Demam Denggi: Jangan Benarkan ia Meragut Nyawa Kita! #MsiaEndsDengue – Dr Alya Hamzah

Pengenalan

Demam denggi merupakan penyakit berjangkit yang terus menghantui kehidupan rakyat Malaysia. Tahun demi tahun, kes demam denggi semakin meningkat walaupun terdapat pelbagai kempen kesedaran dijalankan di seluruh tanah air. Malaysia kini antara negara yang berada di tangga teratas dalam bilangan kes demam denggi di dunia. Ini bukanlah suatu pencapaian yang patut dibanggakan.

Pada tahun lepas, sebanyak 41,226 kes demam denggi telah disahkan dan 88 daripada kes tersebut telah menyebabkan kematian. Jumlah ini menandakan pelonjakkan sebanyak 92% kes demam denggi berbanding tahun 2012 dan kenaikkan 151% pula bagi kes demam denggi yang membawa maut.

Apakah demam denggi dan bagaimana ia merebak?

Demam denggi adalah suatu penyakit berjangkit yang boleh dicegah. Ia disebabkan oleh  empat virus (DEN-1 , DEN-2, DEN-3, DEN-4) daripada kumpulan virus Flaviviridae.

Manusia mendapat jangkitan ini apabila digigit oleh nyamuk Aedes betina yang telah dijangkiti. Lazimnya nyamuk dijangkiti setelah menghisap darah pesakit demam denggi. Nyamuk yang telah dijangkiti boleh memindahkan virus tersebut kepada manusia sepanjang hayatnya. Nyamuk betina juga boleh memindahkan virus kepada telur-telurnya.

Demam denggi tidak  merebak daripada seorang pesakit kepada pesakit yang lain secara langsung. Jelaslah disini bahawa nyamuk Aedes betina memainkan suatu peranan yang penting dan merbahaya dalam memastikan demam denggi terus wujud di negara kita.

Individu yang pernah mengalami demam denggi masih boleh dijangkiti semula sekiranya nyamuk yang yang menggigit individu tersebut membawa virus daripada ‘strain’ yang berlainan.

Mengapa demam denggi boleh wujud di Malaysia ?

Cuaca di negara kita yang menerima sinaran matahari terik dan hujan sepanjang tahun mewujudkan keadaan yang sangat sesuai untuk pembiakkan ‘vektor’ atau pembawa virus demam denggi. Vektor yang penting di negara kita adalah nyamuk betina Aedes egypti. Nyamuk ini membiak dalam takungan air bersih seperti pasu bunga, takungan air hujan di dalam tayar atau sampah sarap serta kolam air mandian dan lain lain.

Apakah tanda-tanda demam denggi?

Setelah digigit oleh nyamuk Aedes betina yang telah dijangkiti, virus tersebut boleh berada dalam sistem saluran darah selama 3 hingga 14 hari dan menyebabkan penyakit.  Manifestasi demam denggi bergantung kepada usia dan tahap imuniti seseorang. Bagi kanak kanak yang agak besar serta orang dewasa ,  tanda tanda demam denggi tidak banyak berbeza daripada jangkitan virus yang lain (viral fever) seperti berikut – :

  1. Demam
  2. Sakit sendi dan otot
  3. Sakit dibelakang mata
  4. Pening kepala
  5. Rasa loya dan muntah
  6. Ruam
  7. Gusi berdarah (akibat daripada penurunan sel pembeku darah)

Bayi juga tidak terkecuali daripada serangan jangkitan yang merbahaya ini. Tanda tanda jangkitan dalam bayi adalah agak tidak spesifik seperti demam panas, ruam dan kurang menyusu.  Demam ini boleh berlanjutan sehingga 7- 10 hari.

Source: mrsdisease.com

Source: mrsdisease.com

Demam denggi berdarah/Dengue Hemorrhagic Fever (DHF) Vs Severe Dengue ?

Demam Denggi Berdarah atau DHF adalah klasifikasi lama daripada World Health Organization (WHO) pada tahun 1997 yang dahulunya digunapakai untuk melabel kes demam denggi yang serius. Klasifikasi ini telah ditukar kepada ‘Severe Dengue’ kerana kajian menunjukkan manifestasi yang dilihat dalam pesakit selain daripada penurunan sel pembeku darah, bukanlah disebabkan ‘pendarahan’ tetapi lebih kepada saluran pembuluh darah yang menjadi lebih telap kepada bendalir  dalam darah.

Akibat daripada saluran darah yang ‘bocor’ ini, bendalir dalam darah mengalir keluar ke ruang ruang di bahagian seperti paru paru dan usus yang boleh menyebabkan kemerosotan kepada keadaan klinikal pesakit seperti sesak nafas, pendarahan dalaman dan sawan. Pengurangan tekanan dalam saluran darah yang berterusan akibat daripada ‘kebocoran’ pembuluh darah akhirnya boleh membawa maut.

Demam denggi adalah suatu penyakit kompleks yang sukar diramal. Tidak semua kes demam denggi akan berlanjutan menjadi Demam Denggi Berdarah atau Severe Dengue.  Mengenal pasti ‘tanda – tanda amaran’ adalah sangat penting supaya rawatan dapat diberikan tanpa berlengah.

Antara tanda tanda ‘amaran’ seseorang itu mungkin akan atau telah mengalami ‘Severe Dengue’ adalah seperti berikut :

  1. Sakit perut yang teruk
  2. Kerap muntah
  3. Pendarahan gusi, hidung
  4. Pesakit resah atau sangat lemah

Tanda- tanda lain juga wujud yang boleh dikesan oleh pengamal perubatan melalui pemeriksaan fizikal dan analisis darah.

Bagaimanakah jangkitan denggi disahkan ?

Pada peringkat awal demam, ujian darah ‘Full Blood Count’ mungkin normal atau menunjukkan penurunan bilangan sel darah putih dan diikuti sel pembeku darah. Enzim-enzim hepar juga mungkin menunjukkan bacaan yang tidak normal.

Untuk mengesahkan jangkitan denggi , ujian yang boleh dijalankan termasuklah pengesanan antigen denggi pada 5 hari pertama  kemunculan simtom ataupun pengesanan antibodi terhadap virus 5 hari selepas itu.

Source: archive.thedailystar.net

Source: archive.thedailystar.net

Apakah rawatan dan vaksin untuk demam denggi?

Tiada rawatan khusus untuk demam denggi. Rawatan yang diberikan hanyalah berbentuk sokongan. Pemantauan tekanan darah, kelajuan degupan jantung dan juga analisis darah adalah antara komponen penting yang difokuskan oleh doktor yang merawat.

Vaksin untuk denggi masih di peringkat ujian dan pembangunan maka belum lagi dapat digunakan buat masa yang terdekat.

Tiada bukti klinikal untuk membuktikan bahawa mengambil makanan seperti  sup ketam , air jus delima atau apa –apa ubatan dan suplemen dapat membantu dalam merawat demam denggi.

Pencegahan lebih baik daripada rawatan

Antara amalan yang boleh dipraktikkan adalah langkah-langkah yang dapat mengelakkan diri daripada digigit nyamuk Aedes. Nyamuk Aedes lazimnya suka menggigit di waktu pagi dan di kala senja. Namun ini tidak bermaksud yang kita tidak akan digigit oleh nyamuk Aedes pada masa –masa yang lain.

Langkah yang boleh diambil termasuklah memakai seluar dan baju berlengan panjang, mengenakan baju yang terang, menutup tingkap pada waktu – waktu nyamuk Aedes aktif , dan juga memakai ubat nyamuk atau kelambu. Ada juga krim-krim yang berasaskan serai misalnya yang terdapat secara komersil di pasaran yang boleh digunakan sekiranya akan menjalani aktiviti di kawasan yang banyak nyamuk.

Namun , langkah yang lebih praktikal tentulah menghapuskan terus nyamuk Aedes daripada  membiak. Sebenarnya ia adalah sangat mudah sekiranya setiap individu memastikan keadaan kediaman dan persekitaran bersih dan bebas daripada menjadi tempat pembiakkan nyamuk Aedes.

Patsikan tiada air yang bertakung di dalam atau di luar rumah kita.  Kediaman yang mempunyai kolam  mandian bolehlah menggunakan ‘Abate’ iaitu sejenis ubat yang membunuh telur nyamuk Aedes. Ikan guppy juga boleh digunakan untuk menghapuskan telur nyamuk bagi mereka yang suka menanam tumbuh tumbuhan hiasan dalam pasu yang mempunyai takungan air yang banyak.

Marilah kita seluruh rakyat Malaysia bersama sama berganding bahu untuk menurunkan kes kes denggi serta kematian  yang diakibatkan olehnya.

Sertailah kempen kempen seperti #MsiaEndsDengue untuk menimbulkan kesedaran bersama dan ikutilah program – program yang dianjurkan di tempat anda seperti bergotong royong dan sebagainya.

Dr. Alya Hamzah merupakan pegawai perubatan paediatrik yang kini bertugas di Sabah. Beliau amat mementingkan pendidikan pesakit dan keluarga pesakit dalam memastikan rawatan yang diberikan adalah optimum. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Rujukan:

  • Paediatric Protocols for Malaysian Hospitals – 3rd edition
  • Centers for disease Control and Prevention –www.cdc.goV
  • www.who.int/denguecintrol/en/ 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box