“Dia Telah Diracun! Apa Perlu Saya Buat?” – Mark Cheong

Source: www.ivillage.com

Source: www.ivillage.com

Kita melihatnya dalam filem dan TV. Kita membaca tentangnya dalam buku dan novel. Kita juga pernah mendengar cerita ianya berlaku pada seorang rakan kepada rakan atau seseorang yang rapat kepada kita. Keracunan dan perbuatan meracuni orang lain mengujakan imaginasi. Perkataan ‘racun’ itu sendiri membawa gambaran ular-ular beracun, pembunuh dalam gelap, dan takdir buruk yang menanti mereka yang diracun.

Apa yang mungkin tidak disedari kebanyakan orang adalah racun sebenarnya berada di mana-mana sahaja dan mungkin terkandung dalam bekas yang paling kurang disyaki, menyebabkan keracunan boleh berlaku hanya dengan terambil bekas yang salah. Bagi mengelakkan situasi ini berlaku, kita bersungguh-sungguh memastikan supaya kanak-kanak tidak dapat mencapai bekas racun (walaupun tidak semudah yang dijangka kerana kanak-kanak sangat aktif) dan menyimpan bahan-bahan beracun di bahagian rumah yang paling tersorok.

Kelemahan utama dalam usaha kita menangani kejadian keracunan secara tidak sengaja adalah kurangnya pengetahuan tentang cara-cara bertindak apabila seseorang didapati diracun.

Sebagai permulaan, bagaimana untuk mengetahui sekiranya seseorang telah diracun?

Lihat di sekitar mangsa. Mungkin terdapat botol-botol kosong, cecair tumpah, atau pil-pil dan botol-botol ubat bertaburan berdekatan.

Sesetengah racun akan menyebabkan kelecuran atau kemerahan pada tempat yang terkena racun seperti bibir dan mulut. Mungkin juga terdapat kesan muntah di sekitar mangsa atau kesan-kesan dan bau-bauan yang tidak dikenali pada badan dan baju mangsa. Nafas sesetengah mangsa juga mungkin berbau gasolin atau peluntur cat.

Sesetengah mangsa pula mungkin menunjukkan beberapa simptom keracunan yang kukuh. Dalam kebanyakan kes keracunan, mangsa berasa keliru atau mengantuk manakala dalam kes-kes lain, mangsa mungkin berasa gelisah atau resah. Terdapat juga mangsa yang mengalami sawan serta kesukaran bernafas. Dalam kes-kes yang lebih serius, pernafasan mangsa mungkin terus terhenti.

Sumber yang baik untuk senarai gejala-gelaja keracunan boleh didapati pada laman Khidmat Kesihatan Kebangsaan United Kingdom tentang keracunan : http://www.nhs.uk/Conditions/Poisoning/Pages/Symptoms.aspx

Jadi apa yang patut dilakukan sekiranya anda berada dalam situasi ini?

Langkah pertama ialah menghubungi perkhidmatan kecemasan, terutama sekali jika gejala-gejala yang telah disebut tadi dilihat pada mangsa.

Selepas itu barulah langkah-langkah berikut boleh diambil:

  • Membersihkan sisa racun pada mulut mangsa jika racun tersebut ditelan Berhati-hati sekiranya anda mengesyaki bahan tersebut menyebabkan lecur.
  • Jangan cuba memaksa mangsa untuk memuntahkan balik racun yang ditelan. Perkara ini selalunya boleh mendatangkan mudarat kepada mangsa.
  • Sekiranya anda mengesyaki mangsa telah diracun dengan gas atau wap udara, segera alihkan mangsa ke kawasan terbuka dan berudara segar.
  • Sekiranya racun telah tumpah pada kulit, baju, mata atau telinga mangsa, tanggalkan pakaian tersebut dan bersihkan sisa-sisa racun. Anda boleh lakukan demikian dengan membilas mata dan telinga dengan air suam atau membersihkan badan di bawah pancuran air selama 20 minit sehingga pertolongan kecemasan tiba.
  • Sekiranya anda mendapati mangsa tidak bernafas, CPR perlu dimulakan sekiranya anda terlatih untuk melakukannya.
  • Terakhir dan paling penting sekali, apabila pertolongan tiba atau sejurus sebelum mangsa dihantar ke hospital, sentiasa ingat untuk membawa sekali bekas atau botol yang disyaki mengandungi racun. untuk membantu pegawai perubatan mengenalpasti dengan lebih tepat jenis racun dan seterusnya memberikan rawatan efektif kepada mangsa.

Rumusannya, bahan-bahan beracun hendaklah dikenalpasti dan dilabel dengan jelas serta disimpan secara berasingan daripada bahan-bahan rumah yang lain. Semua ahli keluarga juga perlu belajar cara-cara bertindak apabila seseorang mengalami keracunan. Dengan mengambil pendekatan serampang dua mata ini, kita mengurangkan risiko keracunan secara tidak sengaja sambil meningkatkan peluang kemandirian mangsa.

Mark Cheong seorang ahli farmasi yang bertugas di Kuala Lumpur. Minat penyelidikan beliau adalah pada strategi perlaksanaan tindakan kesihatan awam. Baca lebih lanjut tentang beliau pada laman The Team. Artikel ini diterjemahkan oleh Nur Nadhirah daripada https://www.mmgazette.com/hes-been-poisoned-what-do-i-do-mr-mark-cheong/

Rujukan:

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box