Kecederaan Mata pada Kanak-kanak dan Remaja – Dr Azlindarita @ Aisyah Mohd Abdullah

88006895738A8B94A386B473DDC15EF1

Sumber: www.mivision.com.au

Saban tahun, kecederaan pada mata melibatkan jumlah pesakit yang besar. Di Amerika Syarikat, pada tahun 2006 sahaja, terdapat lebih 2.4 juta kes setahun, yang mana 35 peratus daripadanya adalah di kalangan kanak-kanak dan remaja berusia kurang dari 17 tahun. Majoriti daripada kes di Amerika Syarikat melibatkan kes luka pada sekeliling mata , manakala di Scotland pula, majoriti kes adalah akibat trauma objek tumpul dan seterusnya pendarahan di dalam mata. Tiada pengumpulan data yang diperolehi dari Malaysia tetapi terdapat banyak laporan yang diterbitkan berkenaan kecederaan akibat mercun menjelang musim perayaan, di mana 70 peratus daripada pesakit yang mengalami kecederaan mata merupakan dari kalangan kanak-kanak.

Kanak-kanak dan orang dewasa masing-masing terdedah kepada bahaya kecederaan pada mata. Berbeza dengan pesakit dewasa yang kebiasaannya memakai alat perlindungan mata semasa bekerja, kanak-kanak lebih terdedah kepada kecederaan pada mata kerana mereka aktif bermain di luar rumah, dan jarang mengenakan sebarang alat perlindungan seperti goggle atau cermin mata keselamatan.

Antara kecederaan kecil yang boleh berlaku pada kanak-kanak adalah calar pada kornea disebabkan hujung kertas atau kuku. Pesakit akan mengalami mata merah dan berair, dan kebiasaannya tidak mahu membuka mata yang tercedera itu kerana sakit. Ubat titis antibiotik akan diberikan untuk mengelakkan jangkitan kuman, dan air mata palsu diberikan untuk menggalakkan pertumbuhan sel baru untuk menutupi luka tersebut. Pesakit selalunya sembuh dalam masa seminggu. Kadangkala jangkitan berlaku di kawasan luka, dan boleh menyebabkan penyakit mata merah (conjunctivitis) atau ulser yang akan memerlukan rawatan lebih intensif, dan mengambil masa lebih panjang untuk sembuh sepenuhnya.

Terpercik bahan asid atau alkali ke dalam mata pula adalah antara kecederaan yang lebih serius dan memerlukan rawatan segera. Kecederaan ini boleh berlaku semasa kemalangan atau disengajakan dalam kes-kes penderaan. Contoh bahan yang merbahaya untuk mata adalah asid, air bateri, campuran simen mahupun cecair pencuci yang pekat. Mata akan kelihatan merah, berair dan pesakit selalunya mengalami sakit yang amat sangat dan penglihatan menjadi kabur. Kecederaan yang disebabkan bahan beralkali seperti bahan pencuci dan simen mengakibatkan kecederaan yang lebih serius berbanding bahan berasid kerana sifat bahan beralkali yang lebih menghakis dan boleh menembusi struktur mata dan seterusnya mengakibatkan kebutaan. Rawatan awal yang harus diberikan adalah mencuci mata dengan air bersih dan steril seperti larutan salina, selama sekurang-kurangnya sepuluh minit, agar tahap keasidan atau kealkalian berkurang menjadi neutral. Pesakit perlu dibawa ke hospital pada kadar segera bagi mengelakkan kebutaan yang berkekalan.

Kecederaan objek tumpul seperti bola tennis, bola sepak mahupun tumbukan antara lain boleh menyebabkan pendarahan di dalam mata, koyak pada kornea iaitu bahagian depan mata, koyak pada lapisan saraf retina dan kebocoran mata atau “globe rupture”. Kecederaan disebabkan objek tajam pula boleh menyebabkan calar, luka atau koyak pada kelopak mata atau kornea (corneal abrasion or laceration), koyak pada saraf retina, saraf retina tertanggal, pendarahan dan jangkitan kuman. Kedua-dua jenis kecederaan ini boleh berlaku di mana sahaja, contohnya tercucuk duri pokok di sekolah, tercucuk pensil di kelas, tercucuk tin berkarat di taman permainan ataupun semasa kemalangan jalan raya. Ada kalanya kecederaan ini melibatkan objek tajam tercucuk ke dalam mata, dan meninggalkan bendasing di dalm mata.

Bagi kecederaan mata akibat objek tumpul mahupun tajam, jangan sekali-kali cuba untuk mengeluarkan bendasing yang termasuk ke dalam mata. Lindungi mata itu dengan gelas plastik atau Styrofoam, dan pergi ke hospital secepat mungkin. Pemeriksaan yang teliti di bawah bius penuh kebiasaanya dilakukan oleh pakar mata, kerana kanak-kanak sukar memberikan kerjasama untuk pemeriksaan tanpa bius. Pesakit mungkin akan memerlukan pembedahan bagi menyelamatkan mata tersebut, dan tempoh untuk pulih sepenuhnya mengambil masa antara beberapa minggu hingga beberapa bulan.

Kecederaan mata akibat mercun pula walaupun bersifat berkala menjelang musim perayaan, namun ia boleh menyebabkan kebutaan yang kekal. Sekitar Aidilfitri tahun 2008 sahaja, 30 pesakit, 5 daripadanya melibatkan kedua-dua mata, mengalami kecederaan akibat mercun di Pantai Timur Malaysia. 15 peratus daripada kecederaan mercun ini melibatkan orang yang berada berdekatan dengan mercun itu, dan tidak bermain dengan mercun ketika kejadian. Majoriti dari pesakit (60 peratus) mengalami kesan terbakar pada kulit, kelopak mata dan kornea manakala 40 peratus pesakit mengalami kecederaan yang lebih serius akibat letupan itu sendiri. Pemantauan ibu bapa dan pelaksanaan undang-undang yang ketat boleh diimplimentasikan bagi mengurangkan insiden kecederaan yang boleh dielakkan ini.

Ada kalanya pesakit kanak-kanak merahsiakan kecederaan yang dialami kerana takut dimarahi oleh kedua-dua ibu bapa ataupun penjaga. Ini menyebabkan kelewatan dalam menerima rawatan, yang boleh mengakibatkan kesan jangkamasa panjang. Adalah penting bagi ibu bapa dan penjaga untuk sentiasa mengambil berat keadaan anak-anak dan membawa mereka untuk pemeriksaan lanjut sekiranya mereka mengadu sakit mata, mata merah dan berair, bengkak di sekeliling mata, atau enggan membuka mata.

Kebanyakan kecederaan mata melibatkan sebelah mata sahaja, dan dengan rawatan segera sama ada dengan ubat-ubatan mahupun pembedahan, potensi untuk sembuh adalah tinggi, bergantung kepada tahap kecederaan. Apa yang paling penting adalah untuk segera mendapatkan rawatan di hospital dan sebaiknya bertemu dengan pakar mata yang berpengalaman.

Dr. Azlindarita @ Aisyah Mohd Abdullah adalah seorang ophthalmologist & pensyarah Fakulti Perubatan UITM.

Rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box