Kepatahan Tulang Kanak-kanak – Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed

“Abang, Hazim jatuh tu!” Puan Hasmah meluru ke arah Hazim yang terlentang di rumput. Pergelangan tangan kanan anaknya yang berusia 6 tahun itu kelihatan bengkok. Encik Lukman segera mengangkat Hazim dan bergegas ke hospital bagi mendapatkan kepastian. Pemeriksaan dan x-ray yang dilakukan menunjukkan tulang tangan kanan anaknya itu patah dan membengkok. Namun kepatahan itu tidak beralih sepenuhnya. Diagnosis yang diberikan ialah closed fracture distal end of right radius iaitu kepatahan tulang radius berhampiran pergelangan tangan.

Setelah memberi ubat penahan sakit dan ubat tidur kepada Hazim, doktor dan penolong pegawai perubatan melakukan prosedur Closed Manual Reduction (CMR) iaitu apabila kepatahan tulang radius pada pergelangan tangan Hazim dibetulkan kembali dan simen dipasang. Ujian x-ray kemudiannya diulang bagi memastikan kepatahan telah diletakkan dengan sempurna.

Hazim kemudiannya dibenarkan pulang ke rumah dan diberi temujanji untuk dilihat kembali di klinik pakar Ortopedik bagi rawatan susulan.

 

Plastic deformition Sumber: Orthobullet.com

 

SIFAT TULANG KANAK-KANAK

Tulang kanak-kanak yang masih membesar mempunyai beberapa sifat khusus yang membezakannya dengan tulang orang dewasa. Antara sifat tulang kanak-kanak ialah:

  1. Tempat pertumbuhan tulang

Tulang kanak-kanak mempunyai bahagian pertumbuhan tulang yang dikenali sebagai growth plate atau physis. Antara lokasi yang penting kerana selalu terlibat dengan kemalangan dan kepatahan ialah pada sendi bahu, siku, pergelangan tangan, lutut dan buku lali.

Kepatahan pada bahagian physis ini dibahagikan mengikut klasifikasi yang dikenali sebagai Salter-Harris (SH) classification bergantung kepada bahagian tulang dan physis yang patah.

 

Salter Harris fracture Sumber: Orthobullet.com

Sekiranya kepatahan yang melibatkan tempat pertumbuhan ini tidak dibetulkan dengan sempurna, tangan atau kaki anak anda boleh membengkok dan tempang. Di hospital, kami akan menggunakan mesin x-ray khas yang dikenali sebagai image intensifier di bilik bedah bagi memastikan tulang yang patah ini diletakkan dalam keadaan sempurna.

  1. Jenis kepatahan

Selain daripada kepatahan pada tempat pertumbuhan tulang di atas, terdapat beberapa kepatahan yang hanya berlaku pada kanak-kanak yang disebabkan wujudnya lapisan luar tulang yang dikenali sebagai periosteum yang tebal.

 

Torus fracture Sumber: Orthobullet.com

  1. Torus fracture: Bahagian luar tulang (cortex) yang cedera membonjol tapi tidak patah sepenuhnya
  2. Greenstick fracture: Bahagian luar tulang (cortex) hanya patah separuh iaitu pada satu cortexsahaja umpama kita cuba patahkan ranting pokok yang muda
  • Plastic deformation: Ini adalah keadaan di mana tulang yang cedera kelihatan membengkok atau melentur

Greenstick fracture Sumber: Orthobullet.com

  1. Proses pembentukan tulang

Proses kematangan setiap tulang pada badan manusia adalah berbeza. Ada tulang yang belum terbentuk sepenuhnya dan berada dalam keadaan tulang rawan (cartilage) semasa kita lahir. Contohnya, daripada lapan tulang yang ada pada pergelangan tangan, hanya tulang scaphoid dan capitate sahaja yang kelihatan sekiranya x-ray dilakukan pada seorang bayi, tulang-tulang lain masih dalam keadaan tulang rawan dan tidak akan kelihatan pada xray.

  1. Tempoh penyembuhan

Tempoh penyembuhan kepatahan tulang kanak-kanak adalah sekali ganda lebih cepat berbanding orang dewasa. Contohnya, kepatahan tulang tangan pada kanak-kanak mengambil masa 2 ke 3 minggu untuk tulang baharu (callus) mula kelihatan pada x-ray dan 6 ke 8 minggu untuk bercantum sepenuhnya namun bagi orang dewasa, callus mengambil 6 minggu untuk kelihatan dan 3 bulan untuk tulang bercantum sepenuhnya. Tempoh ini lebih lama sekiranya anda merokok atau ada masalah kesihatan lain seperti kencing manis dan kurang nutrisi.

  1. Remodelling

Tulang kanak-kanak mempunyai sifat istimewa, ia mampu membetulkan sedikit keadaan tulang walaupun kepatahan tidak diletakkan dengan sempurna. Proses ini disebut sebagai remodeling process. Setiap jenis dan bahagian tulang yang berbeza mempunyai darjah kebengkokkan yang boleh diterima selepas ditarik dan disimen atau selepas pembedahan dilakukan jika perlu.  

X-RAY

X-ray amat penting bagi memastikan keadaan tulang dan sendi apabila berlaku sebarang kemalangan terhadap anak anda. Ada masanya kepatahan tidak dapat dipastikan semasa kemalangan berlaku kerana pada usia tertentu, tulang kanak-kanak belum terbentuk sepenuhnya dan berada dalam keadaan tulang rawan (cartilage) dan tidak kelihatan dalam x-ray. Sekiranya ini berlaku, doktor akan memasang simen atau plaster of Paris (POP) bagi melindungi kawasan terbabit dan akan mengulangi x-ray selepas satu atau dua minggu.

Sekiranya berlaku kepatahan pada tulang anak anda, x-ray akan dibuat pada masa temujanji, biasanya dalam sela masa tiga ke empat minggu bagi menilai proses penyembuhan yang sedang berlaku.

 

PERLUKAH PEMBEDAHAN DILAKUKAN?

 

Majoriti kepatahan pada kanak-kanak tidak memerlukan pembedahan. Ia bergantung kepada jenis dan lokasi kepatahan. Kebanyakkannya boleh dirawat secara CMR dan disimen sahaja untuk tiga ke empat minggu. Ini adalah tempoh ini bagi tulang baharu (callus) tumbuh pada lokasi kepatahan. Setelah callus telah tumbuh, maka simen pada bahagian yang patah akan dibuka. Pembedahan hanya akan ditawarkan jika perlu sahaja. Anda boleh berbincang dengan doktor mengenai rawatan terbaik bagi anak anda.

 

Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed

Pakar Ortopedik,

HOSHAS Temerloh, Pahang

(Penasihat The Malaysian Medical Gazette)

 

RUJUKAN

  1. Review of Orthopaedics 5th Mark D. Miller. Sauders Elsevier 2008; page 640-642

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box