Lawatan Pertama ke Klinik Kesuburan, Apakah yang Akan Berlaku?- Dr Sumithra Devi Valiapan

Sumber gambar: M1 Psychology

Setiap kali saya mendengar pertanyaan “Adakah saya mandul, Doktor?” di bilik pemeriksaan saya, membuatkan saya terkejut. Mungkin kerana istilah mandul itu bunyinya seperti sudah tiba di hujung jalan, apatah lagi agak kasar bunyinya pada pandangan saya.

Dianggarkan ketidaksuburan (infertiliti) ini berlaku kepada 1 daripada 10 pasangan suami isteri. Istilah ketidaksuburan merangkumi pasangan yang gagal hamil walaupun telah setahun berusaha dengan melakukan hubungan intim sekurang-kurangnya 2-3 kali seminggu.

Walau bagaimanapun, pasangan yang telah dkenalpasti mempunyai masalah seperti kualiti sperma yang kurang atau isteri yang mempunyai penyakit dalaman seperti endometriosis atau saluran falopio yang telah diketahui tersumbat, harus mendapatkan nasihat serta rawatan dari seorang Doktor Pakar Kesuburan lebih awal lagi. Wanita yang berusia 36 tahun dan ke-atas, juga, sebaik-baiknya mendapat pemeriksaan serta rawatan setelah 6 bulan berusaha, dan tidak menunggu setahun sebelum tampil melakukan rawatan kesuburan.

Langkah pertama yang perlu diambil oleh doktor adalah mendapatkan rekod kesihatan yang lengkap daripada suami dan juga isteri. Seterusnya doktor akan melakukan pemeriksaan pada isteri serta melakukan imbasan scan untuk mendapatkan gambaran keadaan rahim serta kilang telurnya (ovari).

Langkah berikutnya pula, adalah pemeriksaan darah hormon reproduktif si isteri. Jenis hormon yang akan diperiksa bergantung kepada rekod kesihatan serta kitaran haidnya. Pemeriksaan untuk menentukan fungsi tiub falopio juga mungkin perlu dijalankan. Tidak kurang pentingnya adalah pemeriksaan air mani si suami. Ini supaya pemeriksaan tahap awal pasangan tersebut lengkap dan doktor akan dapat memberikan penjelasan dengan lebih teliti tentang masalah yang telah dikenalpasti.

Seterusnya ialah, sedikit sebanyak perbincangan tentang rawatan kesuburan yang paling sesuai untuk setiap pasangan tersebut. Ini adalah bergantung kepada umur si isteri, kualiti sperma si suami, keadaan tiub falopio si isteri, serta rizab kilang telur si isteri.

Sumber gambar: fertility.womenandinfants.org

Antara pilihan rawatan adalah tablet kesuburan atau suntikan ubatan kesuburan; bersamaan hubungan kelamin pada masa yang telah ditetapkan. Ia adalah berdasarkan respon pada ubat kesuburan yang diberikan. Kaedah-kaedah lain adalah dengan inseminasi intra-uterin (sperma si suami dimasukkan terus ke dalam rahim si isteri), mahupun bayi tabung uji (in-vitro fertilization). Setiap kaedah tersebut mempunyai tahap keberhasilan, risiko serta kerumitannya tersendiri, dan ini akan diterangkan oleh Doktor Pakar Kesuburan anda dengan lebih lanjut.

Itulah secara kasar, apa yang berlaku ketika pasangan tampil mendapatkan nasihat dari seorang Pakar Kesuburan buat pertama kalinya. Tidak terlalu menggerunkan, bukan? Namun, tindakan mengambil langkah pertama untuk mendapatkan khidmat nasihat seorang Pakar Kesuburan inilah, yang mungkin merupakan salah satu keputusan yang terpenting dalam kehidupan pasangan suami-isteri yang sedang menghadapi masalah mendapatkan zuriat.

 

Dr. Sumithra Devi Valiapan, Pakar Kesuburan (Fertiliti) dan Pakar Obstetrik & Ginekologi

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box