KKM edar Face Mask untuk Golongan Berisiko di Negeri-negeri dengan Kualiti Udara Merosot – KKM

b6e5Sebelum keadaan berjerebu bermula Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah pun bersiap sedia dengan menyemak pelan tindakan menghadapi jerebu. KKM juga menghadiri Mesyuarat Induk Jerebu Kebangsaan yang telah diadakan dan dipengerusikan oleh YB Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) pada 28 Ogos 2015 bagi membincangkan tindakan pencegahan jerebu dan tindakbalas kecemasan antara agensi bagi menangani situasi jerebu yang tidak menentu semasa cuaca panas dan kering yang diramalkan berlanjutan sehingga bulan Oktober 2015.

Memandangkan tahap kualiti udara semakin merosot di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Sarawak; KKM akan membantu dalam mengedarkan penutup hidung dan mulut (face mask) kepada orang awam berisiko yang memerlukannya. Golongan berisiko adalah terdiri daripada kanak-kanak, orang tua, wanita mengandung, pesakit jantung dan respiratori serta mereka yang sensitif kepada habuk. Edaran face mask akan dibuat di hospital dan klinik-klinik kerajaan di negeri-negeri yang telah dinyatakan di atas. KKM akan memantau keadaan jerebu dari masa ke semasa dan edaran face mask akan dibuat di negeri-negeri lain apabila keadaan memerlukan.

Selain daripada itu, KKM telah bersiap sedia dengan memastikan peralatan dan ubatan bagi rawatan penyakit berkaitan jerebu mencukupi di klinik dan fasiliti Kesihatan.

Pihak KKM juga ingin mengingatkan agar orang ramai mematuhi nasihat kesihatan semasa jerebu dengan mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah, sentiasa cuba berada di dalam bangunan (indoors) dan jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung dan mulut (face mask) yang sesuai.

11215738_10152994580066237_6408973309002048227_n

Sila pastikan juga udara di dalam rumah/bangunan sentiasa bersih dengan mengurangkan sumber pencemaran dalaman seperti asap rokok. Apabila memandu, gunakan pendingin hawa dengan memilih mode operasi kitaran udara dalaman. Banyakkan minum air kosong (sekurang-kurangnya 8 gelas sehari). Basuhlah tangan dan muka dengan sabun dan air bersih selepas melakukan/menghadiri aktiviti luar.

Bagi mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru yang kronik; hendaklah datang ke klinik dengan seberapa segera jikalau keadaan penyakit bertambah teruk. Orang awam boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu dari laman web KKM: www.infosihat.gov.my atau www.moh.gov.my (info kesihatan).

Pelbagai topik mengenai jerebu telah dimuatnaik ke laman sesawang KKM sepanjang episod jerebu baru-baru ini. Topik-topik yang dimuatnaik adalah seperti nasihat kesihatan bagi pekerja sektor perkhidmatan semasa jerebu; penjagaan penghidap penyakit kronik ketika keadaan berjerebu; kekal aktif walaupun keadaan berjerebu; pemakanan sihat semasa berjerebu; petua kepada peniaga/penjaja makanan di musim jerebu; nota nasihat bagi perokok untuk berhenti merokok semasa jerebu; penggunaan alat perlindungan diri semasa jerebu; panduan kesihatan untuk anda; dan langkah-langkah pencegahan semasa jerebu dan nasihat kesihatan bagi tempat kerja semasa jerebu.

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

14 September 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box