Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Mengenai ‘Pil Gugur’ – KKM

bisnita-cu-cytotec-favorizata-de-sistem-18388512Ubat yang disalahgunakan sebagai pil gugur yang dijual secara haram oleh mereka yang tidak bertanggung jawab adalah Tablet Cytotec yang merupakan produk berdaftar dengan nombor pendaftaran MAL19890225AR. Tablet ini mengandungi Misoprostol 200 mcg, yang dikelaskan sebagai Racun Jenis B di mana ia boleh diperoleh di klinik-klinik swasta atau dengan preskripsi di farmasi-farmasi. Kegunaan utama tablet Cytotec yang didaftarkan adalah untuk merawat ulcer. Kegunaan selain daripada rawatan ulcer adalah tidak dibenarkan.

Penggunaan tablet Cytotec tanpa nasihat pengamal perubatan adalah amat berbahaya. Penggunaannya selain dari untuk rawatan ulcer boleh membawa maut.

Pemegang pendaftaran bagi produk ini adalah Pfizer (M) Sdn. Bhd. Manakala syarikat yang dilantik untuk mengedarkan adalah Zuellig Pharma (M) Sdn. Bhd. Zuellig Pharma (M) Sdn. Bhd. hanya boleh menjual Tablet Cytotec kepada klinik perubatan swasta dan farmasi sahaja.

Semua produk yang berdaftar di negara ini mempunyai 2 ciri bagi memastikan ianya adalah dari sumber yang sah, iaitu nombor pendaftaran produk yang unik dan dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah di samping itu, setiap produk yang hendak dipasarkan perlu mempunyai logo hologram pada kotaknya.

Penjualan produk ini hanya dilakukan oleh syarikat yang dilantik oleh pemegang pendaftaran. Kementerian Kesihatan Malaysia tidak pernah melantik mana-mana syarikat atau orang perseorangan sebagai agen bagi produk yang didaftarkan.

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membeli produk ini di Internet dan orang perseorangan, di samping menyalahi undang-undang, ketulenan dan kesahihan produk tersebut juga diragui. Orang awam boleh membuat aduan terus ke Kementerian Kesihatan Malaysia supaya tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab serta membahayakan kesihatan awam.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
22 September 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box