Gerakan Anti Vaksin Keliru Fakta Sebenar – Dr Khoo Yoong Khean

3.3.5_vaccinationGerakan anti-vaksin kini semakin menular dengan kemunculan artikel di portal berita, laman sesawang dan jaringan media sosial. Sebagai seorang doktor perubatan, perkembangan ini amat membimbangkan saya. Saya berpendapat bahawa isu ini harus ditanggani sebelum lebih ramai ibu bapa membuat keputusan yang akan membahayakan hidup anak-anak mereka.

Walaupun terdapat banyak kajian yang menyatakan bahawa vaksin adalah selamat, terdapat beberapa orang yang tetap percaya bahawa vaksin memudaratkan kanak-kanak. Malah ada yang mendakwa vaksin adalah konspirasi Yahudi.

Vaksin telah dicipta seawal 1930an dan digunakan di serata dunia untuk mencegah penyakit-penyakit merbahaya. Fakta ini disahkan oleh World Health Organization (WHO). Orang awam perlu terlebih dahulu memahami konsep asas imunologi dan vaksin sebelum mempercayai bulat-bulat dakwaan bahaya vaksin.

Imuniti adalah kebolehan badan untuk melawan penyakit. Ia terbahagi kepada imuniti pasif (semulajadi dan jadian) dan aktif (semulajadi dan jadian). Imuniti pasif iaitu antibodi yang sedia ada terhasil dan disampaikan melalui penyusuan ibu (semulajadi) atau pemberian imunoglobulin untuk merawat penyakit-penyakit tertentu (jadian). Imuniti aktif pula dihasilkan apabila tindakbalas badan melawan penyakit yang disebabkan  antigen khusus dan seterusnya menghasilkan antibodi untuk melawan penyakit tersebut. Contohnya melalui jangkitan cacar air (semulajadi) atau vaksin (jadian).

Vaksin diberi untuk membantu badan menghasilkan antibodi khusus bagi melawan beberapa penyakit yang mampu membawa maut. Terdapat beberapa jenis vaksin yang digunakan iaitu:

  1. Vaksin dinyahaktif; virus atau bakteria dibiak dalam makmal tetapi dimatikan atau dinyahaktifkan. Virus atau bakteria ini telah mati tetapi komponennya kekal dan boleh meransang penghasilan antibodi.
  2. Vaksin hidup yang dilemahkan; virus atau bakteria hidup tetapi lemah. Virus dan bakteria ini akan membiak tetapi pada kadar yang sangat perlahan, maka memberi peluang untuk badan menghasilkan antibodi secara berterusan.

Jika konsep asas ini difahami, anda akan sedar bahawa imuniti berfungsi berasaskan tindakbalas dalaman setiap individu. Pemakanan dan gaya hidup yang sihat dapat membantu tetapi hanya antibodi khusus sahaja yang dapat melawan penyakit tertentu. Contohnya, penyakit polio yang disebabkan jangkitan virus polio tidak dapat dicegah melalui pemakanan sihat. Tetapi vaksin mampu mencegahnya.

Gerakan anti vaksin telah mendapat sambutan setelah seorang doktor bernama Dr Andrew Wakefield menghasilkan kajian pada tahun 1998 yang menyatakan terdapat kaitan antara vaksin berganda tiga MMR (measles, mumps, rubella) dengan sejenis autisma yang baru, dikenali sebagai autistik enterokolitis (radang usus). Hasil kajian beliau hanya menemui terdapatnya kaitan dengan vaksin tetapi tidak membuktikan bahawa vaksin sebagai penyebab penyakit tersebut. Kajian ini telah diterbitkan di dalam jurnal perubatan The Lancet tetapi tidak lama kemudian, Dr Wakefield telah didapati tidak mengikut garis panduan jawatankuasa etika kajian sewaktu menjalankan kajian tersebut. Majlis Perubatan United Kingdom (UK) telah membuat penyiasatan terhadap beliau di atas beberapa pertuduhan seperti mengambil duit daripada peguam yang ingin menyaman syarikat pengeluar vaksin, tidak mendapatkan kelulusan daripada jawatankuasa etika kajian dan melakukan prosedur-prosedur invasif (kolonoskopi dan mengambil air tulang belakang) terhadap pesakit-pesakit yang terlibat dengan kajian tersebut.

Majlis Perubatan UK mendapati Dr Wakefield bersalah dalam semua pertuduhan dan beliau telah dibuang dari pendaftaran perubatan. Pengarang bersama artikel telah menarik balik artikel tersebut dan mengisytihar kajian itu sebagai satu penipuan. Sejak kejadian tersebut, beberapa kajian telah dijalankan untuk mencari kaitan langsung antara vaksin dan autisma, tetapi tiada kajian yang dapat membuktikan kaitan tersebut. Andrew Wakefield kini tidak lagi berkhidmat sebagai seorang doktor. Diagnosis autistik enterokolitis tidak berasas dan tiada kes lain telah dilaporkan.

Satu fakta penting yang harus diambil kira ialah Wakefield hanya tidak menggalakkan pengambilan vaksin berganda tiga MMR tetapi menggalakkan penggunaan vaksin tersebut yang diberi secara berasingan. Program vaksinasi juga membantu mengekalkan tahap imuniti berkumpulan dan bertindak menghadang penyakit daripada merebak. Sekiranya peratusan orang ramai yang divaksin adalah tinggi, risiko jangkitan penyakit akan menjadi rendah. Maka, sekiranya ibu bapa tidak membenarkan anak-anak mereka divaksin, mereka telah secara tidak langsung membantu meningkatkan risiko penyakit untuk merebak dan membahayakan kesihatan orang lain terutama pesakit-pesakit yang mempunyai tahap imuniti yang rendah.

Memandangkan pelbagai kajian telah membuktikan bahawa vaksin dapat membantu melindungi orang ramai (terutamanya kanak-kanak yang berisiko disebabkan usia mereka yang muda), dan tiada kajian yang dapat membuktikan vaksin memudaratkan, saya syorkan ibu bapa dan bakal ibu bapa untuk membenarkan program vaksinasi untuk anak mereka. Saya amat menegaskan saranan ini.

Seperti perkara lain dalam hidup ini, vaksin juga mempunyai risiko untuk menyebabkan kesan sampingan. Para profesional perubatan akan menilai segala risiko dan kebaikan setiap vaksin sebelum memberi nasihat kepada ibu bapa. Kami sentiasa berusaha untuk memberi maklumat yang tepat dan boleh dipercayai supaya ibu bapa boleh membuat keputusan yang tepat berlandaskan informasi yang tepat.

Saya akhiri dengan satu persoalan, sanggupkah anda mempertaruhkan nyawa anak anda berdasarkan teori yang tidak berasaskan mana-mana bukti saintifik atau adakah anda akan memilih kaedah saitifik yang telah terbukti mampu mengelakkan anak anda dijangkiti penyakit merbahaya?

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Dr. Khoo Yoong Khean adalah penolong ketua editor Malaysian Medical Gazette dan seorang pegawai perubatan yang bekerja dalam Jabatan Perubatan Kecemasan. Kenali dia dengan lebih lanjut lagi di laman The Team. Artikel ini diterjemah oleh Dr Hidayatul Radziah Ismawi dari artikel Anti-vaccination movement is misinformed.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box