Kehamilan Anggur? – Dr Nur Syahrina Rahim & Prof Dr Hayati Abd Rahman

ng0306-274-F1Pada ibu yang tidak pernah mengalami kehamilan anggur mesti berasa hairan apakah itu penyakit kehamilan anggur. Apatah lagi kehamilan jenis ini sudah tentunya akan kedengaran agak luar biasa bagi pihak suami. Ditambah pula pandangan serong dan salah faham di kalangan segelintir masyarakat terhadap ibu yang mengalami kehamilan anggur, yang dikatakan terkena ‘buatan orang’ dan membawa keturunan berpenyakit. Justeru, mari kita belajar memahami penyakit kehamilan anggur.

Apakah yang dimaksudkan dengan kehamilan anggur? Mengapa pula kehamilan ini boleh berlaku? Kehamilan anggur merupakan satu jenis kehamilan yang tidak berkembang untuk menjadi janin yang sempurna. Akibat daripada masalah semasa proses persenyawaan, tisu embrio dan plasenta tidak berkembang dengan sempurna tetapi menjadi gugusan tisu berbentuk gelembung atau sista yang seakan seperti buah anggur.

Dari sudut perubatan, kehamilan anggur ini dikenali sebagai ‘Hydatidiform mole’ dan boleh diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu lengkap (complete mole) dan separa (partial mole). Secara genetiknya, punca kehamilan anggur berlaku disebabkan terdapatnya dua set kromosom bapa semasa proses persenyawaan. Kehamilan anggur jenis lengkap berlaku apabila ovum (telur) yang kosong disenyawakan oleh satu (yang akan berganda) ataupun dua sperma. Walaupun tisu persenyawaan tersebut masih mengandungi jumlah 46 kromosom yang sama seperti normal, ia hanya mengandungi kandungan genetik daripada bapa sahaja. Disebabkan inilah tiada janin yang terhasil tetapi hanya tisu berupa gugusan anggur yang akan terbentuk.

Berlainan pula bagi kehamilan anggur jenis separa, ovum yang normal (mempunyai kandungan genetik) yang akan disenyawakan. Oleh yang demikian, tisu persenyawaan tersebut mempunyai 69 kromosom (23 dari ibu, 46 dari bapa). Untuk kehamilan jenis ini, tisu janin boleh terbentuk tetapi pada kebiasaanya kematian janin akan berlaku pada peringkat awal. Manakala tisu plasentanya mengandungi komponen tisu yang normal serta tisu tidak normal yang berupa gugusan anggur.

Pada peringkat awal, ibu boleh mengalami simptom seperti rasa loya dan muntah yang teruk, saiz rahim lebih besar berbanding umur kandungan, mengalami tekanan darah tinggi dan bengkak pada kaki. Paras hormon human Chorionic Gonadotrophin (hCG) dalam darah juga meningkat jauh lebih tinggi daripada paras hormon kandungan normal terutamanya dalam jenis kehamilan anggur yang lengkap. Kehamilan anggur juga boleh dikesan melalui pemeriksaan ultrasound. Ia boleh dilihat jika terdapat gugusan tisu berupa anggur dan janin tidak dapat dikesan.

Walau bagaimanapun, keguguran ataupun kematian janin dalam kandungan akan berlaku pada kebanyakkan kehamilan anggur. Ibu akan mengalami pendarahan dan tisu plasenta yang gugur akan dihantar ke makmal untuk tujuan kepastian dan pengesahan penyakit kehamilan anggur.

moleDi bawah kanta mikroskop, gugusan tisu anggur ini adalah terdiri daripada struktur tisu plasenta (villi) yang membengkak (gambar) dan juga mengandungi kumpulan sel-sel plasenta (trophoblasts) yang bercambah.

Keseluruhan tisu plasenta harus dikeluarkan dan ibu perlu menjalani pemeriksaan secara berkala sehinggalah tiada lagi penyakit tersebut.

Terdapat risiko kecil di mana kehamilan anggur tersebut boleh merebak ke dinding rahim (invasive mole) atau menjadi kanser (choriocarcinoma). Walaupun demikian, ibu yang mengalami kehamilan anggur akan dipantau dengan rapi untuk mengesan komplikasi tersebut. Penyakit kehamilan anggur ini juga secara umumnya tidak memberikan implikasi kepada kehamilan seterusnya. Biasanya para ibu masih boleh hamil seperti biasa dan memperolehi anak yang normal.

Dr Nur Syahrina Rahim seorang ahli anatomi patologi dan Prof Dr Hayati Abd Rahman seorang pakar perunding kanan patologi perinatal di USIM.

Rujukan:

  1. Heerema-McKenney A, De Paepe ME, Popek EJ. Diagnostic Pathology: Placenta. Philadelphia: Amirys; 2015.
  1. com. Placenta: Gestational Trophoblastic Disease. Updated December 2011. www.pathologyoutlines.com

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box