah memerah dengan menggunakan tangan serta urutan lebih membantu mengurangkan bengkak dan melancarkan aliran susu daripada menggunakan pam payudara.

Banyak perkara yang perlu anda pelajari dan pertimbangkan sementara menunggu kelahiran bayi dan memulakan perjalanan indah dalam penyusuan susu ibu. Untuk mengalami perjalanan penyusuan susu ibu yang positif dan bertahan lama, penting untuk anda memastikan yang berikut:

  • Anda mempunyai keazaman yang tinggi untuk menyusukan bayi anda dengan susu ibu
  • Anda sangat komited untuk menghadapi dan mengharungi sebarang masalah penyusuan kerana anda tahu susu anda memberikan yang terbaik untuk kesihatan anak anda
  • Suami anda menyokong dan menggalakkan anda memberi susu ibu kepada bayi anda, dan kalian haruslah bersabar dan fleksibel dalam menangani sebarang situasi
  • Anda mempunyai keluarga, rakan-rakan yang pernah menyusukan bayi mereka dengan positif, memahami bagaimana penyusuan susu ibu berlaku dan menyokong hasrat anda untuk menyusukan bayi dengan susu ibu
  • Anda dijaga oleh pengamal kesihatan profesional yang bertauliah, merupakan guru yang baik dan sangat menyokong

Dr. Ezura Madiana Md Monoto seorang pensyarah dan pakar perubatan keluarga di sebuah universiti tempatan. Beliau juga merupakan seorang daripada 26 orang konsultan laktasi diperakui (International Board Certified Lactation Consultants- IBCLC) di Malaysia.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box