Keseimbangan Kehidupan-Kerja dan Kesannya Pada Kesihatan Mental – Dr Firdaus Bt Datuk Abdul Gani

Pendahuluan

Antara petikan terkenal mengenai keseimbangan kerja dan kehidupan adalah Hillary Rodham Clinton mengatakan,

“Don’t confuse having a career with having a life”

“Jangan kelirukan pekerjaan sebagai kehidupan.”

Untuk ramai orang, pekerjaan adalah keutamaan mereka. Kita terlalu sibuk mencari nafkah dan lupa memberi masa untuk kehidupan. Oleh demikian, terdapat keperluan untuk mencari keseimbangan antara kerja dan kehidupan.

Keseimbangan kerja-kehidupan merupakan konsep yang merangkumi pengutamaan antara kerja dan gaya hidup (misalnya kesihatan, waktu lapang, keluarga). Keseimbangan kerja-kehidupan optimum berubah mengikut masa dan berbeza antara individu. Tiada satu saiz untuk semua dalam mendapatkan keseimbangan kerja-kehidupan.

Mitos berkaitan keseimbangan kerja-kehidupan

Mitos No 1: Keseimbangan kerja-kehidupan bermaksud masa terbahagi kepada 50% bekerja dan 50% di rumah.

Realiti : Keseimbangan Kerja-Kehidupan berlaku apabila individu memperuntukkan sumber mental, fizikal, dan emosi yang terhad dengan cara yang sesuai dengan matlamat-matlamat peribadi dan/atau profesional.

Mitos No 2: Wanita lebih menginginkan keseimbangan kerja-kehidupan berbanding lelaki

Realiti : Banyak kajian menunjukkan tiada perbezaan antara jantina dalam pengalaman konflik antara kerja dan kehidupan. Kedua-dua lelaki dan wanita terkesan dengan tuntutan kerja dan bukan kerja.

Mitos No 3: Keseimbangan kerja-kehidupan sinonim dengan keseimbangan kerja-keluarga atau sokongan keluarga

Realiti : menyamakan keseimbangan kerja-kehidupan dan sokongan keluarga mengandaikan hanya mereka yang berkeluarga menginginkan keseimbangan. Perkara ini boleh membawa kepada reaksi negatif di kalangan pekerja yang belum berkahwin atau yang tiada anak kerana mereka juga mahukan kesimbangan yang sama. Terdapat tanggapan salah dimana ramai berfikir mereka yang berkeluarga lebih wajar mendapat masa tambahan dalam domain gaya hidup mereka berbanding yang belum berkahwin.

 

Mentaksir keseimbangan menggunakan roda keseimbangan kerja-kehidupan

Bagaimanakah anda mentaksir keseimbangan kerja-kehidupan? Adakah anda melakukannya dengan tepat? Antara cara yang boleh digunakan ialah Roda Kehidupan (Wheel of Life).

Secara asasnya, Roda Kehidupan terbahagi kepada bahagian atau kategori yang penting untuk anda. Pada contoh roda kehidupan yang tertera, roda terbahagi kepada kategori-kategori utama kehidupan iaitu Kerjaya (Career), Kewangan (Finances), Perkembangan Peribadi (Personal Growth), Perhubungan (Relationships), Kesihatan (Health), Keluarga (Family) dan Sikap (Attitude). Kategori mungkin berbeza bergantung kepada keperluan individu.

Bagaimana untuk skor dalam roda kehidupan?

Markah 1 hingga 10 diletakkan pada skala. Markah-markah ini akan menunjukkan bahagian yang memerlukan perubahan dan menetapkan matlamat untuk meningkatkan bahagian-bahagian utama dalam kehidupan anda.

Setelah anda telah menandakan markah untuk setiap bahagian, sambungkan titik-titik setiap bahagian untuk melukis roda. Roda ini akan menunjukkan tahap keseimbangan keseluruhan hidup anda and membantu mengenali bahagian yang memerlukan fokus. Tetapkan matlamat untuk peningkatan selepas itu.

Kemudian, anda perlu mengenalpasti dua bahagian dimana anda berpuas hati dan dua bahagian yang paling tidak memuaskan hati. Apabila bahagian-bahagian ini dikenalpasti, tanya pada diri soalan-soalan berikut:

  1. Apa yang perlu dilakukan untuk mencapai tahap lebih memuaskan di bahagian-bahagian tersebut?
  2. Apa yang akan berubah sekiranya anda kurang berpuas hati di bahagian-bahagian tersebut?
  3. Apa yang perlu dikatakan tidak untuk mendapatkan keseimbangan yang lebih tinggi?
  4. Apa yang anda perlu katakan ya untuk menjadi lebih seimbang?
  5. Apa yang akan berlaku sekiranya anda tidak mengatakan ya atau tidak kepada perkara-perkara ini?
  6. Adakah anda ingat kali terakhir anda berasa seimbang? Apa yang telah anda lakukan ketika itu? Bagaimanakah perasaannya?

Simptom-simptom ketidakseimbangan

Bagaimana untuk tahu sekiranya anda mengalami ketidakseimbangan? Ketidakseimbangan bukan sahaja memberi kesan terhadap kesihatan mental, tetapi juga kepada kesihatan fizikal. Perkara ini bergantung kepada daya tahan, sokongan sosial dan perwatakan seseorang. Sesetengah orang lebih kental dari orang lain. Berikut adalah contoh-contoh simptom:

  • Fizikal: Sakit kepala, kelesuan, gangguan tidur, debaran jantung, perubahan selera makan, ketegangan otot
  • Emosi: kemurungan, keresahan, kerengsaan, kerungsingan, kesukaran membuat keputusan, sukar menumpukan perhatian, perasaan putus asa/tidak berdaya, hilang minat
  • Peribadi: Menyendiri, kepenatan, konflik dalam hubungan, penyalahgunaan bahan/alkohol, hilang motivasi

Sekiranya terdapat simptom-simptom kemurungan/keresahan berterusan atau gangguan prestasi, mendapatkan pertolongan profesional adalah tindakan yang terbaik.

Kenalpasti halangan kepada keseimbangan

Jika anda mengalami simptom-simptom ketidakseimbangan, tanya diri anda apakah yang menghalang anda daripada mencapai keseimbangan.

Halangan-halangan yang sering didapati ialah:

  1. Masa
  2. Perasaan serba salah
  3. Memanjat “tangga” atau matlamat kerjaya
  4. Gagal menetapkan batasan
  5. Tidak mampu mengatakan tidak

Strategi-strategi meningkatkan keseimbangan

  1. Fahami bahawa sesetengah perkara diluar kawalan diri untuk diubah
  2. Bertindak untuk mengurangkan atau menghilangkan penyebab stres
  3. Berkongsi masalah dengan orang lain
  4. Kenalpasti saliran keluar stres
  5. Gantikan hubungan-hubungan negatif dengan yang positif
  6. Kembangkan aktiviti-aktiviti riadah – hobi, majlis sosial
  7. Dapatkan nasihat orang lain
  8. Belajar mengatakan tidak
  9. Tinggalkan kerja di tempat kerja
  10. Kenalpasti pilihan di tempat kerja dan ambil kesempatan ke atasnya (contohnya flexi hours)
  11. Mantapkan sistem sokongan anda

Rencana ini diterjemahkan dari versi asal di https://www.mmgazette.com/work-life-balance-its-impact-on-mental-health-dr-firdaus-bt-datuk-abdul-gani/ oleh Nur Nadhirah

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box