HIV dan Kehamilan: Apakah Yang Perlu Anda Tahu? – Dr. Muhammad Izzat

Sumber: newsatjama.jama.com

Sumber: newsatjama.jama.com

Perkongsian pada kali ini akan membincangkan mengenai bagaimana sekiranya anda adalah penghidap HIV (Human Immunodeficiency Virus) yang sedang hamil, ataupun bercadang untuk hamil. Artikel ini juga diharapkan dapat membantu anda, jika anda adalah pasangan kepada penghidap HIV tersebut, sahabat-handai ataupun saudara terdekat sedikit sebanyak dapat menyumbangkan maklumat serta informasi kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Apakah HIV dan kesannya kepada bayi saya?

HIV adalah sejenis retrovirus yang menghalang sistem imunisasi badan daripada berfungsi dengan baik daripada melawan jangkitan penyakit. Jika anda mempunyai virus ini di dalam badan, anda dikategorikan sebagai pengidap HIV (HIV positive).

Virus ini disebarkan kepada orang lain melalui perpindahan atau percampuran cairan badan manusia seperti darah, air mani, lendiran vagina dan susu ibu.

Virus ini juga dipindahkan kepada bayi anda melalui laluan uri (placenta) dan tali pusat ketika proses kehamilan, ataupun dipindahkan semasa proses penyusuan dengan susu ibu. Penjagaan yang diberikan ketika tempoh kehamilan serta selepas bersalin bermatlamat mengurangkan risiko perpindahan HIV kepada bayi anda.

Semua wanita yang hamil akan diberikan pemeriksaan untuk mengesan HIV pada peringkat awal kehamilan

Penjagaan tambahan untuk wanita hamil yang menghidap HIV

Penjagaan rapi yang memerlukan rawatan susulan akan diberikan oleh sekumpulan doktor yang melibatkan :

  • Doktor yang mempunyai kepakaran dalam HIV dan penyakit berjangkit (Infectious Disease Physician)
  • Pakar Perbidanan dan Sakit Puan (Obstetricians & Gynaecologists)
  • Pakar Kanak-Kanak (Paediatrician)

Anda dan bayi ada akan dipantau ketika hamil dari semasa ke semasa. Skop rawatan merangkumi pemeriksaan imbasan ultrabunyi (antenatal ultrasound scan) , paras virus di dalam badan (Viral load) dan antibodi kepada HIV (CD4), paras ubat di dalam darah juga akan diperiksa dan dipantau, sekiranya anda sedang di dalam rawatan untuk HIV.

Jangkitan dan Immunisasi

Jika anda adalah penghidap HIV, adalah amat penting untuk anda mengetahui tahap immunisasi kepada sesetengah jangkitan kuman. Seperti kebanyakkan wanita hamil, tahap immunisasi anda terhadap Hepatitis B, Rubella (German Measles) dan sifilis akan diperiksa. Anda turut diberikan pilihan untuk memeriksa status Hepatitis C, Chickenpox (varicella zoster) , Measles, dan Toxoplasmosis.

Semua wanita hamil akan diberikan immunisasi melawan jangkitan batuk kokol (Pertussis). Anda akan dicadangkan untuk menerima immunisasi terhadap Hepatitis B, sekiranya anda belum pernah menerima vaksin tersebut. Vaksin-vaksin yang dinyatakan adalah selamat untuk diberikan ketika hamil.

Walau bagaimanapun, vaksin untuk chickenpox, Measles, Mumps dan Rubella (MMR) adalah tidak sesuai diberikan ketika hamil dan pemberiannya ditangguhkan sehinggalah anda bersalin.

Ujian saringan untuk mengetahui jangkitan pada vagina (Vaginal swab) akan dijalankan pada peringkat awal kehamilan dan akan diulang pada 28 minggu kehamilan. Jika keputusan ujian saringan ini ada menunjukkan jangkitan kuman, rawatan antibiotik perlu turut diberikan untuk mengurangkan risiko perpindahan HIV kepada bayi anda.

Diabetes ketika hamil

Jika anda sudah dimulakan ubat-ubatan untuk HIV pada peringkat awal kehamilan, anda disarankan untuk menjalani ujian toleransi glukosa (Glucose Tolerance Test) pada 24 hingga 28 minggu kehamilan. Maklumat lanjut mengenai kehamilan dan diabetes, punca serta kesannya bolehlah merujuk kepada artikel saya yang terdahulu, yang mengupas lebih lanjut mengenai diabetes ketika hamil.

Bagaimana untuk mengurangkan risiko perpindahan HIV kepada bayi?

Risiko perpindahan HIV dapat dikurangkan dengan dramatiknya dengan beberapa cara seperti di bawah :

  • Rawatan untuk HIV dimulakan dengan ubatan anti-retroviral
  • Memilih untuk tidak menyusukan bayi dengan susu ibu yang mengidap HIV, ataupun menyusukan bayi sepenuhnya dengan susu gantian (formula feeding)
  • Bersalin secara pembedahan cesarean sekiranya mendapat persetujuan atau dicadangkan oleh pakar perbidanan dan pakar perubatan.

Adakah rawatan anti-retroviral selamat ketika hamil?

Sudah tentu ubat-ubatan anti-retroviral adalah selamat dan disesuai dimakan ketika hamil. Kadangkala terdapat 3 atau lebih ubat-ubatan yang digunakan bersama dinamakan sebagai Highly active anti-retroviral therapy (HAART). Ubat-ubatan ini adalah untuk mengurangkan risiko penularan HIV daripada ibu kepada bayi ketika hamil.

Walaupun HAART adalah selamat dimakan ketika hamil, kadangkala ubat-ubatan ini boleh menimbulkan masalah sampingan kepada hati. Maka jika ubatan HAART sudah dimulakan, pemantauan ujian darah perlu dilakukan untuk memastikan fungsi hati berada dalam keadaan yang baik. Paras zat besi di dalam darah juga mungkin berkurangan dan mengakibatkan anemia, maka anda dinasihatkan mengambil makanan tambahan yang kaya dengan zat besi.

Rawatan HAART tidak berbahaya pada bayi dalam kandungan. Malah jika anda tidak memakan ubat-ubatan HAART, risiko penularan HIV kepada bayi anda menjadi sangat tinggi.

Apakah cara terbaik untuk melahirkan bayi saya?

Pakar perubatan dan pakar perbidanan akan berbincang dengan anda cara yang terbaik untuk melahirkan bayi anda. Perbincangan akan merangkumi paras virus dalam darah ( viral load ) dan paras antibodi CD4 pada saat 36 minggu kehamilan dan sejarah kelahiran sebelumnya turut diambil kira.

Anda berpeluang untuk lahir secara normal, walaupun anda pernah melahirkan bayi secara pembedahan cesarean, dengan syarat anda masih dalam rawatan HAART dan mempunyai paras virus dalam darah kurang daripada 50 dan paras antibodi CD4 melebihi 350.

Jika anda dalam rawataan HAART dan paras virus dalam darah dalam lingkungan 50 hingga 399, pakar perubatan dan pakar perbidanan akan menyarankan anda melahirkan bayi secara pembedahan cesarean, lazimnya pada 38 minggu kehamilan. Walau bagaimanapun, ianya bergantung pada corak paras virus dalam darah, jangka masa rawatan HAART dan mengambil peduli pilihan anda sendiri.

Kelahiran secara cesarean akan disarankan, pada 38 minggu kehamilan sekiranya

  • Anda sedang rawatan HAART dan mempunyai paras viral dalam darah 400 atau lebih
  • Anda mengambil ubat Zidovudine sahaja
  • Anda mempunyai jangkitan Hepatitis C pada masa yang sama

Walaupun anda sudah disarankan untuk bersalin secara pembedahan cesarean, tetapi sekiranya anda berhasrat untuk melahirkan bayi secara normal, pilihan anda ini akan dihormati and cuba dituruti oleh para doktor. Namun demikian, jika terdapat keadaan-keadan yang membahayakan nyawa ibu dan bayi ketika proses bersalin, anda perlulah menjalani pembedahan caesarean secara kecemasan seperti dinasihatkan oleh doktor perbidanan.

Biarpun apa cara sekalipun yang anda pilih untuk melahirkan bayi anda, sampel darah anda tetap akan diperolehi ketika bersalin untuk menilai paras virus di dalam darah anda.

Apakah yang akan terjadi sekiranya saya dikehendaki bersalin secara Caesarean?

Anda perlu meneruskan rawatan HAART sekiranya telah dimulakan terlebih dahulu, seperti dinasihatan doktor.

Anda akan diberikan ubat yang bernama Zidovudine melalui salur darah (intravenous) ,beberapa jam sebelum pembedahan cesarean dan akan berlanjutan sehinggalah bayi dilahirkan dan tali pusat bayi dipotong.

Disebabkan besar kemungkinan kelahiran anda dirancang sebelum 39 minggu kelahamilan, anda akan diberikan ubat steroid yang dicucuk pada otot (intramuscularly) dalam tempoh 48 jam untuk mengurangkan risiko masalah pernafasan pada bayi setelah dilahirkan.

Sekiranya anda sudah mengalami kesakitan untuk bersalin, sebelum tiba tarikh untuk menjalani pembedahan cesarean, anda perlulah segera ke hospital. Pembedahan cesarean akan dilakukan secara kecemasan, dalam masa yang terdekat. Kadangkala, bukaan jalan kelahiran sudah terlalu besar dan setelah dinilai oleh doktor perbidanan, anda mungkin dibenarkan bersalin secara biasa.

Apakah yang akan berlaku sekiranya saya disarankan untuk bersalin secara normal?

Rawatan HAART seharusnya diteruskan ketika dalam proses bersalin. Ubatan Zidovudine diberikan secara intravena (intravenous) jika air mentuban telah pecah ataupun anda mempunyai paras virus dalam darah (viral load) yang sangat tinggi.

Jika anda sudah melebihi tarikh dijangka bersalin, dan paras virus dalam darah sangat rendah, anda juga mempunyai pilihan untuk menjalani proses induksi (induction of labour)

Bagaimana pula bayi saya dirawat selepas bersalin?

Bayi anda akan diberikan rawatan anti-retroviral dalam lingkungan 4 jam selepas kelahiran dan akan berlanjutan sehingga dia berusia 4 hingga 6 minggu

Bayi anda akan menjalani ujian untuk menentukan sama ada dia menghidap HIV pada hari kedua kelahiran, semasa keluar dari hospital, pada usia 6 minggu, dan pada usia 12 minggu. Jika semua ujian ini negatif dan anda tidak menyusukan bayi anda dengan susu ibu, bolehlah dengan selamatnya doktor mengatakan bayi anda bebas daripada jangkitan HIV. Walau bagaimanapun, ujian selanjutnya perlu dijalankan apabila bayi anda berusia 18 bulan.

Apakah langkah-langkah yang perlu saya lakukan jika saya bercadang untuk mendapatkan zuriat?

Jika anda ataupun pasangan anda menghidap HIV, anda perlu dinasihatkan mengenai amalan seks selamat dengan penggunaan kondom untuk menghalang penularan HIV.

Anda perlu menjalani sesi kaunseling dan perbincangan dengan pakar-pakar perubatan dan perbidanan.

Anda akan dinasihatkan untuk menunggu sehingga paras virus dalam darah adalah rendah sebelum hamil dan sebarang jangkitan yang sedia ada perlu dirawat terlebih dahulu.

Semua wanita dinasihatan mengambil makanan tambahan asid folik 400 microgram harian untuk 3 bulan sebelum bercadang untuk hamil. Sekiranya anda mengambil antibiotik co-trimoxazole, anda perlulah mengambil asid folik pada dos yang lebih tinggi iaitu 5 mg harian.

Sekiranya pasangan lelaki anda menghidap HIV;

Risiko perpindahan HIV kepada wanita menyamai sifar sekiranya dia menerima rawatan HAART, paras virus dalam darah kurang daripada 50 untuk sekurang-kurangnya 6 bulan, tidak mempunyai jangkitan lain, dan hubungan kelamin hanya berlaku pada tempoh subur si isteri. Dalam keadaan ini, proses pembersihan sperma (sperm washing) tidak akan mengurangkan risiko penularan HIV malah ianya akan mengurangkan peluang anda untuk hamil.

Akhir kata, jika anda adalah penghidap HIV, anda seharusnya mendapatkan khidmat nasihat perancangan keluarga daripada pakar perbidanan sejurus sahaja anda melahirkan bayi.

Wanita yang mengidapi HIV disarankan menjalani ujian pap smear setahun sekali.

Dr. Muhammad Izzat adalah seorang registrar obstetrik dan ginekologi yang bertugas di sebuah hospital di Kuala Lumpur. Artikel ini diterbitkan bersempena Hari AIDS sedunia yang disambut setiap tahun pada tanggal 1st December, bagi menyatukan masyarakat dunia untuk melawan HIV dan memberikan sokongan kepada penghidap HIV dan memperingati mereka yang meninggal dunia disebabkan AIDS.

Rujukan:

  • Management of HIV in pregnancy (Green-Top guideline No. 39) by Royal College of Obstetricians & Gynaecologists United Kingdom
  • Management of HIV infection in pregnant women by British HIV Association (BHIVA)
  • Antenatal Corticosteroids to Reduce Neonatal Morbidity (Green-top Guideline No. 7) by Royal College of Obstetricians & Gynaecologists United Kingdom
  • Diabetes Ketika Hamil: Punca & Kesannya – Dr. Muhammad Izzat , The Malaysian Medical Gazette May 13, 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box