Kanser Saluran Hempedu: Mungkin Boleh Terjadi Pada Anda? – Dr Shaiful Ehsan

1419796613371

Kanser Saluran Hempedu atau dikenali sebagai Cholangiocarcinoma merupakan kanser yang jarang berlaku dan jarang juga diperkatakan. Hampir 3 peratus daripada kanser yang melibatkan organ dan saluran pemakanan melibatkan kanser saluran hempedu. Ianya melibatkan ketumbuhan yang berlaku pada saluran hempedu samada di dalam hati atau berdekatan dengan hati.

Mengapa saya perlu tahu?

Ini adalah kerana kanser ini seringkali tidak menunjukkan sebaran petanda awal. Apabila dikesan, ia selalunya pada tahap yang agak lewat dan akhirnya membawa kepada kematian. Ianya antara kanser yang cepat merebak ke saluran kelenjar dan kepada organ-organ yang lain.

Siapakah golongan berisiko?

Termasuklah mereka yang mengalami masalah radang dan kerosakan pada saluran dalaman hati (primary sclerosing cholangitis), mereka yang mengalami masalah batu hempedu yang berlarutan pada hati, jangkitan kuman parasit pada saluran hati, jangkitan kuman virus hepatitis, penyakit hati yang kronik, mahupun masalah genetik yang menyebabkan mereka cenderung mendapat kanser saluran pemakanan bukan sahaja berkaitan hati. Tidak kurang juga golongan yang meminum minuman beralkohol secara berlebihan, mengalami masalah kegemukan, menghidapi kencing manis bersama penyakit darah tinggi dan tinggi kolesterol.

Adakah cara pengesanan awal di peringakat komuniti?

Setakat ini, tidak ada langkah pengesanan awal yang disarankan. Namun, rawatan dan pemeriksaan susulan bagi golongan berisiko seperti yang dinyatakan di atas adalah antara cara terbaik yang boleh dilakukan.

Apakah tanda-tanda kanser ini?

Seperti juga penyakit kanser yang lain, kanser saluran hempedu kebiasaannya hanya akan menunjukkan tanda setelah saluran hempedu hampir tersumbat akibat ketumbuhan. Antara gejalanya termasuklah sakit perut pada bahagian atas kanan perut (lokasi hati), kekuningan pada mata dan kulit badan, kegatalan, najis yang berwarna agak pucat seperti warna tanah liat, dan warna air kencing menjadi semakin kehitaman. Antara gejala lain yang tidak spesifik termasuklah keletihan, lesu, kurang selera makan dan berpeluh secara berlebihan tanpa sebab-sebab tertentu.

Pemeriksaan fizikal di klinik?

Bagi pihak doktor di klinik kesihatan, petunjuk utama ke arah kanser saluran hempedu atau yang berkaitan dengan hati bagi pesakit yang hadir dengan gejala-gejala yang dinyatakan di atas termasuklah apabila mendapati hati pesakit bengkak atau ada pembesaran pada ruang atas dan kanan perut pesakit. Walau apapun, pesakit perlulah segera mendapatkan rawatan awal di klinik untuk dirujuk segera ke hospital.

Apakah penyakit ini boleh dirawat?

Pembedahan merupakan jalan utama untuk menyelematkan pesakit, namun ianya hanya dapat membantu sekiranya tahap kanser adalah pada peringkat awal dan pesakit sesuai untuk menjalani pembedahan tersebut. Antara rawatan lain termasuklan rawatan kemoterapi dan radioterapi.

Adakah wujud rawatan ajaib yang lain?

Perlu diingatkan, setakat ini tidak ada rawatan lain yang telah terbukti berjaya menyelamatkan pesakit. Justeru jangan sesekali terpengaruh dengan kata-kata manis ubat-ubatan ajaib atau produk luar yang belum terbukti keberkesanan dan keselamatannya daripada pihak kementerian kesihatan. Bertanyalah dahulu pada pihak doktor sekiranya anda tidak pasti akan kesasihan sesuatu produk tambahan.

 

Artikel ini ditulis oleh Dr Shaiful Ehsan.

 

Artikel ini ditulis sempena hari cholangiocarcinoma sedunia (15 Februari) yang merupakan usaha sedunia untuk meningkatkan kesederan berkenaan kanser saluran hempedu. Ini kerana, kes ini semakin meningkat ke saban tahun. Dr Shaiful Ehsan sedang melanjutkan pelajaran beliau untuk menjadi Pakar Perubatan Keluarga dan amat mementingkan usaha peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kesihatan diri.

Rujukan:

1) John Murtagh’s General Practice Fifth Edition – Topic jaundice

2) Uptodate – Clinical Manifestations and Diagnosis of Cholangiocarcinoma

3) Uptodate – Treatment Options for Locally Advanced Cholangiocarcinoma

4) Kumar & Clarks’s Clinical Medicine Fifth Edition

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box