Keracunan Bahan Kimia di Tempat Awam: Apa Peranan Anda? – Dr Shaiful Ehsan

Baru-baru ini, negara kita digemparkan dengan insiden keracunan bahan kimia di daerah Pasir Gudang berpunca dari sikap tidak bertanggungjawab individu yang membuang sisa kimia ke dalam sungai berhampiran iaitu sungai Kim Kim. Ianya bukan sahaja mengakibatkan gejala keracunan kepada pelajar-pelajar sekolah berdekatan yang amat membimbangkan, namun melumpuhkan aktiviti pembelajaran dan mengganggu kegiatan seharian penduduk setempat. Pencemaran bahan kimia ini boleh merebak kepada penduduk tempatan melalui pencemaran udara, saliran air mahupun rantaian makanan.

Pencemaran bahan kimia boleh menjejaskan fungsi fisiologi badan, mengganggu sistem pernafasan, pencernaan dan pemikiran, serta merosakkan kesihatan kulit. Ada juga kesan jangka masa panjang yang masih belum dirungkaikan sepenuhnya. Justeru, pencegahan pencemaran kimia melalui pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang adalah lebih baik berbanding merawat keracunan bahan kimia itu sendiri. Mari kita kenali apa peranan kita apabila berlakunya pencemaran kimia.

Apa yang saya perlu lakukan untuk mencegah dan menyelamatkan diri dari terkena keracunan bahan kimia tersebut?

  • Elakkan diri dari memasuki atau berada di kawasan yang telah dikenalpasti tercemar dengan bahan kimia
  • Elakkan daripada melakukan aktiviti riadah di dalam daerah yang tercemar dengan bahan kimia
  • Dapatkan rawatan segera jika mengalami sebarang tanda-tanda awal keracunan kimia
  • Memakai alat pelindung diri seperti penutup muka sekiranya perlu berada di kawasan terlibat biarpun sementara
  • Senantiasa peka terhadap maklumat kesihatan dan pencegahan yang dilaporkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah terlibat atau Kementerian Kesihatan Malaysia termasuklah penutupan fasiliti kerajaan atau nasihat perjalanan di kawasan terbabit

Apakah yang perlu saya lakukan jika saya telah terdedah atau berada di kawasan pencemaran sisa bahan kimia?

  • Segeralah mandi dan mencuci pakaian secara berasingan bagi mengelakkan pendedahan melalui kulit.
  • Digalakkan untuk minum air dengan lebih banyak dan lebih kerap
  • Berehat di rumah dan memantau tahap kesihatan
  • Segeralah hadir ke klinik berdekatan atau fasiliti kesihatan untuk mendapatkan rawatan sekiranya berasa kurang sihat atau mengalami apa saja gejala yang luar dari kebiasaan, seperti:
  • Berasa loya dan muntah
  • Berasa pening
  • Sesak nafas
  • Sakit mata atau pedih mata
  • Sakit atau berasa sempit pada dada
  • Gatal-gatal kulit atau perubahan ketara pada kulit

Adakah saya perlu dimasukkan ke hospital sekiranya saya terdedah kepada pencemaran kimia?

Nasihat kesihatan adalah berbeza mengikut jenis-jenis kimia yang terdedah. Namun, secara umumnya, tidak semua pesakit memerlukan rawatan di hospital. Kebanyakannya lebih memerlukan rawatan dan pemantauan sebagai pesakit luar. Bagi penduduk yang terdedah kepada sisa kimia, mereka perlu dimasukkan ke hospital sekiranya terdapat gejala-gejala atau tanda-tanda berikut:

  • Keadaan diri yang tidak stabil
  • Demam
  • Sukar bernafas
  • Muntah berterusan
  • Jatuh pengsan
  • Tiada selera makan
  • Berasa sangat lemah
  • Merupakan pesakit-pesakit kronik seperti kegagalan buah pinggang atau masalah paru-paru
  • Merupakan kategori yang berisiko tinggi seperti ibu mengandung, kanak-kanak atau warga emas – mengikut penilaian pihak doktor

 

 

Apakah peranan anda agar keracunan bahan kimia tidak berulang?

Sebagai masyarakat umum, kita menjadi aset terpenting negara sebagai pemerhati dan pemberi maklumat sekiranya berlaku pembuangan sisa kimia di sekitar kawasan kediaman kita. Senantiasa melaporkan sebarang keraguan atau aktiviti pembuangan kepada pihak berkuasa. Ambil tahu berkenaan kedudukan dan aktiviti kilang-kilang yang ada di sekitar kawasan perumahan masing-masing. Sekiranya terhidu bau yang tidak menyenangkan, segeralah memaklumkan kepada pihak jabatan alam sekitar dan kesihatan agar pemantauan segera dapat dilakukan. Tindakan segera anda mampu menyelamatkan nyawa penduduk berhampiran.

Secara kesimpulannya, keracunan bahan kimia adalah keadaan yang sangat merbahaya dan seharunsya diambil berat oleh semua pihak, termasuk pihak kesihatan, pentadbiran dan masyarakat umum. Sesungguhnya, pembuangan bahan kimia adalah kesalahan jenayah di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Dr Shaiful Ehsan merupakan seorang Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Klinik Kesihatan di Kuantan. Beliau sangat mementingkan pendidikan kesihatan kepada semua pesakit beliau. Artikel ini ditulis sempena tragedi keracunan bahan kimia di Pasir Gudang baru-baru ini.

Rujukan:

1) Undang-undang Malaysia, Akta 127, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974

2) Akta, Kaedah, Peraturan dan Arahan – Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim

3) Toxic Fumes Disaster – Guidelines for Doctors, Department of Medicine, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box