Kaki Manusia Bertaji – Dr Ahmad Mahyuddin

Source: ortho.com.sg

Source: ortho.com.sg

Baru-baru ini seorang lelaki separuh umur datang bertemu saya di klinik ortopedik. “Doktor, kaki saya ni tumbuh taji lah doktor, macam ayam. Makin lama semakin besar dan membonjol”

“Sakit ke pakcik?”,  saya tersenyum memandang beliau.

“Cuma yang sebelah kiri ini yang sakit, kaki kanan tak sakit”. Beliau menunjukkan tempat bonjolan di kaki kiri beliau yang sakit, “Kalau berdiri lama, atau berjalan kaki, sakit tu semakin teruk”.

Kedua-dua kaki beliau membonjol di bahagian belakang tumit, umpama taji ayam jantan. Bezanya ia tidak runcing atau tajam.

Haglund Deformity

Bonjolan pada bahagian belakang kaki ini dikenali sebagai “Haglund Deformity” oleh pengamal perubatan. Di kalangan masyarakat awam ia dipanggil “Pump Bump”. Ia terhasil akibat kombinasi penumbuhan lebihan tulang tumit (Calcaneum) dan juga proses radang yang berlaku kepada lapisan tisu bursa yang terletak antara “Tendon Achilles” dan “Calcaneum”. Ia biasanya disertai dengan radang “Tendon Achilles” atau Achilles tendinitis.

Faktor keturunan dikenalpasti sebagai salah satu sebab yang meningkatkan kadar kebarangkalian ia berlaku. Ia melibatkan struktur kaki yang melengkung atau “high-arch foot” dan “Tendon Achilles” yang ketat. Kebiasaan sesetengah orang berjalan dengan menggunakan bahagian luar tumit juga meningkatkan risiko mendapat kondisi ini.

photo-3Simptom

Bonjolan biasanya terbentuk secara perlahan-lahan untuk satu tempoh yang agak lama. Pada peringkat awal ia tidak menyebabkan sebarang masalah. Namun apabila semakin besar, ia menimbulkan kesukaran serta kesakitan ketika pesakit memakai kasut akibat geseran yang berlaku.

Pesakit biasanya akan mengadu rasa sakit pada bahagian belakang tumit serta “Tendon Achilles”. Sakit ini semakin teruk sekiranya pesakit berjalan atau berdiri untuk tempoh yang lama. Kulit di bahagian belakang tumit juga boleh menjadi merah dan bengkak akibat geseran dengan kasut yang dipakai.

X-ray biasanya akan menunjukkan pembentukan tulang berlebihan pada bahagian atas tulang Calcaneum.

Rawatan

Pada peringkat awal, pesakit boleh dirawat dengan ubat anti-radang serta memilih kasut yang sesuai. Fisioterapi juga dapat membantu mengurangkan kesakitan antaranya menggunakan mesin ultrabunyi dan ais. Terdapat juga alas tumit yang boleh digunakan bagi mengurangkan geseran yang berlaku.

Sekiranya rawatan konservatif gagal, pembedahan mungkin boleh dilakukan bagi membuang tulang yang berlebihan serta bursa yang bengkak. Pemberian suntikan steroid tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan kerosakan pada “Tendon Achilles”.  Bonjolan akan hanya dapat dibuang secara pembedahan.

Sekiranya anda atau kenalan anda mempunyai masalah ini, anda boleh berkunjung ke hospital bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Mahyuddin, seorang pakar bedah ortopedik yang bertugas di sebuah hospital di Pahang. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Rujukan:

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box