Hentikan Diskriminasi! – Lt Kol (Dr) Nordiana Dollah

Sumber: www.republika.co.id

Sumber: www.republika.co.id

Pengenalan

Seringkali kita mendengar perihal penyakit mental tetapi pernahkah kita cuba memahaminya? Secara amnya, stigma  terhadap pesakit mental ini masih tinggi. Ungkapan “si gila” masih menjadi pilihan utama umum apabila ditanya perihal penyakit ini.

Sebenarnya, penyakit mental telah wujud  semenjak  zaman lampau. Ketika itu, penyakit mental dikaitkan dengan anasir jahat, sihir  dan gangguan syaitan, maka konsep rawatan menjurus kepada penyeksaan dan hukuman. Pesakit  dikurung, dirantai, dan dipukul.

Perubatan moden telah membuktikan sepertimana penyakit-penyakit lain, penyakit mental juga mempunyai bukti biologi yang jelas. Ketidakseimbangan neurotransmitter (unsur kimia penghantar signal dari otak)  adalah punca gangguan fungsi otak yang menyebabkan perubahan pemikiran dan tingkahlaku pesakit.

Namun begitu, masyarakat Malaysia masih percaya bahawa gangguan emosi dan tingkah laku adalah disebabkan perbuatan sihir daripada menerima fakta bahawa ianya adalah penyakit mental.  Ekoran daripada itu, bomoh dan pengamal perubatan tradisional menjadi tumpuan. Bahkan ada yang menganggap penyakit mental bukan penyakit, tetapi pembalasan di atas dosa-dosa lalu.

Lebih menyedihkan, doktor dan pengamal perubatan moden sendiri menolak fakta santifik ini. Ada di kalangan mereka yang tidak peka,  tidak sedar malahan tidak mengetahui bahawa pesakit yang berjumpa mereka itu sebenarnya mengalami gangguan emosi.

 

Era Psikiatri Moden

Pada masa lampau, hanya individu dengan simptom penyakit mental yang teruk sahaja mendapat perhatian dan mereka tiada pilihan selain dihantar ke institusi-institusi mental. Kini, fokus rawatan telah jauh berubah. Pengesanan awal dan kaedah rawatan efektif membolehkan pesakit dirawat di dalam masyarakat dan dekat dengan keluarga mereka. Kaedah perawatan ini didapati jauh lebih berkesan.

Stigma dan penyakit mental

Stigma adalah satu persepsi negatif.  Stigma memperlihatkan penyakit mental sebagai sesuatu yang mengaibkan, merbahaya, berpunca dari kelemahan diri dan  tidak boleh diubati. Justeru itu, pesakit dan keluarga menganggap penyakit mental ini adalah sesuatu  yang harus disembunyikan.

Bagi yang dirujuk berjumpa pakar psikiatri pula, apabila disahkan mengalami penyakit mental, mereka berisiko tinggi untuk dibuang kerja. Sudahlah dibuang kerja, kos perubatan pula tidak dibiayai. Sukar untuk ditelan,  hakikatnya, negara kita adalah antara minoriti negara di dunia yang tidak menganggap penyakit mental sebagai salah satu penyakit kritikal dan wajib  dilindungi oleh mana-mana insurans. Maka tidak hairanlah mereka lebih rela berdiam diri menanggung derita daripada dilihat berjumpa dengan pakar psikiatri.

Kebelakangan ini, kerapkali  kita mendengar berita individu tiba-tiba bertindak ganas. Setelah dirujuk, pakar psikiatri mengesahkan individu tersebut adalah pesakit mental tetapi tidak pernah menerima rawatan.  Kejadian sebegini boleh dielakkan jika komuniti tidak memandang serong terhadap penyakit psikiatri dan keluarga membawa pesakit mendapatkan rawatan lebih awal.

 

Kenapa kita perlu ambil kisah?

Stigma membawa implikasi yang sangat besar, bukan sahaja kepada individu terlibat tetapi juga keluarga dan masyarakat. Penurunan kualiti hidup yang ketara – pengangguran, tersisih dari keluarga dan masyarakat, masalah kewangan memburukkan lagi keadaan pesakit.  Stigma adalah punca utama kelewatan dan halangan untuk rawatan yang optimum. Malahan ia juga adalah halangan kepada perkembangan kajian saintifik kesihatan mental dan punca kekurangan pakar psikiatri – menjadikan penambahbaikan dari segi perawatan, sistem dan polisi sangat terhad.

 

Apa yang boleh kita lakukan untuk menangani stigma?

Adalah tanggungjawab kita semua untuk bersama-sama berganding bahu menghapuskan diskriminasi terhadap pesakit mental ini. Bermula dari hari ini, bincanglah tentang penyakit mental secara terbuka sebagaimana penyakit-penyakit lain. Jikalau ada di antara ahli keluarga atau kenalan yang mengalami penyakit mental, doronglah mereka untuk mendapatkan rawatan. Dampingi  mereka.  Sekiranya kita lebih mengenali mereka, semakin hilang tanggapan negatif tentang mereka.

Berkomunikasilah dengan baik. Jangan menggunakan gelaran yang tidak elok. Selain menjatuhkan keyakinan diri pesakit, komunikasi yang kurang baik boleh menjadi provokasi dan mencetuskan tingkahlaku agresif. Bantah dan tegurlah mereka yang menggunakan perkataan yang tidak sopan terhadap pesakit mental.

Gunakan fakta sains yang sedia ada untuk membetulkan salah tanggapan masyarakat  terhadap penyakit mental. Sebagai pengamal perubatan, tingkatkanlah pemahaman terhadap kesihatan mental. Jangan pula,  dek kejahilan kita, pesakit tidak mendapat rawatan yang sewajarnya.  Kajian menunjukkan semakin tinggi pengetahuan seseorang itu mengenai kesihatan mental, semakin kurang diskriminasi mereka terhadap pesakit mental.

Pihak majikan pula haruslah memberikan hak dan layanan yang sama rata sepertimana pekerja yang mengidap penyakit lain. Usah bersikap prejudis. Hargailah sumbangan mereka dan teruslah memberi dorongan dan galakan kepada mereka.

Jika anda seorang yang berpengaruh, penasihat atau pembuat polisi, anda mampu memberi sumbangan yang besar dalam menghapuskan diskriminasi ini dalam setiap aspek termasuk pekerjaan, pelajaran, perlindungan insurans dan perkhidmatan.

Penutup

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Usah menghukum mereka, sebaliknya terimalah mereka dengan fikiran terbuka. Berilah sokongan untuk mereka melawan penyakit ini.  Jika kita  benar-benar memahami, kita akan lebih berfikiran terbuka dan berhenti dari mendiskriminasikan mereka.  Hanya kita yang mampu mengubahnya.

Lt Kol (Dr) Nordiana Dollah seorang pakar psikiatri yang sedang berkhidmat di Kota Kinabalu.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Rujukan:

  • Kishore, J., Gupta, A., Jiloha, R.C. and Bantman, P. 2011. Myths, beliefs and perceptions about mental disorders and health-seeking behavior in Delhi, India. Indian J Psychiatry. 2011 Oct-Dec; 53(4): 324–329.
  • Byrne, P. 2000. Stigma of mental illness and ways of diminishing it. Advance in Psychiatric Treatment: Journal of continuing professional development. 6:65-72
  • Origin of Mental Illness. http://www.healthline.com/galecontent/origin-of-mental-illnesses. 2003.
  • Mohit, A.. Mental health and psychiatry in the Middle East: historical development. Eastern Mediterranean Health Journal 7 (2001): 336-347.
  • NHS. Attitudes to mental illness- 2011 survey report. 2001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box