Kasut Tumit Tinggi dan Sakit Sendi – Dr. Ahmad Mahyuddin

Sumber: proof.nationalgeographic.com

Sumber: proof.nationalgeographic.com

Perempuan dan kasut sememangnya tidak boleh dipisahkan. Ia ibarat irama dan lagu, saling melengkapkan satu dengan yang lain. Kasut tumit tinggi, khususnya, dikatakan dapat meningkatkan keanggunan dan keyakinan diri si pemakai persis peragawati dan eksekutif.

Namun, tahukah anda pemakaian kasut bertumit tinggi ini boleh menyebabkan masalah postur dan masalah sakit sendi?

Anatomi Manusia – Indahnya Ciptaan Allah (Tuhan)

Badan manusia dicipta dengan prinsip biomekanik yang tepat dan terperinci. Ini dapat dilihat pada kerangka teras atau ‘axial skeleton’ manusia iaitu tulang belakang (tengkuk ke punggung), sendi pinggul, lutut, buku lali dan kaki. Buku lali dan kaki manusia itu sendiri terdiri daripada 28 tulang dan 44 sendi yang berbeza.

Tapak kaki kita bertindak seperti ‘tripod’ dengan tiga tempat utama yang bertindak sebagai titik focus kaki. Titik fokus ini ialah pada bebola jari pertama dan kelima serta tulang tumit (calcaneum). Disamping itu, anatomi kaki kita terbahagi kepada tiga kolum utama, kolum medial, kolum lateral dan kolum melintang (tranverse column) yang membentuk arca. Bentuk tripod dan arca dengan 3 kolum ini membolehkan pembahagian berat badan yang sekata apabila kita berjalan.

Berjalan dan Berlari

Semasa berjalan atau berlari, berat badan kita dibahagikan secara sama rata pada setiap sendi daripada sendi pinggul, lutut, buku lali dan kaki. Ini memberikan keseimbangan kepada badan dan kesan tekanan yang minima kepada otot dan sendi yang menyentuh bumi setiap kali kita berpijak.

Apabila kita berpijak, sebenarnya kita melalui 4 fasa yang berbeza yang dikenali sebagai ‘gait cycle’. Ia termasuk fasa hentakan tumit (heel-strike), fasa berdiri (stance phase), fasa tolakan jejari kaki (toe-off) dan fasa hayunan kaki (swing phase). Perubahan dari satu fasa ke fasa berikutnya melibatkan kontraksi otot yang berbeza serta pergerakan sendi yang kompleks dan saling melengkapi. Perubahan pada mana-mana bahagian ini akan memberi kesan kepada bahagian yang lain.

Perubahan akibat Kesan Kasut Tumit Tinggi

Apabila seseorang wanita memakai kasut bertumit tinggi, anatomi serta biomekanik sendi kaki serta buku lali berubah mengikut bentuk kasut tersebut. Sendi buku lali akan melunjur ke depan manakala jari-jari kaki akan membengkok ke atas dan mencapah.

Apabila berjalan, berat badan si pemakai akan lebih tertumpu pada bebola jari kaki (balls of the toes) sahaja berbanding bentuk tripod iaitu pada bebola dari pertama, kelima dan tulang tumit, sekiranya berjalan dengan memakai kasut leper. Tekanan berterusan sebegini boleh mengakibatkan masalah penebalan kulit pada bebola kaki yang dikenali sebagai callosities dan juga tekanan pada saraf jari kaki. Saraf yang terkepit ini mengakibatkan kesakitan dan kadangkala kekebasan pada jari kaki yang dikenali sebagai Morton Neuroma.

Bagi mencantikkan kedudukan jari-jari kaki ini, kasut bertumit tinggi ini juga kebiasaannya dicipta dengan muncung yang tirus bagi membolehkan jari-jari kaki merapat antara satu sama lain. Sekiranya dipakai untuk satu tempoh masa yang panjang, ia boleh mengakibatkan masalah yang dikenali sebagai Hallux valgus, Bunion dan Bunionette.

Hallux valgus ialah keadaan dimana ibu jari kaki terpusing, membengkok dan mengakibatkan terbentuknya Bunion iaitu benjolan pada pangkal ibu jari kaki. Ia sebenarnya ialah hujung tulang metatarsal ibu jari kaki yang terdedah akibat ibu jari yang telah membengkok. Bunionette pula keadaan yang sama berlaku apabila jari kaki kelima yang membengkok ke dalam menyebabkan hujung tulang metatarsal kelima menjadi ketara. Sekiranya tidak di rawat, ia boleh menyebabkan radang dan ulser pada kulit akibat geseran yang berterusan.

Disamping itu, postur kaki yang memakai kasut bertumit tinggi mengakibatkan paksi keseimbangan badan berubah dan memberi beban kepada otot betis dan peha bagi memastikan si pemakai terus stabil dan tidak terjatuh ketika berdiri dan berjalan.

Bagi memastikan paksi badan kekal seimbang, tulang belakang akan menjadi lebih membengkok menyebabkan terjadinya lumbar lordosis yang melampau (tulang belakang bahagian lumbar terlalu melengkung) dan berkemungkinan menyebabkan sakit belakang yang kronik. Beban tidak seimbang pada sendi lutut dan pinggul juga boleh mengakibatkan terjadinya sakit sendi atau Osteoarthritis pada usia yang lebih muda.

Kesimpulannya, masalah-masalah yang berkaitan kasut bertumit tinggi boleh diringkaskan seperti berikut:

  1. Bunion
  2. Bunionette
  3. Hallux valgus
  4. Radang otot dan urat (tendonitis)
  5. Sakit pinggang dan belakang
  6. Osteoarthritis pada sendi buku lali, lutut dan pinggul
  7. Lumbar lordosis yang melampau

Nasihat saya, dalam kita menjaga penampilan diri kita, kita perlu mengambil kira kesannya terhadap kesihatan badan. Kesihatan patut sentiasa lebih diutamakan dalam setiap segi. Penggunaan kasut tumit tinggi, sekiranya tidak boleh diberhentikan, seboleh-bolehnya perlu diminimakan. Kerosakan sendi yang telah berlaku tidak dapat diundur kembali. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat.

Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Mahyuddin, seorang pakar bedah ortopedik yang bertugas di sebuah hospital di Pahang. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan:

  • Last’s Anatomy.11th Chummy S. Sinnatamby. Page165-166
  • Review of Orthopaedics, 5th Mark D. Miller, 361, 551-554

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box