Kesihatan Lelaki: Mati Pucuk dan Persoalannya- Dr Shaiful Ehsan

Kesihatan boleh didefinasikan sebagai keadaan yang serba sihat dan stabil dari segi fizikal, mental, emosi serta sosial dan bukan merujuk kepada badan yang sihat tanpa penyakit sahaja. Antara pemangkin kepada Negara yang maju dan aman bergantung kepada masyarakat yang sihat dan institusi kekeluargaan yang harmoni. Kesihatan keluarga bergantung kepada kesihatan setiap individu di dalam keluarga itu sendiri. Justeru kesihatan lelaki dan wanita adalah sama penting. Bagi lelaki yang telah berkeluarga, kesihatan seksual merupakan antara aset yang amat penting dan menjadi antara faktor keharmonian rumah tangga dan kebahagian hidup berpasangan. Penyakit mati pucuk adalah antara penyakit utama yang dikaitkan dengan kesihatan seksual kaum Adam. Namun, ianya jarang diperkatakan oleh kaum Adam itu sendiri kerana stigma yang bakal dialami. Sesungguhnya mati pucuk juga merupakan petanda bahawa kaum Adam itu berkemungkinan mengalami masalah saluran darah dan jantung. Justeru, ianya tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

 

1) Apa itu mati pucuk?

Mati pucuk adalah keadaan di mana zakar seseorang lelaki tidak dapat menegang (penile erection) ketika ingin melakukan hubungan seks. Ia juga merujuk kepada ketidakupayaan lelaki untuk mengekalkan ketegangan zakar ketika melakukan hubungan seks dengan pasangan mereka untuk tahap yang memuaskan. Ianya sama sekali tidak merujuk kepada keadaan mandul atau pun ketidakupayaan untuk memancutkan air mani atau ejakulasi. Namun, kesemuanya boleh berkait rapat antara satu sama lain. Keadaan ini boleh disedari oleh lelaki tersebut itu sendiri mahupun oleh pasangan.

 

2) Siapakah yang umumnya mendapat mati pucuk?

Secara umumnya masalah mati pucuk boleh mula dialami oleh kaum Adam apabila menjangkau usia 40 tahun. Kajian menunjukkan 4 daripada setiap 10 lelaki mengalami masalah mati pucuk ketika berusia 40 tahun. Keadaan ini bakal menjadi lebih teruk dengan peningkatan umur. Mereka yang berisiko termasuklah mereka yang mengalami penyakit kegemukan, merokok, tidak aktif secara fizikal, dan mereka yang mengalami masalah kesihatan yang kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan tinggi kolesterol. Merokok itu sendiri memberikan impak yang besar kepada risiko mati pucuk iaitu sebanyak 4 kali ganda.

 

3) Bagaimana saya tahu saya mengalami masalah mati pucuk yang teruk?

Keterukan mati pucuk boleh dinilai berdasarkan kepuasan individu dan pasangan dalam hubungan seks. Ianya boleh dinilai melalui skor berdasarkan rasa keyakinan dan keupayaan untuk memula dan mengekalkan ketegangan zakar sehingga mencapai rasa kepuasan dalam hubungan seks. Keupayaan ini dinilai berdasarkan kekerapan beroleh keupayaan yang dinyatakan di atas sama ada tiada langsung keupayaan dan keyakinan tersebut, jarang terjadi, kadang-kadang, sering kali atau hampir kepada tahap senantiasa berupaya. Pihak doktor di klinik akan menilai tahap keterukan mati pucuk pesakit dengan lebih teliti.

4) Apakah punca saya boleh mengalami mati pucuk?

Keupayaan untuk menghasilkan tegangan zakar dan kemaluan bergantung kepada tindakbalas yang memerlukan rangsangan di dalam fikiran dan stimulasi dari luar atau pasangan. Ia juga bergantung kepada kesihatan zakar dari segi fizikal, saluran darah, saraf yang baik dan bekalan hormon yang mencukupi. Justeru, apa jua keadaan yang menjejaskan salah satu faktor di atas boleh menjejaskan keupayaan untuk menegangkan zakar. Ini termasuklah:

Ganguan fikiran dan emosi: tekanan dan kemurungan, penyakit gemuruh, masalah rumahtangga, kurang stimulasi dari pasangan.

Masalah saraf: kecederaan saraf tunjang, angin ahmar atau strok

-Penyakit berkaitan saluran darah dan penyakit kronik: kencing manis, darah tinggi, penyakit buah pinggang

Kecederaan pada kemaluan atau zakar: kemalangan

-Masalah kekurangan atau ketidakstabilan hormon: kekurangan hormon testosteron, penyakit berkaitan thyroid

Tabiat yang boleh merosakkan saraf dan saluran darah: merokok, minuman alkohol berlebihan

-Penyalahgunaan dadah: Ganja, kokain (cocaine)

Kesan ubat-ubatan tertentu

-Faktor peningkatan umur

5) Apakah kesan mati pucuk?

Mati pucuk akan menyebabkan rasa rendah diri pada seseorang lelaki yang akhirnya akan membawa kepada tekanan dan menambah keterukan mati pucuk itu sendiri. Hubungan seks dan harmoni antara suami isteri juga boleh terjejas.

 

6) Apakah yang perlu saya lakukan jika saya ada gejala mati pucuk?

Pesakit hendaklah mengambil langkah inisiatif yang bijak dengan berjumpa dengan pihak doktor terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan. Elakkan dari mengambil secara rambang apa-apa “ubat kuat” yang banyak terdapat di pasaran yang mana ada di antaranya tidak berdaftar dan boleh menyebabkan kemudaratan pada diri kaum Adam itu sendiri. Penilaian oleh pihak doktor terlebih dahulu adalah sangat penting untuk memastikan risiko serangan jantung dan apa jua kemudaratn tidak berlaku sebelum membenarkan pesakit memulakan rawatan ubat. Ini termasuklah juga pada pesakit jantung yang ada mengambil ubat jantung yang dinamakan nitrate. Ini adalah kerana rawatan ubat untuk menegangkan zakar boleh menyebabkan penurunan darah yang mendadak apabila diambil bersama ubat nitrate dan menyebabkan serangan jantung.

 

7) Bolehkah mati pucuk diubati sepenuhnya?

Rawatan ubat untuk menegangkan zakar tidak akan dapat memulakan proses penegangan tersebut. Tetapi ia cuma akan dapat menambahkan tegangan yang hanya dapat dimulai oleh pesakit itu sendiri. Justeru, ubat ini masih memerlukan keadaan saluran darah dan saraf yang masih dapat berfungsi pada tahap yang optima di samping bantuan rangsangan daripada pihak pasangan. Ubat ini juga perlulah dimakan mengikut perancangan masa sekitar 1 jam sebelum aktiviti seks dimulakan. Ianya tidak boleh dimakan berulang kali dalam satu masa atau lebih dari sekali dalam tempoh sehari kerana kesannya yang lama di dalam darah. Untuk mati pucuk yang berada pada tahap yang sederhana teruk dan sangat teruk, yang mana tidak dapat dirawat dengan pemakanan ubat, terdapat pelbagai lagi jenis rawatan yang lain yang boleh dicadangkan oleh pakar urologi. Ini termasuklah suntikan ubat pada zakar, rawatan menggunakan alat penegang pada kemaluan mahupun rawatan melalui pembedahan. Rawatan hormon juga boleh dicadangkan kepada pesakit yang telah disahkan mengalami masalah kekurangan hormon dan sesuai untuk dimulakan rawatan tersebut. Justeru, berjumpalah segera dengan doktor anda di kilink berdekatan untuk mendapatkan penerangan lanjut berkenaan rawatan yang ada.

Namun begitu, kawalan penyakit kronik yang sedia ada amatlah sangat penting dan perlu diberi keutamaan untuk membantu rawatan mati pucuk dengan berkesan. Ini termasuklah langkah untuk berhenti merokok, mengamalkan cara hidup yang aktif dan pengambilan diet yang sihat dan seimbang. Penyakit kemurungan dan emosi yang lain juga perlu diatasi dan dikawal dengan baik.

 

8) Bolehkah mati pucuk dicegah?

Seperti yang telah dinyatakan di atas tadi, terdapat pelbagai faktor yang boleh menyumbang kepada penyakit mati pucuk termasuk penyakit-penyakit kronik. Pencegahan daripada mendapat penyakit-penyakit kronik tersebut melalui amalan hidup yang sihat dan seimbang merupakan antara langkah pencegahan yang bijak dan mampu mengurangkan risiko daripada mengalami mati pucuk pada usia yang muda. Elakkan daripada merokok dan kekalkan berat badan yang ideal.

Secara kesimpulannya, penyakit mati pucuk adalah antara penyakit yang umum di kalangan lelaki namun jarang diperkatakan oleh pesakit itu sendiri. Pesakit harus berfikiran terbuka dan datang mendapatkan pandangan dan rawatan yang tepat daripada pihak doktor. Rawatan mati pucuk tidak hanya bergantung pada ubat-ubatan, tetapi bermula pada individu itu sendiri dalam mengamalkan cara hidup yang sihat dan mengawal penyakit kronik yang telah sedia ada.

Artikel ini ditulis oleh Dr Shaiful Ehsan sempena Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki November ini.

Rujukan:

1) John Murtagh’s General Practie 5th Edition

2) Malaysia Urological Association – Clinical Practice Guideline in Erectile Dysfunction.

3) UpToDate – Overview of Male Sexual Dysfunction

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box