Filem ‘Split’: Fakta Psikiatri Atau Mainan Hiburan Semata-mata? – Dr Zul Azlin Razali

dissociative-identity-disorderSatu majlis harijadi sahabat anda berakhir dengan penculikan tragik. Anda dikurung entah di mana berhari-hari. Bilik tidak bertingkap tetapi tidak terlalu kedap. Tidak seperti penjara, tandasnya bersih dan terasing dari kawasan tempat tidur. Setiap hari anda dikunjungi oleh individu yang membawa makanan untuk anda. Tidak cukup dengan ketakutan yang dibawa oleh ketidakpastian situasi penculikan ini, anda kebingungan dengan perwatakan individu tersebut. Setiap hari orang yang sama, tetapi berbeza personanya. Berbeza roman dan pakainya. Lain-lain wataknya. Terlalu tulen jika hendak dikata dibuat-buat. Maka, emosi yang keliru, fikiran yang galau dan kejutan demi kejutan mencipta drama-drama seterusnya dengan pengakhiran yang sungguh tragis. Lebih kurang begitulah plot filem terbaru M. Night Shyamalan ini. Filem yang menjadikan penyakit mental sebagai paksi, lebih tepat lagi penyakit Dissociative identity disorder (DID). Maaf, ini bukan ulasan seni. Sekadar perkongsian hasil cerapan seorang doktor psikiatri.

Tentang Dissociative identity disorder DID

Dissociative identity disorder (DID); atau di dalam Bahasa Melayu Kecelaruan Jati Diri/ Identiti Disosiatif, bukan penyakit yang lazim. Bukan juga ia satu penyakit yang mendapat perhatian meluas dalam pengkajian saintifik jika dibandingkan dengan penyakit-penyakit mental lain seperti skizofrenia dan kemurungan. DID adalah salah satu daripada beberapa penyakit dissociative yang lain seperti dissociative fugue dan dissociative amnesia. Dissociative dari segi bahasa bermakna pemisahan, atau bersifat pemisah. DID suatu ketika dahulu dipanggil split personality dan multiple personality. Ia adalah penyakit kronik dan rumit yang melibatkan kekacauan memori autobiografi dan kesatuan identiti. Memori autobiografi bermaksud apa sahaja maklumat yang diingati tentang diri sendiri. Dalam erti kata lain, penghidap penyakit ini mempunyai lebih dari satu identiti atau personaliti. Identiti peribadinya berkecamuk dan tidak seragam.

Di dalam filem ini, watak utamanya, Kevin Wendel Crumbs menghidap DID dan aktif berada di dalam rawatan (psikoterapi) seorang doktor psikiatri. Kevin memiliki 23 personaliti atau alter-ego berbeza. Personalitinya yang ke 24 sengaja diletakkan di penghujung cerita kerana itulah keterujaan yang diinginkan oleh pembikin filem ini. Kejutan yang cukup meregang dan menarik tali-tali rasional penonton. Kejutan yang tidak berpijak di dunia realiti. Walau bagaimanapun, ini bukan isu pokok yang hendak dibahaskan di sini.

Peralihan dan pertukaran alter-ego atau personaliti dalam DID sepatutnya tidak berlaku dengan cara sukarela. Peralihan berlaku bila-bila masa di luar kawalan individu tersebut. Agak bercanggah dengan apa yang berlaku di dalam filem ini, seolah-olah satu dua personaliti bersifat dominan dan bertindak menguasai personaliti yang lain sehinggakan mampu merencana rancangan jahat penculikan yang kompleks. Sekali lagi, dengan menggunakan lesen kreativiti, penyakit mental dipaparkan di dalam media hiburan sebagai punca kejahatan dan lambang moral yang sumbing. Sekali lagi, penyakit mental dikaitkan dengan keganasan di dalam fantasi dunia hiburan komersial sedangkan realitinya majoriti pelaku ganas adalah yang tidak berpenyakit mental. Malah pesakit mental lebih ramai menjadi mangsa keganasan. 

Punca – Trauma ketika kanak-kanak

Tiada punca organik atau biologi yang dapat ditemui dalam DID. Walau bagaimanpun, kajian neurosaintifik yang menggunakan teknologi pengimejan fungsi (functional imaging technique), melontarkan teori bahawa penyakit ini ada asasnya di bahagian otak seperti masalah pada pre-frontal cortex yang melibatkan proses kebebasan kehendak manusia; free-will (Broome 2004).

Walau bagaimanapun, satu perkara yang baik yang ditunjukkan dalam filem ini ialah zaman kanak-kanak watak Kevin yang sangat gelap dan mengerikan. Hampir 90% penghidap DID mempunyai sejarah penderaan fizikal atau seksual ketika di zaman kanak-kanak mereka (Foote 2013). Hakikat ini penting kerana salah satu aspek penting perawatan adalah penjelajahan masa silam pesakit dan pengambilan sejarah yang tuntas. Seterusnya pesakit harus dilatih dalam kemahiran menangani masalah yang adaptif.

Tanggungjawab

Kita akur dunia seni hiburan menjadikan kreativiti sebagai pemacu utama usaha dan hasil. Pemacu kedua sudah tentu faktor komersial- mungkin tidak pada semua kaki seni. Seni membenarkan ahli-ahlinya menebarkan jaringan idea dan meneroka pelbagai kemungkinan agar terhasillah mahakarya. Seperti aspek ketamadunan moden yang lain, dunia seni juga tidak dapat lari dari tarikan kapitalisme. Atas dua sebab utama ini, diskusi tentang tanggungjawab sosial penggiat seni adalah satu wacana yang rumit. Di mana mula dan di mana akhirnya tanggungjawab seseorang penggiat seni apabila dia menghasilkan karya yang berpotensi mencetuskan polemik dan konflik? Sejauh mana pencerita, penulis skrip dan penggiat-penggiat seni mahu melayangkan lunas-lunas kreativitinya apabila menyentuh persoalan-persoalan sensitif? Bagaimana pembuat filem menggunakan isu-isu perubatan, terutamanya penyakit mental dalam produksi layar perak mereka? Perlukah mereka jumudkan bakat mereka hanya kerana dikongkong oleh established facts? Ya. Bukan mudah. Merumitkan dan merenyahkan.

Tanggungjawab masyarakat secara umumnya mungkin lebih mudah untuk diperkatakan. Semuanya terletak ke atas kita, sebagai pengguna produk-produk seni seperti filem. Tepuk dada tanya selera, adakah kita pengguna yang berfikir atau kita hanya konsumer hedonisme tanpa peduli kesan jangka panjang mesej-mesej yng terkandung? Adakah kita pengguna yang sofistikated? Penggunalah yang mencorakkan industri seni dan media hiburan. Sekurang-kurangnya dalam keseronokkan wujud budaya berfikir. Sekurang-kurangnya, pengguna melanjutkan kefahaman dengan merujuk sumber yang sahih apabila timbul soal-soal berat dan kontroversi dalam hiburan-hiburan yang dijamah.

DID dan kerasukan

Histeria yang rata-rata difahami dalam masyarakat kita sebagai kerasukan boleh jadi salah satu manifestasi DID. Kes-kes yang didokumentasi dan disensasi di majalah dan akhbar tertentu yang memaparkan individu berubah menjadi harimau dan haiwan lain adalah salah satu contoh DID dalam konteks masyarakat setempat. Antara teori mistiknya adalah harimau itu saka milik keluarga lantas individu itu menjadi mangsa. Sudah maklum, jarang dan hampir tidak ada penyiasatan psikologi dilakukan untuk individu-individu malang seperti ini. Diagnosis mudah yang diberi– rasukan jin dan syaitan. Tanpa menafikan kewujudan jin dan kebolehannya mengganggu manusia dan mudah-mudahan tanpa sikap angkuh, penulis menyarankan agar kes-kes sebegini diteliti latarbelakang psiko-sosialnya supaya kita lebih adil menjalankan tanggungjawb merawat yang diamanahkan oleh masyarakat. Tanpa meninggalkan amalan ayat-ayat suci al-Quran dan doa-doa dari riwayat Nabi SAW yang sahih dan rajih, pendekatan yang logik juga mustahak untuk mencapai maqasid syari’ah i.e kesempurnaan akal.

Akhir kata

DID bukan perkara baru yang digunakan dalam dunia perfileman. Filem Psycho (1960) dan Me Myself & Irene (2000) adalah antara filem Hollywood lain yang menjadikan penyakit ini sebagai tema. Penyakit-penyakit psikiatri lain pula terlalu banyak untuk dinyatakan contoh filemnya di sini. Penyakit mental sememangnya menyediakan peluang untuk pencerita layar perak mengembangkan kreativiti sambil menguji kebijaksanaan mereka. Unsur-unsur misteri, mistik, aneh, kejutan, perkaitan rapat dengan kerohanian dan sebagainya; semua itu bisa terangkum serentak dalam situasi pesakit mental. Pembinaan karakter yang mencabar dalam lakonan adalah batu loncatan pelakon-pelakon untuk lebih terkenal atau mungkin menang anugerah. Apa lagi yang lebih mencabar dari watak pesakit mental yang menjadi wadah pelakon-pelakon avant-garde menguji bakat-bakat mereka? Lihat sahaja James McAvoy ‘menunjuk-nunjuk kebolehan’ beliau bertukar-tukar semua personalitinya dengan begitu mudah di dalam salah satu babak filem Split ini.

Akhir kata, kita semua mempunyai tanggungjawab; baik pembuat filem/drama, doktor psikiatri mahupun pembaca semua. Penyakit mental sangat jarang bertindak ganas. Di belakang setiap penyakit mental, ada isu psikologi dan sosial yang perlu dirungkai. Yang bukan sekadar memerlukan bantuan professional tetapi sokongan orang ramai. Tanpa rawatan yang tepat, ia tidak akan kunjung selesai.

Dr. Zul Azlin Razali adalah seorang Pakar Psikiatri dan Pensyarah Kanan Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia. Hubungi Klinik Pakar Kesihatan USIM di 06-8504921.

Rujukan:

  1. Broome, M. R. (2004). A neuroscience of hysteria?.Current Opinion in Psychiatry, 17(6), 465-469.
  2. Foote, B. (2013). Dissociative identity disorder: epidemiology, pathogenesis, clinical manifestations, course, assessment, and diagnosis.UpToDate, Waltham, MA.(Accessed on March 3, 2014).
  3. Zul Azlin, R. (2014). Keganasan dan penyakit psikiatri. https://www.mmgazette.com/keganasan-penyakit-psikiatri-dr-zul-azlin/

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box