Jabatan Kecemasan: Potensi yang Terlepas Pandang – Dr Mohd Said Nurumal

man-coughing-with-cigarette-in-his-handDalam menangani insiden sesak nafas akibat asma/lelah atau gejala-gejala yang berkaitan, amalan biasa di jabatan kecemasan seluruh negara ialah serupa. Pesakit yang datang tanpa makluman awal, atau digelar ‘walk-in’, dengan gejala yang menunjukkan serangan lelah mengejut akan dihalakan ke ruang asma untuk rawatan segera. Pesakit-pesakit ini akan diberi rawatan nebulizer setelah dinilai dan didiagnos dengan asma akut. Walau bagaimanapun, ‘pengunjung-pengunjung tetap’ ini bukan sahaja terdiri daripada pesakit asma, tetapi termasuk juga yang sesak nafas mirip asma akibat merokok. Satu kajian sistematik ke atas pengurusan penyakit berkaitan merokok di satu jabatan kecemasan menunjukkan terdapat lebih 25 juta perokok dirawat setiap tahun. Ini bermaknya, sejumlah besar kes yang ditangani di jabatan kecemasan ialah berpunca akibat rokok.

Jabatan Kecemasan itu sendiri memang asalnya tempat yang sibuk. Pesakit yang datang dengan sesak nafas, mempunyai penyakit lelah yang berpunca daripada rokok dan tahu pula puncanya ialah rokok, memang akan menjengkelkan kakitangan perawat di situ. Sesetengah jururawat menjadi hampa kerana tidak berdaya bertindak menghalang serangan asma dan akhirnya pesakit akan datang lagi akibat punca yang sama. Seterusnya, pesakit itu akan menjadi ‘pelanggan setia’, terus datang berkali-kali mendapatkan rawatan yang mudah dan cepat di jabatan kecemasan. Jika tiada tindakan campur tangan diambil, kita secara tidak langsung seolah-olah mengatakan apa yang dilakukan oleh pesakit itu tidak salah dan mengizinkan dia terus merokok. Satu tindakan yang bertentangan dengan prinsip kita sebagai pekerja kesihatan.

Intervensi di jabatan kecemasan ialah satu tempat yang baik untuk bermula. Oleh itu, kita sebagai kakitangan kecemasan memainkan peranan utama dalam tindakan berhenti merokok dan terkehadapan dalam memberikan kaunseling berhenti merokok sejurus selepas memberikan rawatan. Amalan sekarang ialah semua pesakit dengan sejarah kuat merokok dan kerap mendatangi jabatan kecemasan dirujuk kepada kauseling berhenti merokok dan selanjutnya ‘follow-up’ di klinik kesihatan primer terdekat untuk rawatan lanjut. Pesakit ini mungkin kurang bermotivasi untuk berhenti merokok jika masalah awal mereka berjaya diselesaikan selepas mendapat rawatan di jabatan kecemasan. Jika suatu penerangan berkenaan akibat buruk yang membawa kepada serangan asma atau sesak nafas dapat diberi semasa serangan, ia boleh meningkatkan kebarangkalian pesakit itu berhenti merokok. Sememangnya pengalaman ngeri inilah yang dapat mencetus keinginan berhenti merokok, berbanding gambar-gambar hodoh penyakit akibat rokok.

Walaupun menyampaikan kaunseling berhenti merokok itu penting, tetapi ia tak selalunya praktikal dalam jabatan kecemasan kerana masa yang terhad dan keutamaan diberi kepada pesakit yang nyawanya terancam. Namun, sentiasa ada mekanisme untuk memastikan penyampaian system jagaan kesihatan berjalan dengan baik dan masyarakat menjadi sihat. Maka, jabatan kecemasan perlu mengambil langkah pertama mengadakan garis panduan yang komprehensif dalam melaksanakan kaunseling berhenti merokok kepada pesakit yang masuk. Tanpa mengira pesakit didiscaj selepas rawatan atau dirujuk untuk masuk wad, kaunseling awal yang diberikan oleh kakitangan kecemasan itu penting. Jabatan kecemasan juga boleh memulakan rawatan berhenti merokok dan terus ‘follow-up’ dengan koordinasi bersama pusat jagaan kesihatan primer.

Kaunseling dan rawatan berhenti merokok mesti dimulakan serta-merta dan tidak semata-mata selepas pesakit pulih daripada keadaan cemas. Kaunseling dan rawatan lewat akan mengurangkan kemungkinan pesakit untuk berhenti merokok. Kakitangan kecemasan sepatutnya memberitahu perokok bahawa kehadiran kerap ke bahagian asma jabatan kecemasan boleh menyebabkan nyawa pesakit lain terancam akibat kedapatan ruang yang terhad untuk mendapatkan rawatan segera.

Dr. Mohd Said Nurumal ialah jururawat bertauliah dan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau telah menerima PhD dan cenderung kepada bidang kejururawatan kecemasan. Dr. Said juga ahli NARCC. Artikel ini diterjemahkan oleh Azizul Ismie Mohd Puad.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box