Kesan Jangka Panjang Ubat Tidak Berdaftar – Norvena Hisyam

Sumber: www.slate.com

Sumber: www.slate.com

Sewaktu saya menjadi pengutip data bagi satu kajian nasional – Drug Utilisation Study in Diabetes Mellitus di sebuah hospital daerah di pendalaman Sabah pada tahun 2012, saya berpeluang berkenalan dan berkongsi pengalaman dengan beberapa sukarelawan yang dijadikan subjek kajian tersebut. Mereka merupakan pesakit-pesakit yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis lebih daripada 5 tahun. Kajian tersebut  memerlukan saya merekod data selama enam bulan bagi setiap kos yang terlibat dalam usaha pesakit mengubati penyakit yang dihadapi.

Salah seorang pesakit, Mariati (bukan nama sebenar) merupakan seorang jururawat yang menjadi sukarelawan bagi kajian itu. Apa yang mengejutkan saya adalah pada usia begitu muda iaitu 35 tahun, beliau telah menghidapi penyakit ini. Umum mengetahui 50% pesakit mendapat diabetes kerana faktor diet yang tidak seimbang serta gaya hidup yang tidak sihat. Berlainan dengan Mariati, penyakit yang dihadapi beliau adalah padah daripada mengambil supplement (makanan tambahan) sewaktu usia 23 tahun. Memiliki bentuk badan yang terlalu kurus di bawah berat badan normal (BMI <16) pada waktu itu, beliau teruja untuk mencuba produk yang dijanjikan mampu menambahkan berat badan.

Setelah mengamalkan produk tersebut secara konsisten selama 2 bulan, berat badannya bertambah namun beberapa simptom ganjil mula timbul. Kerap kencing tidak kira waktu, badan berpeluh dan terlalu cepat dahaga adalah antara simptom-simptom yang dihadapinya. Kandungan dan kuantiti bahan di dalam produk yang diambil tidak pernah beliau ketahui kerana percaya pada promosi yang dibuat. Simptom-simptom ini yang pada mulanya tidak diendahkan mula menimbulkan kerisauan apabila beliau sering kali terbaca risalah mengenai diabetes yang diedarkan di dalam klinik tempat beliau bertugas.

Hasil pemeriksaan dan ujian-ujian yang dijalankan oleh doktor perubatan mengesahkan sistem pankreas yang menghasilkan insulin badan beliau telah rosak. Kesannya, kandungan gula di dalam darah beliau sentiasa tinggi. Simptom-simptom yang beliau alami dipercayai berpunca daripada kerosakan ini. Sejak  itu, rawatan suntikan insulin  disyorkan oleh doktor  bagi mengawal tahap gula dalam darah.

Kesan buruk yang beliau alami adalah kesan kekal pada sistem badan namun masih ramai yang tidak cakna dengan keselamatan produk-produk yang diambil. Keghairahan masyarakat masa kini yang begitu berani mencuba produk-produk yang tidak diketahui kesahihan kandungannya menyebabkan risiko-risiko di atas terjadi. Ambil peduli kesihatan anda, dan kekalkan gaya hidup sihat serta rujuklah individu yang bertauliah!

Norvena binti Hisyam adalah seorang pegawai farmasi yang bekerja di Melaka.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

1 comment for “Kesan Jangka Panjang Ubat Tidak Berdaftar – Norvena Hisyam

  1. kika
    August 25, 2014 at 3:31 pm

    Salam, apa cara yang sesuai untuk meningkatkan berat badan?
    Saya takut nak ambil apa-apa supplement. Takut merosakkan mana2 organ dalam badan.

    Berat saya 35kg.. umur 25tahun.. tggi 147cm..

    -kika

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box