Elak kesilapan Pengubatan di Rumah – Farah Izyan Mohammed Hasrori (Pegawai Farmasi)

Pengambilan ubat yang betul adalah penting bagi memastikan rawatan yang optimum. Walau bagaimanapun, kejadian kesilapan pengubatan boleh berlaku terutama ketika berada di rumah. Kesilapan pengubatan tidak boleh dipandang remeh kerana kesilapan yang berlaku berisiko menyebabkan kesan mudarat yang berbahaya.

Kesilapan pengubatan yang kerap berlaku

Antara kesilapan yang sering berlaku ialah pengambilan dos ubat yang salah dan cara pengambilan yang tidak betul. Perkara ini mungkin disebabkan pesakit tidak mematuhi arahan pada label. Contohnya, dos ubat tiga kali sehari tidak boleh diubah menjadi tiga biji sekali sehari walaupun bilangan ubat yang perlu dimakan dalam sehari masih sama.

Ubat-ubatan seperti inhaler, suntikan insulin, ubat titis mata dan telinga serta tablet sublingual (di bawah lidah) perlu digunakan dengan cara yang khusus. Sekiranya diambil dengan cara yang salah, ubat-ubat ini tidak akan memberikan kesan yang sepatutnya.

Kesan kesilapan pengubatan

Perkara yang dibimbangkan sekiranya kesilapan pengubatan berlaku ialah kesan yang tidak diingini kepada kesihatan badan. Kesan mudarat boleh berlaku secara serta-merta mahupun dalam jangka masa panjang. Contohnya, pesakit diabetes yang tersilap menyuntik insulin pada dos terlalu tinggi boleh mengalami hipoglisemia (paras gula terlalu rendah dalam darah) dan perlu dirawat segera.

Keadaan penyakit kronik yang tidak terkawal pula ialah kesan jangka masa panjang yang mungkin berlaku dan menyebabkan komplikasi. Komplikasi ini seterusnya akan meningkatkan kos rawatan.

Cara mengelakkan kesilapan pengubatan

Individu yang hendak mengambil ubat perlu membaca label pada sampul ubat. Semua maklumat penting berkaitan ubat dinyatakan pada label. Oleh sebab itu, pesakit dinasihatkan untuk menyimpan ubat dalam sampul asal supaya label yang mengandungi maklumat tersebut boleh dirujuk semula sekiranya perlu.

Seterusnya, pesakit perlu tahu nama generik ubat yang diambil. Nama generik ubat dinyatakan pada label atau kotak pembungkusannya. Elakkan mengenal pasti ubat berdasarkan ciri fizikal seperti saiz, bentuk atau warna. Beberapa jenis ubat yang berbeza mungkin mempunyai saiz, bentuk atau warna yang sama.

Selain itu, pesakit perlu memastikan hanya mengambil ubat yang dipreskripsikan untuk dirinya sahaja. Pesakit tidak seharusnya berkongsi ubat dengan ahli keluarga lain di rumah walaupun mengambil ubat untuk penyakit yang sama.

Dos ubat terutamanya bagi ubat jenis cecair perlu disukat dengan tepat. Pesakit dinasihatkan agar menggunakan alat penyukat yang bersesuaian untuk menyukat dos ubat cecair. Antara alat yang boleh digunakan ialah picagari, sudu bersukat dan cawan bersenggat. Dos yang disukat dengan tepat dapat mengelakkan kejadian terlebih dos.

Kaedah penyimpanan ubat juga perlu dititikberatkan bagi mengelakkan kesilapan pengubatan. Ubat perlu disimpan dalam bekas asal, pada suhu yang disarankan dan jauh daripada capaian kanak-kanak. Bukan itu sahaja, ubat untuk kegunaan luaran perlu disimpan berasingan daripada ubat yang dimakan.

 

Amalkan Konsep 5 Betul (5B)

Kesilapan pengubatan di rumah boleh dielakkan dengan amalan pengurusan dan pengambilan ubat secara berkualiti. Konsep 5 Betul (5B) iaitu pengguna ubat yang betul, ubat yang betul, dos yang betul, cara pengambilan yang betul dan masa yang betul boleh dijadikan formula utama dalam memastikan ubat diambil dengan cara yang diarahkan oleh doktor atau ahli farmasi.

Selain itu, pesakit digalakkan bertanya kepada doktor atau ahli farmasi yang merawat sekiranya keliru akan cara pengambilan ubat yang telah diberikan semasa mendapat rawatan.

 

 

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre – NPCC) di talian 1800-88-6722, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).

 

RUJUKAN: 

 

  1. Nichole L. Hodges , Henry A. Spiller, Marcel J. Casavant, Thiphalak Chounthirath & Gary A. Smith (2017): Non-health care facility medication errors resulting in serious medical outcomes, Clinical Toxicology, DOI: 10.1080/15563650.2017.1337908
  2. Britten,Nicky: Medication errors: the role of the patient, British Journal of Clinical Pharmacology. 2009 Jun; 67(6): 646-650
  3. Guide to Good Dispensing Practice. Edisi 2016. Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel ini disediakan oleh Farah Izyan binti Mohammed Hasrori, Pegawai Farmasi UF44 yang bertugas di Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box