Kanser Payu dara & Kehamilan – Dr Muhammad Izzat Abdul Razak

Sumber gambar: FirstCry Parenting

Kanser payu dara adalah kanser yang biasa melanda kaum wanita. Walaupun kanser ini lebih biasa melanda wanita yang berumur, 1 dalam 7 wanita yang menghidap kanser payu dara didapati berumur kurang daripada 45 tahun. Kejayaan dalam rawatan untuk kanser payu dara adalah tinggi jika ianya dikenalpasti pada peringkat awal. Rawatan untuk kanser payu dara sentiasa berkembang untuk memastikan rawatan optimum dan efektif diberikan kepada pesakit. Kini makin banyak wanita yang lebih muda yang telah dirawat untuk kanser payu dara, telah sihat seterusnya memiliki cahaya mata.

Saya hamil dan mempunyai ketulan pada payu dara. Apakah yang perlu saya lakukan?

Terdapat perubahan semulajadi pada payu dara anda apabila anda hamil ataupun menyusukan badan. Walau bagaimanapun, jika anda terasa ketulan pada payu dara, penting untuk anda segera berjumpa doktor. Doktor akan memastikan anda menjalani pemeriksaan ultrabunyi pada payu dara anda. Pemeriksaan ultrabunyi adalah selamat untuk mengandung. Kadangkala sejenis ujian X-ray dinamakan sebagai Mammogram diperlukan. Jika ujian ini diperlukan, bahagian perut anda akan ditutup dengan sejenis lapisan pelindung untuk mengurangkan radiasi X-ray sampai ke bayi.

Apakah yang akan berlaku pada saya jika ada ketulan pada payu dara?

Sedikit sampel tisu ( biopsy ) akan diambil pada bahagian ketulan itu. Sebelum itu, bius setempat akan diberikan, untuk mengurangkan rasa sakit. Dari keputusan biopsy ini, doktor boleh memberitahu sama ada ketulan ini sebenarnya bahaya atau tidak. Perlu diingatkan bahawa, kebanyakan ketulan pada payu dara adalah jenis tak berbahaya (benign).

Rawatan apa yang diperlukan jika saya disahkan menghidap kanser payu dara?

Rawatan diberikan bergantung pada tahap kanser payu dara itu, peringkat kehamilan dan pilihan pesakit. 3 pilihan rawatan yang ada – pembedahan, radioterapi, dan rawatan kimoterapi. Doktor bahagian pembedahan payudara akan berbincang dengan lebih lanjut.

Pembedahan

Boleh dilakukan pada mana-mana peringkat kehamilan. Ada 2 jenis

  • Yang biasa dilakukan adalah prosedur membuang ketulan (lumpectomy), sebahagian kelenjar limfa (lymph nodes) pada bahagian ketiak juga akan dibuang.
  • Pembedahan buang payu dara (mastectomy)

Pakar pembedah payudara akan berbincang dengan anda, mana satu pilihan yang terbaik dan sesuai dengan anda. Anda mungkin perlukan pembedahan rekonstruktif, ianya akan dilakukan selepas anda bersalin. Kenapa tunggu lepas bersalin ? Untuk memastikan hormon anda kembali kepada keadaan asal, keadaan tidak hamil.

Radioterapi

Jika anda memerlukan radioterapi, selalunya akan ditangguhkan selepas anda bersalin.

Kimoterapi

Kimoterapi biasanya tidak diberikan pada 13 minggu pertama kehamilan kerana boleh membahayakan bayi anda. Selepas 13 minggu pertama, kimoterapi selamat diberikan bergantung kepada jenis kanser payu dara. Ubatan tahan muntah dan rawatan steroid mungkin diperlukan bersama-sama rawatan kimoterapi, jangan risau ianya selamat untuk kehamilan anda.

2 jenis ubatan yang biasa digunakan – Tamoxifen dan Trastuzumab (Herceptin). Ubatan ini biasa diberikan pada peringkat awal rawatan untuk mengurangkan risiko kanser payu dara berulang dan menjadi lebih teruk. Walau bagaimanapun, TIDAK DISARANKAN untuk memulakan rawatan dengan ubatan ini ketika hamil, rawatan HANYA akan dimulakan selepas bersalin.

Adakah saya perlu untuk bersalin awal ?

Sumber gambar: The Breast Care Site

Kebanyakan wanita hamil akan dibenarkan untuk meneruskan kehamilannya dalam masa yang sama menerima rawatan untuk kanser payu dara. Walau bagaimanapun, jika kanser payu dara sudah menjadi jenis yang serius ketika dikenalpasti atau kanser payu dara didiagnos pada 3 bulan pertama kehamilan, pasukan doktor yang merawat akan berbincang untuk anda bersalin awal (kalau kehamilan terlalu kecil – menamatkan kehamilan ) untuk membolehkan ibu menjalani rawatan awal. Keputusan ini amatlah sukar untuk anda, dan juga pasukan doktor yang merawat. Apa jua keputusan yang anda buat, pasukan doktor yang merawat akan memberikan sokongan. Kaunseling juga akan diberikan untuk membantu anda untuk membuat pilihan yang terbaik. Kesihatan ibu adalah yang lebih utama dalam apa jua, tidak mengira berapa minggu kehamilan anda ketika itu.

Untuk ibu yang perlu melahirkan anaknya awal, anda akan diberikan suntikan corticosteroid untuk mematangkan peparu bayi. Persediaan akan dilakukan untuk menyambut kelahiran pramatang/tidak cukup bulan dengan memastikan doktor kanak-kanak berada dalam keadaan siap sedia. Ibu akan diberikan kaunseling mengenai komplikasi-komplikasi yang mungkin timbul akibat kelahiran pramatang ini supaya ibu lebih bersedia.

Jika ibu sedang menjalani rawatan kimoterapi, rawatan ini akan diberhentikan 2-3 minggu sebelum ibu dijangka bersalin awal, untuk memastikan kesihatan ibu pulih sebelum menempuh proses bersalin.

Bolehkah saya menyusukan badan nanti?

Jika anda menjalani pembedahan atau radioterapi, anda mungkin tidak berpeluang mempunyai susu badan, tetapi payu dara sebelah lagi yang tidak bermasalah sepatutnya berupaya menghasilkan susu sekaligus membolehkan anda menyusukan bayi anda. Jika anda berhasrat untuk menyusukan badan, pasukan laktasi akan membantu anda. Dengan menyusu badan, anda perlu tahu risiko anda untuk dapat kanser payu dara dapat dikurangkan. Tidak ada masalah juga untuk menyusu badan jika anda pernah menjalani rawatan kimoterapi pada masa yang lalu. Cuma, jika anda sedang menjalani kimoterapi, menerima ubatan tamoxifen atau Herceptin – anda sepatutnya TIDAK BOLEH menyusu badan.

Bagaimana dengan perancangan keluarga (family planning) selepas bersalin?

Penting sangat untuk menggunakan perancangan keluarga selepas bersalin kerana anda mungkin perlu rawatan untuk masalah kanser payu dara anda, sekaligus adalah tidak sesuai untuk anda mengandung untuk ke sekian kalinya. Boleh gunakan cara perancangan keluarga bukan hormon seperti alat dalam rahim (IUCD). Berbincang dengan doktor mengenai kaedah perancangan keluarga yang paling sesuai untuk anda.

Saya tak hamil sekarang, tapi saya memerlukan rawatan untuk kanser payu dara. Ada peluang ke saya untuk mengandung lagi pada masa hadapan ?

Keinginan untuk mengandung lagi perlu melalui perbincangan teliti dan menyeluruh dengan pasukan doktor yang merawat anda untuk masalah kanser payu dara. Selagi boleh, rawatan kemoterapi yang digunakan kurang atau tidak menganggu kesuburan. Walau bagaimanapun sesetengah ubatan boleh menganggu kesuburan wanita. Kita perlu lihat tahap kesuburan wanita itu secara menyeluruh, umur mereka juga memainkan peranan menentukan tahap kesuburan. Ubatan seperti Tamoxifen dan Herceptin tidak menganggu tahap kesuburan. Walaupun begitu jika anda sedang menerima rawatan dengan Tamoxifen dan Herceptin anda sepatutnya TIDAK HAMIL. Bawa bersabar hingga tamatnya rawatan.

Bila sudah selesai rawatan kimoterapi dan pasukan doktor yang merawat anda untuk kanser payu dara memikirkan anda sudah selemat untuk mengandung lagi, maka anda boleh hamil dengan syarat mengambil asid folik 3 bulan sebelum bercadang untuk hamil lagi. Anda perlu menjalani pemeriksaan ultrabunyi ketika mengandung nanti kerana ada potensi kecil bayi ada masalah dengan jantungnya akibat penggunaan ubat kimoterapi yang terdahulu. Kadar keguguran, atau kadar bayi anda mengalami kecacatan sama sahaja seperti wanita lain, yang tidak pernah menjalani rawatan kimoterapi. Jangan risau. Kehamilan itu sendiri bukanlah sebab kanser payu dara menyerang kembali.

Mereka yang masih dalam rawatan menggunakan tamoxifen perlu berbincang dengan doktor bila sepatutnya ubat ini diberhentikan penggunaannya, jika bercadang untuk hamil lagi. Biasanya 3 bulan sebelum bercadang untuk hamil. Jangan sewenang-wenangnya berhentikan rawatan ubat ini tanpa berbincang dengan doktor terlebih dahulu.

Rujukan :

Pregnancy and Breast cancer – Information for you by Royal College of Obstetricians & Gynaecologist United Kingdom ( Published in October 2014 )

Artikel ini ditulis oleh Dr Muhammad Izzat bin Abdul Razak, Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan yang kini bertugas di sebuah Hospital di Selangor. Artikel ini ditulis bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang disambut oleh seluruh dunia pada bulan October setiap tahun – untuk meningkatkan kesedaran terhadap kanser payu dara, langkah pencegahan, diagnosis, rawatan dan sokongan terhadap mereka yang menghidap kanser payu dara.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box