Kayap: Virus yang Bangkit dari Tidur! – Dr Nurjasmine Aida Jamani

Pernahkah anda mendengar tentang penyakit kayap atau mengenali seseorang yang pernah menghidapi kayap? Sebilangan besar masyarakat pernah mendengar atau masih dimomokkan dengan mitos bahawa kayap yang bertemu boleh membawa maut!

Sumber gambar: The Primary Care Dermatology Society

 

Apakah itu kayap?

Kayap yang lebih dikenali dalam bahasa perubatan sebagai herpes zoster adalah disebabkan reaktivasi virus bernama Varicella Zoster yang dorman atau ‘tidur’. Virus ini adalah virus yang sama yang menyebabkan penyakit cacar air atau ‘chicken pox’. Apabila seseorang itu pernah dijangkiti cacar air, virus ini akan ‘tidur’ atau menjadi dorman di ganglia akar dorsal saraf. Ini bermakna jika anda pernah mengalami penyakit cacar air, besar kemungkinan anda mungkin boleh mendapat kayap jika sistem pertahanan tubuh anda lemah!

Penyakit kayap ini lebih sering terjadi kepada orang yang mempunyai sistem pertahanan yang lemah dan juga golongan tua. Permulaan penyakit ini, seseorang akan berasa sakit pada anggota badan tertentu yang diikuti oleh ruam jenis gelembung air mengikut dermatom atau topografi saraf di kulit. Selalunya hanya satu dermatom yang terlibat. Pada kebiasaannya ruam kayap ini akan pulih sendiri (self-limiting).

Sumber gambar: Gray’s Anatomy

 

Siapakah yang berisiko untuk mendapat kayap?

Hanya orang yang pernah dijangkiti penyakit cacar air atau ‘chicken pox’ sahaja berisiko untuk mendapat penyakit kayap. Risiko mendapat kayap dan juga komplikasi berkaitannya akan meningkat dengan pertambahan umur. Ini adalah kerana akibat penurunan imuniti sel perantara terhadap virus varicella zoster. Menurut kajian (rujukan?), wanita lebih ramai mendapat kayap berbanding lelaki. Seperti yang dinyatakan di atas, orang yang mempunyai sistem imun yang lemah lebih berisiko.

Apakah gejala atau tanda penyakit kayap?

 Kebanyakan pesakit kayap akan melalui tiga peringkat utama iaitu:

  • Tanda awal:

Pesakit akan berasa sakit seperti mencucuk dan panas membakar. Kesakitan ini pada kebiasaannya akan muncul beberapa hari sebelum ruam timbul.  Sebilangan kecil pesakit akan berasa letih, demam dan sakit kepala.

  • Kemunculan ruam

Selepas beberapa hari berasa sakit di bahagian tertentu, ruam akan muncul.  Ruam kayap selalunya melibatkan satu dermatom kulit sahaja dalam bentuk gelung separuh tetapi mungkin boleh membentuk lingkaran penuh. Adalah amat jarang ia melibatkan beberapa dermatom kulit tetapi ia boleh berlaku jika seseorang mempunyai sistem pertahanan yang lemah.

Ruam ini selalu muncul di bahagian badan tetapi boleh juga muncul di dahi dan kaki. Di peringkat permulaan, ruam berwarna merah akan muncul dan selepas satu atau dua hari, ia akan berbentuk gelembung air di kawasan yang berasa sakit itu. Seterusnya gelembung ini akan pecah dan kering.

Ketika peringkat ruam gelembung air ini, virus adalah sangat mudah merebak dan berkemungkinan menjangkiti orang lain mengakibatkan cacar air sekiranya belum menghidapinya atau kayap.

  • Penyembuhan ruam

Pada peringkat akhir ini iaitu dalam masa 10 hari, ruam akan menjadi kering dan berkeruping. Pada peringkat ini ia tidak berjangkit. Penyembuhan sepenuhnya mengambil masa dua hingga empat minggu dan mungkin lebih lama bagi pesakit yang lebih berumur.

Apakah komplikasi penyakit kayap?

 Antara komplikasi yang dikenalpasti adalah:

  • Postherpetic neuralgia’ (PHN)

Ini merupakan komplikasi utama penyakit ini. PHN adalah kesakitan yang berterusan melebihi 30 hari walaupun ruam kayap sudah tiada atau diubati. Kesakitan ini menyebabkan pesakit berasa kurang selesa dan akan mengganggu kualiti hidup mereka.

  • Jangkitan sekunder bakteria

Ruam kayap boleh dijangkiti bakteria menyebabkan kudis yang melambatkan penyembuhan dan parut. Ini boleh berlaku sekiranya ruam ini digaru.

  • Radang otak dan selaput otak (meningoencephalitis)

Ini merupakan komplikasi yang jarang berlaku tetapi serius. Pesakit akan mempunyai kelakuan yang pelik, berasa pening dan kelemahan otot anggota badan.

  • Komplikasi melibatkan mata dan telinga

Ini terjadi sekiranya kayap terjadi di kawasan berhampiran mata yang boleh menyebabkan keradangan pada mata, ulser kornea, glaucoma dan lebih teruk kebutaan. Bagi pesakit yang terkena kayap di dalam telinga, saraf otot muka boleh terjejas menyebabkan kelumpuhan otot muka yang menyebabkan senyuman menjadi senget dan menyukarkan pesakit menutup mata.

 

Perlukah ujian makmal untuk mendiagnos kayap?

Penyakit ini tidak memerlukan sebarang ujian makmal untuk mengenalpastinya. Cukup dengan sejarah riwayat pesakit dan juga ciri klinikal pada ruam. Walaubagaimanapun ada sesetengah kes yang sukar untuk ditentukan, maka bantuan ujian sokongan seperti ujian darah diperlukan.

Apakah rawatan untuk kayap?

Sekiranya seseorang itu menghidapi kayap, ubat antiviral akan dimulakan bagi mengurangkan risiko mendapat komplikasi dan memendekkan tempoh dan keterukkan penyakit. Di samping itu, ubat tahan sakit dan sejenis ubat sapu turut diberikan sebagai rawatan sampingan.

 

Bolehkah kayap dicegah?

Kayap boleh dicegah dengan penggunaan vaksin. Vaksin ini disarankan untuk warga emas memandangkan kayap boleh menyebabkan komplikasi ‘postherpetic neuralgia’ yang lebih tinggi di kalangan mereka. Vaksin ini dapat menurunkan risiko kayap sebanyak 50% di kalangan golongan berumur 60 tahun, 64% golongan berumur 60-69 tahun dan 70% di kalangan golongan berumur 50-59 tahun.

Penyakit kayap boleh berlaku pada individu yang pernah dijangkiti penyakit cacar air.  Sekiranya anda mengesyaki mendapat penyakit ini, anda disarankan berjumpa doktor untuk diagnosa dan rawatan. Elakkan menyapu bedak sejuk atau apa sahaja petua tradisional untuk mengelakkan komplikasi yang lebih teruk.

Artikel ini ditulis oleh Dr Nurjasmine Aida Jamani

Pakar Perubatan Keluarga /Perunding Laktasi/Pensyarah Perubatan IIUM

Rujukan:

  1. Best Practice Journal. The diagnosis and management of herpes zoster and its complications. 2014. Available from bpac.nz.org. (Accessed in November 2018)
  2. Gnann JE, Whitley RJ. Herpes Zoster. N Engl J Med. 2002; 347:340-346
  3. Gan E, Tian E, Tey H. Management of herpes zoster and post-herpetic neuralgia. Am J Clin Dermatol 2013; 14(2): 77-85

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box