Fikir Dahulu Sebelum Buang – Norida Rabiaton Ali Akbar

Sumber: www.ask.com

Sumber: www.ask.com

Reuse. Reduce. Recycle. Kita selalu disarankan supaya mengasingkan kaca, kertas dan plastik sebelum dibuang. Bagaimana pula dengan ubat? Tahukah anda selain kaca, kertas, plastik dan lain-lain sisa domestik, ubat-ubatan juga boleh mengakibatkan pencemaran terhadap alam sekitar?

Bagaimana ubat-ubatan menyebabkan pencemaran?

Selain tong sampah, tempat kegemaran pembuangan ubat yang berlebihan ataupun tamat tempoh merupakan sinki atau tandas. Cara ini secara langsung membawa ubat-ubatan tersebut ke loji kumbahan. Loji kumbahan tidak berupaya merawat sisa kimia dalam air kumbahan, dan ini boleh menyebabkan pencemaran sistem pengairan dan seterusnya membahayakan hidupan akuatik. Kesihatan kita juga mungkin terjejas keranahidupan akuatik adalah sumber makanan .

Langkah pelupusan ubat yang betul

Ubat yang rosak atau tidak diperlukan lagi perlu dibuang secara sistematik dan selamat. Berikut adalah empat (4) langkah bijak yang boleh dipraktikkan dalam pengendalian ubat-ubatan yang tidak diperlukan lagi:

  • Langkah 1: Buang label pada bekas atau sampul ubat bagi melindungi kerahsiaan kesihatan anda.
  • Langkah 2: Ubat-ubatan yang telah melepasi tarikh luput, ubat yang tidak digunakan lagi, ubat yang rosak, berubah bentuk fizikal dan warna serta ubat yang disimpan dalam bekas yang kurang jelas labelnya perlu dimasukkan ke dalam bekas yang bersesuaian contohnya kotak, beg kertas atau sealable bag.
  • Langkah 3: Bawa ubat tersebut ke farmasi hospital dan klinik Kesihatan kerajaan yang berhampiran untuk tindakan selanjutnya.
  • Langkah 4: Mempromosikan kepada saudara mara, kawan serta jiran berkenaan program pemulangan ubat kepada farmasi.

Program Pemulangan Ubat

Pada tahun 2010, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaksanakan Program Pemulangan Ubat. Ubat-ubatan yang tidak digunakan atau berlebihan boleh dilupuskan dengan cara yang selamat melalui program yang dilaksanakan ini.

Antara faktor yang menyumbang kepada ubat berlebihan dalam simpanan pesakit adalah seperti berikut:

  • pertukaran regimen rawatan
  • pemberhentian rawatan
  • pesakit tidak komplian terhadap pengubatan
  • pesakit meninggal dunia
  • ubat diperolehi daripada pelbagai sumber

001Kini, kebanyakan fasiliti farmasi hospital mahupun Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia ada menyediakan perkhidmatan pemulangan ubat. Jadi gunalah kemudahan ini untuk memulangkan ubat anda supaya ubat tersebut dapat diuruskan dengan cara yang betul dan selamat. Sebarang kemusykilan atau pertanyaan, boleh bertanya kepada ahli farmasi berhampiran dengan anda.

Norida Rabiaton Bt Ali Akbar adalah seorang Pegawai Farmasi yang bertugas di Klinik Kesihatan Kerajaan di negeri Melaka.

Rujukan:

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box