Keadaan Vegetatif Berterusan – Dr. Rahmat Bin Harun

Source: http://healthland.time.com/

Sumber: http://healthland.time.com/

Bayangkan: anda buka mata dan anda nampak  cahaya yang sangat terang. Anda nampak bayangan manusia yang mengelilingi anda. Anda tidak tahu apa yang sedang berlaku. Tiba-tiba, ada tangan-tangan yang memegang tubuh anda dan mengiringkan anda ke sebelah kiri. Anda tidak tahu apa yang mereka sedang lakukan pada anda. Anda tutup mata.

Tik. Tok. Tik. Tok. Masa berjalan pantas.

Tiga bulan kemudian: Anda buka mata dan anda nampak cahaya itu lagi. Anda masih tidak tahu apa-apa. Anda nampak bayangan manusia berjubah putih di hadapan anda. Dan kemudian, anda nampak wajah yang anda kenali. Tanpa anda sedari, pipi anda terasa hangat dek air mata. Anda dengar, ”Tengok, dia menangis. Selalu riak mukanya kosong sahaja, tak ada ekspresi.” Ungkapan itu jelas anda dengari, tetapi anda tetap tidak faham akan apa yang sedang berlaku dan kenapa anda menangis. Sekali lagi, anda dapat rasa pegangan tangan yang membalikkan tubuh anda. Anda tahu mereka melakukan sesuatu kepada anda tetapi anda masih tidak tahu apa. Anda tutup mata kembali.

Yang tertera di atas adalah huraian tentang perasaan seseorang yang masih hidup, namun terperangkap dalam satu keadaan. Keadaan yang menyebabkan seseorang itu tidak sedar walaupun berjaga. Keadaan yang menyebabkannya tidak mampu untuk melakukan apa-apa pun. Keadaan ini dinamakan ‘keadaan vegetatif’. Pesakit yang berada dalam keadaan ini tidak berdaya untuk melakukan kegiatan seharian dan bergantung kepada orang di sekelilingnya untuk menguruskan diri, makan dan buang air. Dia tidak dapat bergerak dan terpaksa mengharapkan orang lain untuk membantunya.

Adakah ini situasi yang pernah kita lihat atau hadapi? Apa yang dapat kita fahami daripada istilah ‘keadaan vegetatif’?

Senario 1: Pada suatu hari, ahli keluarga seorang pesakit yang mengalami kecederaan otak yang parah bertanya kepada doktor; “Ah! (terkejut), dia tengok saya dan menangis.Tapi bila saya bercakap dengan dia, tak ada balasan pun, doktor. Bila saya cubit dia pun, dia tidak ada sebarang reaksi. Apa maksudnya, doktor? Adakah dia koma? Adakah dia dalam keadaan vegetatif?”

Senario 2: Seorang wanita muda mengalami kegagalan fungsi jantung, yang mana jantungnya terhenti  untuk beberapa lama, lalu menyebabkan kecederaan hipoksia pada otak. Kecederaan otak hipoksia, atau ‘hypoxic brain injury’ dalam bahasa Inggeris, adalah keadaan yang disebabkan oleh kekurangan bekalan oksigen ke otak. Walaupun nyawanya dapat diselamatkan, wanita itu hidup dalam ‘keadaan vegetatif berterusan’ selama berbulan-bulan. Dia terpaksa bergantung kepada penjaganya untuk menjalani kehidupan seharian. Adakah dia akan pulih? Bolehkah dia menjalani hidup seperti sediakala? Patutkah alat bantuan pernafasannya diberhentikan jika dia tiada peluang untuk pulih semula? Adakah nyawanya akan terancam jika tidak menerima sokongan dan penjagaan sempurna?

Dalam topik ini, ada pelbagai istilah yang mungkin bunyinya sama tetapi hakikatnya, membawa maksud yang berlainan. Anda mungkin pernah dengar istilah-istilah berikut: (i) koma, (ii) keadaan vegetatif(vegetative state), (iii) keadaan vegetatif berterusan(persistent vegetative state), (iv) keadaan vegetatif tetap(permanent vegetative state), dan (v) kematian otak(brain death). Dalam artikel ini, penekanan akan diberikan kepada keadaan vegetatif berterusan.

UntitledSemua istilah ini berkait rapat dengan otak yang cedera dan tidak dapat berfungsi seperti yang sepatutnya. Sebagai seorang insan, kita perlu bersyukur kerana dapat melakukan pelbagai aktiviti yang bermanfaat dan menguruskan diri dengan teratur dan secara berdikari. Selain daripada makan dan membuang air, proses penting seperti pernafasan oleh paru-paru dan pengepaman darah oleh jantung tetap dijalankan walaupun tanpa kita sedari. Semua proses dan aktiviti ini bergantung pada fungsi otak yang normal. Ia juga membantu kita untuk sedar akan keadaan sekeliling supaya kita boleh bertindak balas terhadap rangsangan dengan sewajarnya. Pendek kata, otak memainkan peranan penting dalam memberikan kita kesedaran (‘consciousness’).

Walaupun otak terletak di dalam tengkorak yang merupakan struktur yang keras dan kuat, ia masih boleh tercedera disebabkan oleh pelbagai faktor. Antara punca kecederaan otak yang paling lazim adalah trauma. Malaysia mempunyai kadar insiden trauma yang agak tinggi menurut National Trauma Database (NTrD). NTrD terdiri daripada pakar-pakar yang mengumpulkan data mengenai demografik kecederaan otak berpunca daripada trauma di Malaysia. Usaha ini dimulakan pada tahun 2003.

Selain trauma, kecederaan otak juga boleh disebabkan oleh jangkitan (contohnya ‘meningitis’) dan pendarahan (contohnya, strok pendarahan(haemorrhagic stroke) dan aneurisme yang pecah(ruptured aneurysm)). Setiap penyakit ini memerlukan rawatan yang spesifik di fasiliti yang tertentu. Diagnosis perlu dibuat dengan teliti sebelum rawatan diberikan untuk mengelakkan kecederaan otak menjadi lebih parah. Rawatan jangka panjang juga diperlukan bagi membantu pesakit pulih dengan lebih cepat. Dalam erti kata lain, pesakit perlu menjalani rehabilitasi selepas rawatan di hospital untuk prognosis yang lebih baik.

Keadaan vegetatif ialah keadaan di mana pesakit menghadapi masalah kesedaran (‘disorder of consciousness’). Keadaan ini direkod oleh Jennett dan Plum pada tahun 1972. Ia digambarkan sebagai keadaan ‘berjaga tanpa sedar’. Pesakit tampak seperti dalam keadaan jaga dan adakalanya, boleh bertindak balas terhadap rangsangan yang tertentu seperti rasa sakit. Pesakit juga membuka dan menutup mata mengikut kitaran bangun-tidur, namun mereka tidak dapat memastikan sama ada kitaran ini sejajar dengan kitaran circadian (kitaran siang-malam) yang normal. Kadangkala, pesakit boleh melakukan pergerakan, tetapi tidak boleh berinteraksi dengan orang lain dan persekitaran, tidak boleh melakukan pergerakan yang bermakna dan bertindak balas terhadap rangsangan. Mereka boleh mengepalkan tangan, bertindak balas terhadap bunyi dan mengunyah tanpa makanan di dalam mulut. Walaubagaimanapun, kesemua pergerakan yang dilakukan tidak bermakna dan bermanfaat. Mereka tidak boleh bertindak balas dalam situasi yang berbahaya seperti manusia yang normal. Contohnya, jika diberi rangsangan rasa sakit (seperti dalam Senario 1), pesakit cuma akan diam tanpa mengelak atau bertindak. Kesimpulannya, apa yang dapat kita lihat pada pesakit yang berada dalam keadaan vegetatif adalah seseorang yang terlantar di atas katil ataupun kerusi roda, mampu melakukan sedikit pergerakan namun tidak boleh berinteraksi dengan persekitarannya. Mereka juga tidak berupaya mengawal fungsi usus dan pundi kencing. Oleh itu, mereka memerlukan bantuan penjaga masing-masing dalam pengurusan diri dan aktiviti seharian.

Berapa lama keadaan vegetatif ini akan berterusan? Jawapan ringkasnya; hanya Tuhan yang tahu. .

Apabila keadaan ini berlangsung lebih daripada sebulan, istilah ‘keadaan vegetatif berterusan’ akan digunakan. Dalam waktu ini, pesakit memerlukan bantuan dalam kehidupan seharian hari demi hari. Pesakit mungkin pulih, seperti yang agak kerap terjadi pada golongan pesakit yang muda dan pesakit trauma. Walaubagaimanapun, mereka memerlukan sokongan kuat daripada penjaga. Oleh sebab ini, peranan penjaga adalah sangat penting.

Mudah untuk seorang pemerhati mengatakan, ”Anda perlu membantu pesakit dalam rehabilitasi, barulah dia sembuh nanti.” Namun realitinya, ia tidaklah semudah yang disangka.

Penjaga harus mendedikasikan diri untuk menjaga pesakit di samping menjaga urusan diri. Tugas ini amat berat untuk dipikul terutamanya jika berseorangan.Maka, penjaga perlu mendapatkan bantuan sebanyak yang boleh daripada ahli keluarga dan rakan terdekat. Tugasan menjaga pesakit juga boleh menjadi rutin yang memenatkan selepas beberapa lama. Oleh yang demikian, para penjaga perlu sentiasa mengingatkan diri supaya bersabar dalam menjaga pesakit kerana bantuan mereka amat diperlukan untuk pesakit kembali pulih. Namun begitu, proses untuk pulih boleh memakan masa yang sangat panjang.

Jika penjagaan pesakit vegetatif diberhentikan, pesakit mungkin akan kehilangan nyawa sebelum mereka sempat pulih. Tanpa penjagaan yang sempurna, peluang untuk sembuh menjadi tipis. Komplikasi seperti jangkitan paru-paru, kudis, ulser dan jangkitan saluran kencing boleh menyebabkan kematian dalam pesakit vegetatif.

Dalam Senario 2, persoalan-persoalan yang diusulkan adalah dilema yang kerap dihadapi oleh penjaga. Situasi ini menyebabkan kita tertanya-tanya sama ada penjagaan pesakit vegetatif memakan terlalu banyak kos dan sumber yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk pesakit lain. Adakah ini tidak adil untuk pesakit yang mempunyai peluang hidup yang lebih baik berbanding pesakit vegetatif? Adakah penjagaan patut diberhentikan? Terus terang, keputusan ini bergantung kepada kerelaan dan kemahuan penjaga sendiri untuk memberikan dan meneruskan penjagaan  dengan ikhlas dan penuh kasih sayang.

Selepas satu tahun, kemajuan proses pemulihan  pesakit terhenti dan  menjadi statik. Pesakit kini berada dalam ‘keadaan vegetatif tetap’. Untuk kes bukan trauma, had masa yang diberikan adalah lebih terhad iaitu hanya 3 bulan sebelum status pesakit diubah kepada keadaan vegetatif tetap. Pesakit yang berada dalam keadaan vegetatif tetap mempunyai peluang yang sangat tipis untuk pulih.

Akhir kata, dalam berdepan dengan pesakit yang mengalami keadaan vegetatif berterusan, kita perlu sedar bahawa ini adalah situasi yang sukar bukan sahaja bagi pesakit, tetapi juga untuk penjaganya.

Dr Rahmat ialah pakar bedah saraf yang tegar dengan pegangannya yang ilmu pengetahuan dan pendidikan adalah mustahak dalam membantu masyarakat membuat keputusan yang bernas. Baca lebih lanjut mengenai Dr Rahmat di ruangan biodata kolumnis. Artikel ini diterjemahkan oleh Dr Maimun.

Rujukan:

  • Martin M Monti, Steven Laureys, Adrian M Owen. The Vegetative State: Clinical Review. BMJ 2010;341:c3765
  • Adam Zeman. Consciousness. Oxford University Press 2001. page1272

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box