Memahami Imunisasi & Vaksinasi- Khairul Naim Zainal Abidin

Syringe_Vials_Vaccine_Flu-copySistem Imun Manusia Yang Kompleks

Sistem imun badan merupakan suatu sistem yang kompleks. Sistem ini bukan sahaja wujud dalam badan manusia, malah turut wujud dalam badan benda hidup yang lain. Komponen sistem imun terbahagi kepada dua iaitu

  • Sistem imun tidak spesifik seperti lapisan pelindungan fizikal (contoh: lapisan lendir dalam salur pernafasan), lapisan pelindung sel dan sistem peradangan kulit.
  • Sistem imun spesifik seperti sel darah putih, antibodi, Sel T(T-cell) dan Limfosit B (B-lymphocyte).

Kewujudan sistem ini penting untuk menghapuskan antigen dalam badan kita. Antigen ialah sebarang bahan yang boleh mencetuskan tindak balas imun dalam badan. Contoh-contoh antigen ialah kuman, virus malah benda asing seperti debu, toksin haiwan dan sebagainya. Terdapat sesetengah penyakit di mana sel dalam badan sendiri menjadi antigen terhadap sistem imun. Kumpulan penyakit ini dinamakan sebagai penyakit auto imun.

Imunisasi dan Vaksinasi

Imunisasi ialah suatu proses pembinaan daya tahan badan terhadap jangkitan penyakit. Ada dua jenis imunisasi iaitu:

  • Imunisasi aktif – proses imunisasi yang berlaku apabila sesuatu antigen masuk ke dalam badan, sama ada disengajakan atau tidak disengajakan. Elemen pertahanan badan (contoh: antibodi) dihasilkan sendiri oleh tubuh badan, hasil rangsangan antigen yang masuk ke dalam badan.
  • Imunisasi pasif – proses imunisasi apabila elemen pertahanan badan (contoh: antibodi) tidak dihasilkan sendiri oleh badan, sebaliknya dibawa masuk ke dalam badan. Contohnya, antibodi dari ibu dipindahkan kepada bayi dalam kandungan untuk melindungi bayi daripada sebarang jangkitan.

Vaksinasi pula merupakan proses memasukkan bahan yang boleh merangsang imunisasi untuk membolehkan badan menghasilkan elemen daya tahan terhadap jangkitan. Terdapat pelbagai jenis vaksin seperti vaksin 3 serangkai MMR (measles, mumps, rubella), vaksin 5 serangkai DTap-IPV-Hib (diphteria, tetanus, whooping cough, polio & haemophilus influenza type B), vaksin hepatitis B, vaksin BCG (Bacillus Calmette-Guérin) dan vaksin HPV (human papilloma virus). Vaksinasi merupakan proses imunisasi aktif yang disengajakan.

Ringkasan Sejarah Vaksinasi

Proses perkembangan vaksin berevolusi seiring dengan perkembangan pengetahuan manusia. Pada zaman Dinasti Ming di China sekitar abad ke 16, para tabib telah menggunakan teknik inokulasi untuk mencegah penyakit cacar. Teknik inokulasi melibatkan pengambilan cecair dari bahagian badan pesakit yang terkena cacar. Cecair itu kemudian disapu pada badan individu yang sihat, supaya badan individu yang sihat tersebut membina kekebalan terhadap serangan cacar.

Teknik yang sama digunakan oleh kerajaan Turki semasa pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah. Teknik tersebut disaksikan oleh Lady Montagu, isteri kepada Duta British yang bertugas di Istanbul sekitar tahun 1716 hingga 1718. Lady Montagu kemudian meminta doktor peribadi beliau untuk menjalankan prosedur yang sama terhadap anak perempuan beliau.

Pembinaan Daya Tahan Badan Melalui Vaksinasi.

Semasa vaksinasi dilakukan, bahan antigen disuntik ke dalam badan bagi menggalakkan proses pembinaan daya tahan badan. Proses pembinaan daya tahan badan selalunya melibatkan dua jenis sel darah putih – sel B & dan sel T. Kedua-dua sel ini dihasilkan dalam sumsum tulang. Perbezaan antara keduanya ialah tempat sel B dan sel T berkembang menjadi matang. Sel B atau bone marrow cell berkembang dan matang dalam sum-sum tulang. Sel T atau thymus cell pula matang dalam sebuah organ badan kita dinamakan sebagai thymus.

Apabila sel B bersentuhan dengan antigen, sel B akan menghasilkan sejenis protein berbentuk Y yang dinamakan antibodi. Antibodi bertindak menyahaktifkan antigen melalui beberapa cara iaitu:

  • Antibodi melekat pada antigen dalam jumlah yang banyak dan menyebabkan antigen ternyahaktif.
  • Antibodi menyerang antigen dan menyebabkan antigen tersebut pecah.
  • Antibodi menyebabkan antigen bergumpal dan menyebabkan gumpalan itu ditelan oleh sejenis sel darah putih yang besar yang dipanggil sebagai makrofaj.

Berbeza dengan sel B, sel T tidak menghasilkan antibodi. Sel T membantu melawan antigen melalui beberapa cara iaitu

  • Sel T akan menghasilkan bahan kimia yang bernama sitokin. Sitokin yang dihasilkan dalam kuantiti yang banyak akan merangsang sel darah putih lain seperti makrofaj untuk pergi ke tempat antigen dikesan. Antigen itu kemudian akan ditelan makrofaj tersebut.
  • Sel T bertindak sendiri ke atas sel badan yang dijangkiti antigen dengan memusnahkan sel badan tersebut. Sel T menjalankan mekanisma sedemikian digelar sebagai sel T sitotoksik.

Selepas berlaku jangkitan dan semua antigen berjaya dimusnahkan, sel B & sel T yang masih tertinggal akan berubah menjadi sel memori. Sel memori B & sel memori T inilah yang membolehkan badan kita kebal terhadap jangkitan penyakit. Ini kerana, apabila kuman/virus yang sama kembali menyerang, sel memori tersebut akan melawan kuman/virus tersebut.

Bahan antigen dalam vaksin terdiri daripada kuman yang telah dilemahkan atau pun protein virus. Melalui vaksinasi,badan kita dapat menghasilkan antibodi & sel memori tanpa perlu mengalami kesan jangkitan penyakit yang serius seperti demam panas, sesak nafas, batuk berdarah, sawan dan sebagainya. Secara ringkasnya, vaksin mengandungi komponen ringkas kuman/virus yang sudah cukup untuk membolehkan badan kita membina kekebalan terhadap penyakit tanpa perlu mengalami kesan & simptom penyakit tersebut.

Status Halal & Bahan Kimia Dalam Vaksin

Secara amnya, kebanyakan vaksin di Malaysia tidak mengandungi unsur haram, kecuali vaksin rotavirus & vaksin anthrax. Kedua-dua vaksin tersebut sudah difatwakan haram untuk diambil oleh orang Islam oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, melainkan jika keadaan darurat dan terdapat keperluan mendesak. Maksudnya sekira terjadi wabak, tiada masalah sebenarnya untuk umat Islam mengambil kedua-dua jenis vaksin tersebut.

Di antara bahan tambah lain dalam vaksin ialah unsur logam seperti aluminium dan thiomersal (sejenis sebatian yang mengandungi raksa). Aluminium terdapat dimasukkan ke dalam vaksin tetanus kerana aluminium menambahkan keberkesanan vaksin berbanding jika vaksin tetanus itu diberikan tanpa aluminium. Sebatian thiomersal pula digunakan sebagai bahan anti kulat untuk mengelakkan vaksin berkulat apabila disimpan dalam tempoh lama. Kandungan aluminium & raksa dalam thiomersal dalam vaksin berada paras yang berpatutan dan tidak berbahaya kepada kesihatan.

Keberkesanan Vaksin & Kekebalan Kelompok

Vaksin yang disuntik ke dalam tubuh manusia, tidak semestinya berkesan mencegah penyakit. Keberkesanan sesuatu vaksin bergantung kepada banyak perkara seperti cara penyimpanan vaksin & sistem imun orang yang divaksin itu sendiri. Oleh demikian, proses vaksinasi penting untuk disertai oleh semua individu untuk mewujudkan suatu keadaan yang digelar sebagai kekebalan kelompok.

Kekebalan kelompok ialah keadaan di mana kelompok individu yang kebal terhadap sesuatu penyakit, melindungi individu yang lemah daya tahan terhadap penyakit tersebut. Individu kebal tidak akan dijangkiti oleh penyakit, dan seterusnya menghalang penyakit itu daripada menjangkiti individu yang lemah daya tahan penyakit.

Penutup

Pada tahun lepas 2015, terdapat satu kes jangkitan diphteria di Sepanyol melibatkan seorang budak lelaki. Rawatan diphteria memerlukan bekalan anti toksin diphteria. Disebabkan kes tersebut merupakan kes jangkitan diphtheria yang pertama semenjak 1986, Sepanyol tidak menyimpan stok antitoksin tersebut. Kebetulan di Rusia terdapat simpanan stok anti toksin diphtheria, duta Sepanyol terpaksa meminta pertolongan pihak berkuasa Rusia untuk membekalkan stok anti toksin itu. Pihak Rusia bersedia memberi bantuan dan membekalkan anti toksin tersebut kepada pihak Sepanyol. Malangnya, budak lelaki malang tersebut gagal diselamatkan.

Vaksinasi merupakan proses penjagaan kesihatan yang amat penting. Proses ini merupakan satu peluang untuk mengelakkan diri daripada terkena jangkitan penyakit berbahaya. Perasaan was-was terhadap vaksinasi dapat dibendung dengan cara mendapatkan maklumat yang sahih berkenaan perkara tersebut.

Khairul Naim bin Zainal Abidin seorang pegawai farmasi yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Nota tambahan daripada MMG:

Negara kita pula dikejutkan dengan 3 kematian akibat diphteria baru-baru ini. Tragedi ini telah mencetuskan banyak perbincangan dan persoalan tentang vaksin, gerakan anti-vaksin dan hal-hal berkaitan. Pastikan anda mendapat informasi yang sahih dari pakar perubatan bertauliah dan profesional perubatan tentang vaksin dan bukan daripada sumber yang tidak dapat dikenalpasti kesahihannya. Dapatkan pandangan tentang vaksin dari sudut agama daripada fatwa kebangsaan dan ulama, bukan daripada mereka yang hanya mengaku pakar.

Rujukan:

  1. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-penggunaan-vaksin-biothrax-dan-vaksin-rotateq-yang-menggunakan-unsur-babi-dal
  2. http://time.com/3908566/spain-diphtheria-infection-disease-disease-vaccination-infection-anti-vaxxer/

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box