De Quervain Tenosynovitis antara Punca Kesakitan pada Pergelangan Tangan- Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed

Seorang lelaki separuh abad melangkah masuk ke bilik konsultasiku dengan muka yang berkerut.

“Apa khabar Encik Ayub?”

“Saya dah sebulan tak bekerja doktor. Setiap kali saya pegang tukul, pergelangan tangan saya ni sakit sangat,” kata beliau bersungguh-sungguh sambil jari telunjuk kirinya terarah ke pergelangan tangan kanan beliau.

“Bagi saya periksa tangan Encik Ayub sekejap,”kataku sambil tersenyum. Saya sudah dapat mengagak masalah yang menimpa Encik Ayub ini. Lantas saya menampung pergelangan tangan kanan Encik Ayub.

“Cuba Encik Ayub buat macam ni,”kataku sambil membuat penumbuk tetapi dengan ibu jari terlipat ke arah dalam dan dikepal oleh keempat-empat jari yang lain. Encik Ayub hanya mengikut sahaja arahan saya.

“Baik, sekarang saya nak gerakkan pergelangan tangan Encik Ayub ni, kalau sakit Encik Ayub beritahu saya ya.” Dengan perlahan-lahan saya bengkokkan pergelangan tangan Encik Ayub.

“Aduhhh, duh duh sakitnya doktor!” Encik Ayub lantas menarik tangan beliau sambil mengaduh kesakitan.

“Maafkan saya ya Encik Ayub. Ini hanya ujian khas yang saya perlu buat.” Encik Ayub hanya mengangguk tanda faham.

De Quervein Tenosynovitis

Kondisi yang dialami oleh Encik Ayub ini dikenali sebagai ‘De Quervain Tenosynovitis’ di mana berlaku keradangan pada urat (tendon) di dalam 1st Extensor Compartment iaitu melibatkan tendon Abductor Pollicis Longus (APL) dan Extensor Pollicis Brevis (EPB) pada pergelangan tangan beliau.

Simptom

Simptom utama kondisi ini ialah kesakitan pada pergelangan tangan. Kesakitan ini menjadi lebih teruk sekiranya pesakit menggunakan tangan tersebut bagi membuat aktiviti terutamanya menukul, mengetuk atau bermain badminton ataupun pergerakan seumpamanya.

Pemeriksaan

unnamed-2Ujian pergerakan khas yang akan dilakukan dikenali sebagai ‘Finkelstein test’ seperti yang saya ceritakan di atas. Kedudukan tangan dan pergerakan pergelangan tangan sebegini akan menyebabkan kesakitan yang amat sangat sekiranya tendon-tendon ini mengalami keradangan. Ia adalah kaedah yang spesifik bagi mendiagnosis penyakit ini.

Rawatan

Rawatan bagi kondisi ini terbahagi kepada rawatan tanpa pembedahan dan pembedahan. Pada peringkat awal, doktor akan menawarkan rawatan tanpa pembedahan buat anda. Ia meliputi ubat anti radang, splinting dan fisioterapi.

Suntikan

Sekiranya ubat, splinting dan fisioterapi tidak berkesan, langkah seterusnya yang boleh diambil ialah dengan memberi suntikan pada kawasan yang mengalami keradangan tersebut. Suntikan yang biasa diberi ialah campuran ubat anti-radang (steroid) dan ubat bius setempat (lignocaine atau bupivacaine). Pesakit akan mendapat kelegaan serta-merta.

Selepas suntikan diberi, anda akan dinasihatkan untuk meneruskan rawatan splinting dan fisioterapi agar kondisi ini dapat sembuh dengan cepat.

Pembedahan

Pembedahan akan dilakukan sekiranya semua kaedah lain gagal. Pembedahan boleh dilakukan secara bius setempat dan hanya melibatkan bukaan luka yang kecil iaitu di antara 3 ke 5 cm. Semasa pembedahan dilakukan, selaput tendon Abductor Pollicis Longus (APL) dan Extensor Pollicis Brevis (EPB) akan dipotong bagi memberi ruang kepada tendon yang terperangkap.

Jika anda mempunyai masalah ini, saya nasihatkan anda segera mendapatkan nasihat doktor kerana ia adalah keadaan yang boleh dirawat.

Dr. Ahmad Mahyuddin seorang pakar bedah ortopedik di Pahang. Beliau juga penasihat The Malaysian Medical Gazette. Kenali beliau lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan

  1. Review of Orthopaedics 5th Mark D. Miller, page 287

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box