Ketiadaan sperma dalam air mani: musnahkah harapan kami untuk mendapat zuriat?- Dr Sumithra Devi Valiapan

Bayangkan senario ini: Sepasang suami-isteri sedang berjumpa dengan seorang Pakar Kesuburan di bilik konsultasi yang serba putih. Betapa tertekannya raut wajah pasangan tersebut apabila Pakar Kesuburan menerangkan keputusan ujian awal yang telah dilakukan untuk menemui punca masalah kesuburan mereka. Dan sekarang bayangkan betapa hampanya mereka ketika diberitahu bahawa keputusan ujian si-suami menunjukkan tiada benih (sperma) yang dikeluarkan didalam air maninya. Sudah tentu persepsi pertama yang terlintas di fikiran mereka ialah: musnahlah harapan kami untuk mendapatkan zuriat.

Istilah keadaan perubatan yang digambarkan di atas adalah azoospermia, iaitu ketiadaan sperma didalam air mani. Namun, ini bukanlah jalan terakhir bagi pasangan tersebut. Jika mereka mahu meneruskan usaha untuk mendapatkan cahaya mata, masih ada lagi sinar harapan bagi mereka. Kaedah in-vitro fertilization (IVF) dan intra-cytoplasmic sperm injection (ICSI) telah merevolusikan rawatan kesuburan. Yang pentingnya, Pakar Kesuburan haruslah dapat menemui sperma, walaupun dalam jumlah yang sangat rendah, supaya dapat disuntik terus kedalam benih (telur/oosit) si-isteri; iaitu kaedah ICSI.

Azoospermia merupakan suatu keadaan yang berlaku pada 15% pasangan yang mengalami masalah kesuburan. Di samping itu, masalah ini boleh memberi implikasi psikologi pada rumah tangga pasangan tersebut.

Perkara pertama yang harus dilakukan oleh seorang Pakar Kesuburan adalah mengulangi semula ujian air mani buat kali kedua untuk mengesahkan kesahihan ujian yang pertama. Ya benar, keadaan ini boleh terjadi, di mana ujian kedua akan menunjukkan bilangan sperma yang normal. Namun, jika ujian kedua juga menunjukkan azoospermia, maka pemeriksaan air mani tersebut dapat memberikan beberapa petunjuk penting tentang punca kepada masalah ini, contohnya jumlah keseluruhan air mani serta ke-alkaliannya.

Seterusnya, Pakar Kesuburan akan mengambil sejarah kesihatan si-suami,dan ini diikuti dengan pemeriksaan fizikal supaya dapat menemui sebarang kelainan pada kelamin lelaki. Langkah berikutnya pula, adalah melakukan ujian darah untuk menentukan paras hormon serta melakukan analisis genetik si-suami. Kadangkala, perlu melakukan pemeriksaan ultrasound pada buah zakar/testis si-suami.

Kesemua pemeriksaan ini akan memberikan informasi yang sangat berharga dan dapat membantu Pakar Kesuburan mengenalpasti punca azoospermia dan seterusnya dapat menentukan rawatan yang terbaik.

Terdapat empat keadaan utama yang menyebabkan ketiadaan sperma dalam air mani:

  1. Ejakulasi songsang/ Retrograde ejaculation

Kelainan anatomi pada leher pundi kencing menyebabkan air mani mengalir ke-belakang ke dalam pundi kencing ketika pancutan air mani (orgasme) berlaku. Sperma yang ditemui dalam air kencing ini dapat digunakan untuk persenyawaan dengan telur/oosit si-isteri.

Selain dari itu, andaikata sperma yang dijumpai tidak dapat digunakan untuk persenyawaan, maka Pakar Kesuburan akan melakukan pembedahan kecil pada buah zakar/testis si-suami untuk mencari sperma. Dengan kedua-dua pendekatan ini, kebarangkalian menemui sperma yang dapat digunapakai untuk kaedah ICSI adalah sangat tinggi.

  1. Saluran ejakulasi tersumbat

Si-suami terpaksa menjalani satu pembedahan kecil pada buah zakarnya, namun pengorbanan ini sangat berbaloi, kerana kemungkinan Pakar Kesuburan menemui sperma yang berkualiti tinggi adalah sangat memberangsangkan. Sperma ini dapat digunakan dalam kaedah persenyawaan ICSI.

  1. Kerosakan pada buah zakar/testis

Antara perkara yang dapat menyebabkan kerosakan buah zakar adalah jangkitan kuman, rawatan barah, kelainan anatomi, kecederaan pada kemaluan, pembedahan, penggunaan steroid/ hormon testosteron serta kelainan kromosom.

Malangnya, terdapat segolongan kecil lelaki yang mempunyai masalah genetik yang menyebabkan buah zakarnya sama sekali tidak dapat menghasilkan sperma, dan tiada rawatan lain yang dapat disyorkan oleh Pakar Kesuburan.

Untuk yang selebihnya pula, kadangkala, Pakar Kesuburan akan berikhtiar dengan memberikan ubat hormon pada si-suami selama beberapa bulan, dengan harapan dapat mencetuskan pembentukan sperma. Namun, kemungkinan besar, si-suami terpaksa melalui pembedahan kecil pada buah zakar/testisnya untuk mencari sperma yang dihasilkan agar dapat digunakan dalam proses ICSI. Peratusan penemuan sperma dengan kaedah ini adalah agak memberangsangkan, iaitu 30-60%.

  1. Kekurangan perembesan hormon yang mengawal fungsi buah zakar/testis (hypogonadotrophic hypogonadism)

Keadaan ini sangat mudah diubati dengan suntikan hormon yang akan mengatasi kekurangan hormon tersebut. Malahan, kaedah ini dapat menghasilkan jumlah sperma yang mencukupi untuk berlakunya persenyawaan semulajadi, tanpa melibatkan rawatan kesuburan yang rumit.

Umumnya, pembedahan yang dimaksudkan, adalah prosedur di mana samada sperma disedut dengan jarum dari saluran di bahagian atas buah zakar atau satu goresan yang kecil dilakukan pada permukaan buah zakar dan sebahagian kecil isinya diambil untuk pemeriksaan di bawah mikroskop untuk mengenalpasti sperma. Kaedah ini dilakukan dengan bius dan lazimnya mengambil masa kurang dari sejam.

Kesemua yang diterangkan diatas telah disampaikan dengan cara ringkas agar tiada kekeliruan serta tidak mengerunkan si-suami sebelum tampil membuat rawatan lanjutan. Yang ingin saya tekankan adalah, masalah azoospermia pada zaman sekarang bukanlah halangan terakhir bagi sebahagian besar pasangan, asalkan pasangan tersebut tegar melanjutkan rawatan.

Sebagai ikhtiar terakhir, pengambilan anak angkat merupakan satu alternatif yang sangat mulia dan tidak harus dilupakan sebagai salah satu pilihan bagi pasangan yang mengalami masalah kesuburan.

Saya mengakui, bahawa terdapat pelbagai pendekatan baru yang inovatif dalam bidang kesuburan/infertiliti, namun kita sebagai manusia, hanya boleh merancang, semua keputusan dan kuasa di tangan Tuhan.

 

Dr. Sumithra Devi Valiapan, Pakar Kesuburan (Fertiliti) dan Pakar Obstetrik & Ginekologi

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box