Kempen Tak Nak Merokok di KLIA – KKM

taknakmerokokKempen Anti Merokok adalah sinonim dengan Kempen Cara Hidup Sihat yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Kempen Anti Merokok secara komprehensifnya telah dilancarkan pada tahun 2004 yang dikenali sebagai Kempen Tak Nak. Ianya bertujuan untuk:-

  • Meningkatkan kesedaran orang ramai kepada bahaya merokok.
  • Menggalakkan perokok supaya berhenti merokok.
  • Menanam hasrat dalam kalangan murid-murid sekolah dan remaja agar tidak mula merokok.

Di Malaysia, antara 10% hingga 12% dari punca kematian adalah kerana amalan merokok iaitu lebih 10,000 kematian setahun. Pada tahun 2011, pecahan pengagihan merokok yang merangkumi jumlah kematian di Hospital Kerajaan adalah 11,056 kematian keseluruhannya. Penggunaan produk tembakau adalah satu-satunya penyebab yang menyumbang kepada kematian yang boleh dicegah dan bertanggungjawab membunuh seorang individu daripada 10 orang dewasa secara global.

Wabak Tembakau yang merebak seluruh dunia membunuh hampir 6 juta orang setiap tahun. Lebih 600,000 adalah bukan perokok yang meninggal dunia akibat menjadi perokok pasif disebabkan oleh pendedahan kepada asap rokok. Jika kita tidak bertindak sekarang, epidemik ini akan membunuh lebih 8 juta orang setiap tahun menjelang 2030.

Masalah merokok merupakan masalah ‘global’. Kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia Rantau Pasifik Barat (WPRO) dalam laporan tahunan 2012, menganggarkan prevalen merokok pada tahun 2008, dalam kalangan orang dewasa yang berumur melebihi 15 tahun adalah 15% hingga 74% lelaki, dan dari 2% hingga 62% wanita. Laporan ini menganggarkan prevalen lelaki Malaysia yang merokok adalah 43% dan prevalen wanita adalah 3%.

Manakala kajian GATS (GLOBAL ADULT TOBACCO SURVEY) di Malaysia tahun 2011 mendapati;-

  • 4.7 juta orang dewasa (23.1%) di Malaysia adalah perokok.
  • 43.9% lelaki dewasa di Malaysia adalah perokok dan
  • 1.0% wanita dewasa di Malaysia adalah perokok

Kajian ini juga mendapati:-

  • 4.3 juta orang dewasa (20.9%) di Malaysia merokok setiap hari
  • 39.9% lelaki dewasa di Malaysia merokok setiap hari
  • 0.7% wanita dewasa di Malaysia merokok setiap hari

Kajian ini juga mendedahkan :-

  • 2.3 juta orang dewasa (4 dari 10) terdedah kepada asap rokok basi (pasif) di tempat kerja
  • 7.6 juta orang dewasa (4 dari 10) terdedah kepada asap rokok basi (pasif) di rumah
  • 8.6 juta orang dewasa (7 dari 10) terdedah kepada asap rokok basi (pasif) di restoran

Menyedari masalah merokok telah menjadi isu kesihatan awam, Kementerian Kesihatan telah, sedang dan akan terus mengambil tindakan untuk memberi pendidikan kepada masyarakat. Program Anti Merokok Kementerian Kesihatan yang telah dilaksanakan akan terus diperhebatkan. Antaranya:-

  • Menyiarkan mesej anti merokok menerusi media arus perdana.
  • Memperhebatkan penggunaan media sosial dalam mendidik mesyarakat tentang bahaya merokok.
  • Aktiviti pendidikan di peringkat komuniti oleh anggota kesihatan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)
  • Mewartakan kawasan-kawasan larangan merokok.
  • Meluaskan kawasan-kawasan larangan merokok
  • Melaksanakan larangan merokok kepada orang belum dewasa
  • Melaksanakan peruntukan pembungkusan dan pelabelan ( atau amaran kesihatan bergambar di kotak rokok)
  • Melarang iklan, tajaan dan promosi rokok
  • Menyediakan perkhidmatan membantu perokok berhenti merokok
  • Penyediaan perkhidmatan infoline berhenti merokok
  • Penerbitan dan pengedaran bahan-bahan pendidikan
  • Mengadakan inisiatif Negeri / kawasan bebas rokok (contoh Inisiatif Melaka Bebas Rokok, Johor Bebas Asap Rokok)
  • Memberi pengiktirafan kepada institusi / premis kerajaan dan swasta yang mengambil inisiatif melaksanakan kawasan bebas rokok

370_taknakLapangan Terbang KLIA merupakan kawasan larangan merokok di bawah Peraturan – Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan hasil pemantauan yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan KLIA didapati masih ramai yang merokok di KLIA.

Operasi Penguatkuasaan telah diadakan secara besar-besaran di KLIA pada tahun 2012 dan 2013 di mana:-

  • Tahun 2012
  • Pada bulan Disember , sebanyak 494 jumlah notis dikeluarkan dengan kutipan kompaun berjumlah RM 27,649.00.
  • Tahun 2013
  • Pada bulan Jun : 695 jumlah notis dikeluarkan dengan kutipan kompaun berjumlah RM 38,163.00.
  • Pada bulan November: 654 jumlah notis dikeluarkan, dengan kutipan berjumlah RM37,064.60

Penguatkuasaan Undang-undang bukanlah cara terbaik untuk menangani masalah dan gejala merokok di kalangan masyarakat terutama di KLIA. Kesedaran orang ramai mengenai kesan dan bahaya merokok kepada setiap individu dan masyarakat sekitar perlulah dipupuk dan dititikberatkan demi meningkatkan taraf kesihatan rakyat Malaysia.

Ke arah mencapai matlamat tersebut Pejabat Kesihatan KLIA dengan kerjasama Malaysia Airports Holding Berhad dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor pada hari ini mengadakan Kempen Tak Nak Merokok yang bertujuan untuk menyedarkan masyarakat terutamanya wargakerja KLIA di dalam memastikan persekitaran KLIA adalah bebas dari asap rokok.

Saya berharap komitmen yang telah diberi daripada pelbagai agensi di KLIA dapat diterjemahkan di mana semua agensi dapat memastikan tanda larangan merokok akan dipamerkan di premis masing-masing serta mengingatkan semua anggota mereka untuk tidak merokok di KLIA kecuali di tempat-tempat yang dibenarkan merokok.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengadakan Perkhidmatan Berhenti Merokok hampir di setiap Daerah di Malaysia. Perkhidmatan Berhenti Merokok untuk wargakerja KLIA disediakan di Pusat Kuarantin Kesihatan KLIA pada hari Rabu minggu ke 2 dan minggu 4 bermula 1 Mei 2014. Diharapkan semua agensi akan memaklumkan perkhidmatan ini kepada anggota yang merokok untuk perkhidmatan yang akan disediakan.

Perkhidmatan Berhenti Merokok ini bermatlamat adalah untuk:

  • Memberi pengetahuan dan kemahiran untuk perokok berhenti merokok.
  • Memberi rawatan dan pemulihan kepada perokok yang ingin berhenti merokok.
  • Memberi kesedaran kepada perokok tentang bahaya merokok.
  • Menggalakkan dan memberi motivasi kepada perokok daripada kembali merokok serta mengekalkan status tidak merokok.

Kementerian Kesihatan juga telah menyediakan Garis Panduan Premis Bebas Asap Rokok untuk digunakan oleh mana-mana agensi kerajaan atau swasta untuk mengambil inisiatif mewujudkan tempat kerja bebas rokok. Adalah diharapkan Kempen Tak Merokok di KLIA – ke arah KLIA Bebas Asap Rokok dapat dicontohi oleh lain-lain tempat di Negara ini supaya lebih banyak lagi premis Bebas Asap Rokok dapat diwujudkan.

Saya berharap Kempen Tak Merokok di KLIA akan mendapat sokongan sepenuhnya daripada semua agensi di KLIA. Tanpa kerjasama dari semua pihak agak sukar untuk mencapai hasrat dan objektif kempen ini.

Akhir kata saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan sekalung perhargaan dan tahniah kepada Malaysia Airport Berhad, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pejabat Kesihatan KLIA serta

Jawatankuasa Penganjur Kempen yang telah bertungkus – lumus untuk memastikan supaya kempen ini berjalan dengan lancar dan jayanya. Selain itu, ucapan terima kasih juga ditujukan kepada semua para jemputan yang turut hadir dan memeriahkan majlis pada hari ini.

Saya dengan sukacitanya dengan lafaz melancarkan Kempen Tak Nak Merokok Peringkat Negeri Selangor Ke Arah KLIA Bebas Asap Rokok dengan rasminya.

Y.B. Timbalan Menteri Kesihatan 26 April 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box