Iklan Penawar Kanser Payudara: Retorik & Realiti – Khairul Naim bin Zainal Abidin

pic pic2

Keratan iklan di atas merupakan contoh iklan di internet, yang menawarkan produk yang dikatakan mampu merawat penyakit kanser payu dara.

Di Malaysia, kanser payu dara merupakan salah satu jenis kanser yang paling kerap dikesan di kalangan wanita. Berdasarkan Statistik Kanser Malaysia 2006, terdapat 3525 pesakit wanita yang berdaftar di dalam Daftar Kanser Kebangsaan. Jumlah tersebut merangkumi 16.5% daripada jumlah kes kanser yang didaftarkan pada tahun tersebut. Terdapat beberapa faktor yang menjadikan seseorang berisiko menghidap kanser payudara seperti permulaan kitaran haid yang awal (kitar haid bermula pada umur < 12 tahun), menopaus pada umur yang lewat (kitar haid berhenti pada umur > 55 tahun), nulliparity (tidak pernah melahirkan anak), penggunaan terapi hormon gantian secara berpanjangan (melebihi 5 tahun) dan kelahiran anak pertama pada usia melebihi 30 tahun.

Terdapat kecenderungan di kalangan penjual produk makanan tambahan dan ubat tradisional untuk mengiklankan produk mereka sebagai penawar kepada penyakit kanser payudara. Sebagai contoh gambar pertama di atas, menyatakan sejenis produk yang dikenali sebagai Vivix yang berjaya membantu merawat kanser payudara. Pernyataan tersebut disokong dengan testimoni yang dikatakan datang daripada pengguna produk tersebut yang mendakwa telah sembuh daripada penyakit kanser yang dialami oleh mereka. Manakala iklan kedua, memaparkan sebuah anekdot, kisah berkenaan seorang pelanggan yang meminum Jus Delima dan kemudiannya disahkan oleh doktor beliau telah sembuh daripada kanser payu dara tahap 2 (selepas muntah-muntah beserta darah).

Kaedah tipikal yang digunakan oleh pengiklan produk-produk yang didakwa mampu menjadi penawar kanser payu dara ialah dengan menyelitkan unsur retorik dalam pengiklanan mereka. Retorik bermaksud penggunaan bahasa dan ayat yang mampu mempengaruhi fikiran pembaca untuk mencuba produk mereka. Kaedah retorik yang selalu digunakan antaranya testimoni (pengakuan) pengguna-pengguna yang kononnya pernah menggunakan produk tersebut, anekdot (kisah ringkas) yang menceritakan keajaiban produk dan penggunaan bahasa saintifik yang mengagumkan dan menarik minat pembaca untuk mempercayai keberkesanan produk yang diiklankan.

Secara realitinya, adakah benar produk-produk tersebut berkesan dan boleh merawat kanser payu dara?

Untuk menjawab soalan di atas, terdapat beberapa isu yang perlu diteliti oleh para pembaca yang ingin mendapatkan produk-produk yang diiklankan seperti di atas.

herbal-medicineIsu pertama, rawatan-rawatan kanser payu dara yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan merupakan rawatan-rawatan yang telah terbukti secara saintifik mampu merawat penyakit tersebut. Sebagai contoh, rawatan pembedahan untuk membuang tisu kanser, kemoterapi (penggunaan ubat sitotoksik untuk membunuh sel kanser) dan terapi radiasi. Produk-produk yang diiklankan oleh peniaga yang mendakwa mampu menjadi penawar kanser payu dara kesemuanya tidak mempunyai bukti saintifik yang mampu menyokong dakwaan keupayaan produk tersebut untuk merawat kanser. Bukti saintifik yang dimaksudkan adalah kajian kesan produk tersebut ke atas pesakit melalui percubaan klinikal (clinical trial).

Isu kedua, pengiklanan berkenaan sesuatu produk yang didakwa mampu menyembuhkan penyakit perlu mendapatkan kelulusan Lembaga Iklan Ubat, Kementerian Kesihatan Malaysia. Setiap iklan yang diluluskan akan diberikan nombor kelulusan pengiklanan contoh: KKLIU/1234/ABCDE.

Isu ketiga, pengiklanan berkenaan rawatan sebarang jenis kanser adalah dilarang sama sekali di bawah Akta Ubat (Pengiklanan & Jualan) 1956. Berdasarkan Seksyen 3(1) akta tersebut, adalah menjadi kesalahan untuk mengiklankan salah satu daripada 20 jenis penyakit berikut:

  1. Penyakit/kerosakan buah pinggang
  2. Penyakit/kerosakan jantung
  3. Kencing manis
  4. Sawan
  5. Lumpuh
  6. Batuk kering
  7. Asma
  8. Kusta
  9. Barah/kanser
  10. Pekak
  11. Ketagihan dadah
  12. Hernia
  13. Penyakit mata
  14. Tekanan darah tinggi
  15. Sakit mental
  16. Kemandulan
  17. Frigidity (masalah kurang berminat melakukan hubungan seks/kesukaran mencapai orgasma)
  18. Lemah fungsi seks/mandul
  19. Penyakit venereal (penyakit yang berjangkit melalui hubungan seks)
  20. Penyakit saraf yang berkait dengan hubungan seks

Mereka yang terlibat dalam mengiklankan produk ubat tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat atau mengiklankan produk/servis yang mendakwa mampu merawat atau mencegah 20 jenis penyakit di atas boleh didakwa di mahkamah. Sekiranya didapati bersalah, hukuman bagi mana-mana kesalahan tersebut ialah denda maksimum RM3000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya bagi sabitan kali pertama. Bagi pesalah yang melakukan kesalahan berulang, denda maksimum RM5000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan ke atas pesalah.

Sebagai kesimpulan, produk-produk yang diiklankan sebagai penawar kanser payudara atau apa-apa jenis kanser sekalipun tidak mampu menjamin penyembuhan kanser seperti yang didakwa. Kanser payu dara merupakan penyakit yang memerlukan rawatan dan pemantauan rapi oleh pengamal perubatan yang bertauliah. Oleh itu, pengguna diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan iklan-iklan palsu yang menawarkan penyembuhan terhadap penyakit. Elakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dan taktik kotor pemasaran produk.

 Khairul Naim bin Zainal Abidin seorang pegawai farmasi yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Rujukan:

1 comment for “Iklan Penawar Kanser Payudara: Retorik & Realiti – Khairul Naim bin Zainal Abidin

  1. raihan
    November 2, 2014 at 12:15 am

    Thumbs up naim! lagi2 bab vivix tu..ehe

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box