Kekal Sihat Walau Banjir Melanda – Dr Nur Hidayati

2014-12-24 10.41.20Bencana banjir pada tahun ini telah menyebabkan kesan musibah yang amat getir terhadap mereka yang terpaksa mengharunginya. Adalah sukar untuk memastikan keselamatan dan kesihatan penghuni semasa menghadapi bencana ini. Tetapi, jika kita dapat mengikuti peraturan mudah dan peringatan tentang banjir ini – kita pastinya mampu untuk kekal sihat dan selamat sepanjang bencana ini.

Rakyat Malaysia yang terlibat dengan bencana banjir khususnya terdedah dengan bahaya penyakit berjangkit seperti demam kepialu atau ‘thyphoid’, kolera, cirit-birit, keracunan makanan, demam kencing tikus atau leptospirosis mahupun demam denggi.

Antara cara-cara mengelakkan penyakit dan memastikan keselamatan kita semasa bencana banjir

  • Elakkan kemalangan melibatkan lemas

Pastikan kanak-kanak tidak bermain berdekatan dengan air bah. Kanak-kanak boleh lemas dalam jangka masa yang singkat – malah mereka boleh lemas dalam air cetek. Dalam banyak kes, ada kanak-kanak yang lemas walaupun semasa dalam jagan ibubapa.

  • Jangan biarkan kanak-kanak mahupun orang dewasa bermain dengan air banjir.

Beringatlah bahawa air banjir boleh tercemar dengan najis dan bangkai haiwan yang boleh membawa pelbagai kuman penyakit. Air banjir juga membawa risiko kerenjatan elektrik. Jauhi kawasan yang ada talian letrik tumbang atau wayar elektrik yang terdedah.

  • Pastikan diri anda dan keluarga anda mengelakkan keadaan dehidrasi dengan minum air yang bersih dan selamat

Elakkan minum air yang bercampur dengan air banjir. Jika anda tidak dapat bekalan air botol bersih, anda boleh menadah air hujan dan mendidihnya untuk menjadikannya selamat. Mendidih air dapat membunuh kebanyakan kuman punca penyakit berjangkit. Jika air yang ditakung itu keruh, kita perlu menyaringnya mengguna kain bersih atau membiarkan kotoran dalam air itu mendap ke dasar (gunakan air yang bersih pada permukaan) kemudian panaskan sehingga mendidih selama 1 minit sebelum digunakan. Air yang dididihkan kemudiannya disejuk, masukkan dalam bekas yang bersih dan bertutup.

  • Berwaspada dan pastikan makanan anda selamat

Jangan makan makanan yang mungkin telah dicemari air banjir. Buang makanan yang tidak disimpan dalam bekas kalis air khususnya jika ia telah terendam dalam air banjir. Periksa makanan dalam tin untuk kesan kerosakan seperti gelembung, lubang, karat ataupun kemek. Buang makanan tin yang mengalami kerosakan. Basuh bekas makanan dengan air bersih dan sabun. Gunakan air panas jika ada.

  • Bagi yang menghidapi penyakit kronik dan warga emas – pastikan anda teruskan mengambil ubatan harian anda. Jika ubatan anda telah terdedah dengan air banjir, buang dan jangan terus menggunakannya. Rujuk bantuan perubatan awal.

Bantulah pekerja bantuan dengan meringankan beban mereka. Beri kerjasama dengan mendengar nasihat dan arahan yang diberikan. Jika anda telah dinasihatkan untuk pindah lebih awal, pastikan anda tidak menunggu di saat akhir untuk bertindak. Sebelum berpindah, tutup suis elektrik utama dan barang elektrik yang ada di rumah. Tutup dapur gas dan pastikan talian gas diputuskan. Hanya bawa barang penting seperti sijil kelahiran, insurans, ubatan, telefon mudah alih dan sebagainya sebelum berpindah. Anda bolehs juga membawa barang yang berguna seperti lampu suluh, bateri, lilin dan sebagainya. Beritahu ahli keluarga terdekat ke mana anda pergi dan pusat perpindahan yang mana anda tinggal.

Bagi yang telah berada di pusat pemindahan banjir – anda dapat membantu dengan memastikan kawasan sekeliling anda bersih dan tidak membuang sampah sewenang-wenangnya. Anda boleh membantu bergotong-royong menyediakan makanan dan membersihkan dapur selepas penyediaan makanan. Anda juga dapat membantu menjaga anak anda dan anak jiran anda. Beritahu pihak bantuan kesihatan jika anda antau jiran anda tidak sihat atau menunjukkan tanda-tanda awal penyakit. Kita juga patut lebih prihatin terhadap keperluan warga emas, bayi, ibu mengandung, sedang berpantang serta wanita yang menyusukan anak.

Bersama-samalah kita melindungi kesihatan dan keselamatan semua ahli komuniti kita.

Dr Nur Hidayati merupakan penulis tetap The Malaysian Medical Gazette dan seorang doktor perubatan dalaman di sebuah hospital tempatan.

Bantulah mangsa banjir di Pantai Timur dengan menyumbang kepada Tabung Bencana MIMPA sekarang. Terima kasih di atas sokongan dan sumbangan anda.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

2014-12-26 13.30.33

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box