Kes Disyaki Leptospirosis Bukan Berpunca daripada Minum Air Tebu di Bazar Ramadhan – KKM

Sumber: www.sihatselalu.com.my

Sumber: www.sihatselalu.com.my

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada gambar/isu yang tersebar secara meluas (viral) di media sosial berkenaan pesakit leptospirosis di sebuah Pusat Perubatan yang telah dikaitkan dengan meminum air tebu daripada bazar Ramadan.

Kementerian Kesihatan Malaysia juga ingin memaklumkan bahawa ianya salahdaripada segi privacy dan confidentiality untuk mengedar gambar pesakit dan keadaan kesihatan pesakit tanpa kebenaran beliau. Oleh kerana situasi ini telah berlaku, KKM telah pun mendapatkan kebenaran daripada keluarga pesakit bagi menjelaskan keadaan beliau.

Pesakit dimasukkan ke Pusat Perubatan tersebut pada 26 Jun 2015 setelah mengalami demam selama tiga (3) hari, pening kepala, sakit perut, muntah dan cirit–birit. Berdasarkan tanda–tanda klinikal, pesakit disyaki mendapat jangkitan leptospirosis. Namun begitu, keputusan ujian makmal masih belum diperolehi (pending).

Siasatan lanjut berhubung punca jangkitan mendapati pesakit berkemungkinan dijangkiti leptospirosis ketika melakukan aktiviti rekreasi dan mandi di Latar Lembek Felda Tersang, Raub, Pahang bersama rakannya pada 13 dan 14 Jun 2015. Dimaklumkan, terdapat antara rakannya juga mengalami gejala demam dan sakit sendi. Namun begitu, kesemua rakannya telah pun sihat pada masa kini. Siasatan sedang dijalankan dan tindakan kawalan serta pencegahan sedang dilaksanakan berhubung risiko kemungkinan jangkitan leptospirosis di Latar Lembek Felda Tersang, Raub, Pahang.

Dimaklumkan bahawa, kes yang disyaki leptospirosis tersebut tiada kaitan dengan meminum air tebu. Ini kerana kesemua rakan yang berkongsi air tebu dengan kes yang disyaki leptospirosis tersebut berada dalam keadaan sihat. Hasil daripada pemantauan juga mendapati, sehingga kini tiada kes tambahan atau kluster dilaporkan berhubung kejadian risiko mendapat jangkitan leptospirosis melalui meminum air tebu yang dibeli di bazar Ramadan pada 23 Jun 2015.

Semua pihak media dan orang ramai adalah diminta agar tidak mengganggu dan memberi ruang privasi kepada ahli keluarga serta pesakit agar rawatan dapat diberikan dengan sempurna.

Leptospirosis adalah suatu penyakit berjangkit daripada haiwan yang dijangkiti oleh bakteria Leptospira kepada manusia (penyakit zoonotik). Manusia boleh dijangkiti apabila terdedah kepada makanan, air atau tanah yang telah dicemari air kencing haiwan terjangkit (haiwan pembawa). Bakteria ini boleh dijangkiti melalui pengambilan makanan/minuman tercemar atau memasuki tubuh manusia melalui luka/kudis di kulit dan lapisan mukosa seperti selaput mata dan lapisan mukosa mulut yang bersentuhan dengan air atau persekitaran tercemar.

Penyakit Leptospirosis berlaku di seluruh dunia dan adalah endemik (boleh dijumpai di merata tempat) di negara-negara beriklim tropika. Kejadian leptospirosis dilaporkan berlaku dari masa ke semasa di negara-negara tersebut termasuk Malaysia. Gejala atau tanda-tanda penyakit leptospirosis antaranya ialah demam, sakit kepala, sakit badan, sakit sendi, batuk, loya, muntah, sakit perut, radang selaput mata dan jaundis.

Oleh yang demikian, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menasihati orang awam agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelak dijangkiti penyakit leptospirosis:

  1. Memilih premis makanan yang bersih dan elakkan daripada mengunjungi mana-mana premis makanan yang kotor;
  2. Menjaga kebersihan persekitaran rumah, premis makanan dan tempat rekreasi agar bebas daripada tikus dan haiwan perosak yang lain. Sampah dan sisa makanan dibuang secara sempurna;
  3. Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun;
  4. Elakkan daripada melakukan aktiviti riadah di tempat yang kotor seperti berkelah dan berenang di kawasan/kolam/sungai yang kotor. Elakkan daripada berenang atau bermain air di kawasan air bertakung atau aliran air/sungai yang perlahan;
  5. Elakkan daripada minum air sungai/kolam yang tidak dimasak;
  6. Bagi orang awam yang terdedah kepada risiko penyakit leptospirosis melalui pekerjaan dan aktiviti rekreasi supaya mengambil langkah-langkah berikut;
  • Memakai pakaian perlindungan yang kalis air seperti but getah dan sarung tangan;
  • Menutup luka-luka kulit dengan balutan yang kalis air;
  • Mencuci dengan air bersih selepas pendedahan; dan
  • Mendapatkan rawatan perubatan dengan segera jika mengalami gejala penyakit.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box