Ganja: Manfaat atau Mudarat? – Khairul Naim bin Zainal Abidin

Pengenalan

Baru-baru ini, terdapat cadangan daripada beberapa pihak untuk menghalalkan ganja. Polemik berkenaan ganja telah disiarkan di media dan menarik perhatian pelbagai pihak.

Carta di bawah diambil daripada artikel yang disiarkan dalam jurnal The Lancet, sebuah jurnal perubatan United Kingdom.

001

Carta tersebut menunjukkan tahap kebergantungan terhadap sesuatu jenis dadah dan kesan mudarat fizikal penyalahgunaan dadah tersebut.

Berdasarkan carta, Cannabis (nama lain: ganja, marijuana) berada di atas dadah-dadah perangsang (stimulant) seperti ecstasy,lysergic acid (LSD) dan gamma hydroxybutyric acid (GHB). Oleh demikian, ganja menyebabkan ketagihan yang lebih kuat berbanding ketagihan ecstasy, LSD atau GHB.

Tetrahydrocannabinol (THC) dari sudut perubatan dan undang-undang

Bahan aktif dalam ganja ialah tetrahydrocannabinol (THC). THC tergolong sebagai bahan kimia kelas cannabinoid. Cannabinoid merupakan bahan kimia yang merangsang reseptor cannabinoid dalam badan manusia.

Rangsangan THC terhadap reseptor cannabinoid akan merangsang selera makan, mengurangkan kesakitan dan mengurangkan rasa loya. Selain itu perubahan sikap dan halusinasi juga boleh berlaku.

THC bersifat menghilangkan sakit (pain killer) dan boleh mengurangkan rasa loya. Terdapat beberapa kajian telah dilakukan untuk menguji THC untuk tujuan perubatan. THC didapati berjaya mengurangkan gejala yang dialami oleh pesakit multiple sclerosis, sejenis penyakit saraf. Selain itu, THC juga menambahkan selera makan & mengurangkan rasa loya pesakit yang menjalani kemoterapi.

Sehingga kini, terdapat dua produk ubat yang diolah daripada struktur kimia THC telah diluluskan oleh Food & Drug Administration (FDA), Amerika Syarikat. Produk-produk tersebut ialah dronabinol dan nabilone. Kedua-dua ubat tersebut telah diluluskan penggunaan di Amerika Syarikat untuk beberapa indikasi tertentu. Indikasi tersebut seperti merangsang selera makan dan mengelakkan loya di kalangan pesakit kanser yang menjalani kemoterapi.

Di Malaysia, buat masa ini kedua-dua produk ubat yang dinyatakan di atas belum didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. THC dikategorikan sebagai dadah berbahaya di dalam Bahagian Ketiga, Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952. Oleh demikian pengimportan kedua-dua produk ubat tersebut tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan peraturan-peraturan berkaitan.

2014-09-09-medicalmarijuanacerebalpalsyGanja – Manfaat atau mudarat?

Terdapat beberapa justifikasi telah diberikan oleh pihak yang mencadangkan ganja dihalalkan. Di antara justifikasi tersebut ialah, ganja boleh memberikan ketenangan, mengurangkan tekanan seterusnya mengurangkan kadar jenayah. Pihak tersebut turut mendakwa ganja mampu merawat kanser, sawan, gout dan kencing manis.

Penggunaan ganja boleh mengakibatkan halusinasi, hilang tumpuan dan khayal. Sebagai contoh, pada tahun 2014, satu kes pembunuhan telah berlaku di Amerika Syarikat akibat halusinasi kesan pengambilan ganja. Kesan penggunaan ganja cuma meredakan gejala kemurungan buat sementara, malah terdapat kajian-kajian yang merumuskan penggunaan ganja boleh meningkatkan risiko masalah mental seperti psikosis dan skizofrenia.

Seperti yang telah dibincangkan berkenaan sifat terapeutik THC, setakat ini tiada bukti konkrit yang menyatakan THC boleh menyembuhkan pelbagai penyakit. Sifat terapeutik THC terhad kepada penggunaan dalam beberapa senario perubatan sahaja..

Sifat terapeutik ubat dipengaruhi oleh struktur kimia ubat tersebut. Struktur kimia yang spesifik akan mencetuskan tindak balas spesifik di dalam tubuh badan. Oleh demikian, kebanyakan sifat terapeutik (penyembuh/pelega) ubat-ubatan terhad kepada beberapa kegunaan sahaja. Dakwaan bahawa THC boleh menyembuhkan penyakit kronik seperti kanser, sawan, gout dan kencing manis merupakan dakwaan yang tidak benar. Dakwaan sedemikian biasanya dilakukan oleh peniaga tidak bertanggungjawab yang hanya ingin melariskan jualan produk mereka.

Kesimpulan

Kesimpulannnya, terdapat ubat-ubatan yang telah dihasilkan daripada THC, bahan aktif dalam ganja. Walau bagaimanapun, kegunaan ubat-ubatan tersebut terhad kepada beberapa kegunaan sahaja seperti merangsang selera makan dan mengurangkan rasa loya yang dialami oleh pesakit kanser yang menjalani kemoterapi. Fakta ini tidak boleh dijadikan hujah untuk menghalalkan ganja.

Tindakan menghalalkan ganja akan menambah satu lagi bahan ketagih selain tembakau dan arak. Ganja boleh mengakibatkan ketagihan sama seperti bahan ketagihan lain seperti ecstasy, LSD, GHB, tembakau dan arak.

Oleh demikian, didapati risiko mudarat melebihi manfaat yang boleh diperolehi daripada penghalalan ganja. Justeru itu ganja tidak wajar dihalalkan penggunaannya dalam negara ini.

Khairul Naim bin Zainal Abidin seorang pegawai farmasi yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Rujukan:
  • Nutt King, Saulsbury , Blakemore (2007). “Development of a rational scale to assess the harm of drugs of potential misuse”. Lancet 369 (9566): 1047–53
  • Koppel BS, Brust JC, Fife T, Bronstein J, Youssof S, Gronseth G, Gloss D (April 2014). “Systematic review: Efficacy and safety of medical marijuana in selected neurologic disorders: Report of the Guideline Development Subcommittee of the American Academy of Neurology”. Neurology 82 (17): 1556–63
  • Grotenhermen, Franjo; Russo, Ethan, eds. (2002). “Review of Therapeutic Effects”. Cannabis and Cannabinoids: Pharmacology, Toxicology and Therapeutic Potential. New York City: Psychology Press. p. 124.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box