Cukai Tembakau di Malaysia : Pelaksanaan & Situasi di Malaysia #SmokeFreeMY – Dr Farizah Mohd Hairi

Sumber: www.libertynews.com

Sumber: www.libertynews.com

Semenjak tahun 1988, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menganjurkan Hari Tanpa Tembakau Sedunia bagi mempromosikan gaya hidup sihat dan bebas daripada penyakit yang berpunca daripada produk tembakau. Pada tahun ini ianya akan disambut pada 31 Mei 2014 dan bertemakan “Tingkatkan Cukai Ke Atas Tembakau” (“Raise Taxes on Tobacco”). Tema ini bertepatan dengan usaha Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) yang berulang kali, lebih-lebih lagi semenjak tahun lepas, menggesa kerajaan supaya menaikkan cukai eksais rokok sekurang-kurangnya 50 peratus sebagai langkah untuk mengurangkan jumlah penggunaan rokok dalam negara. Namun, semasa Belanjawan Negara 2013 yang dibentangkan pada 28 September lalu, tiada pengumuman kenaikan cukai rokok dibuat walaupun sebelumnya, Presiden Persatuan Pulau Pinang telah menyarankan sekiranya kerajaan benar-benar serius dalam membendung wabak merokok, harga rokok perlu dinaikkan kepada RM30 sekotak berbanding RM10 ketika ini, bagi sekotak rokok 20 batang. Ini kerana menggunakan “langkah cukai dan harga untuk mengurangkan permintaan bagi tembakau” merupakan cara berkesan untuk mengurangkan pengambilan rokok di  kalangan perokok dan menghalang mereka yang berpotensi untuk mula merokok (Jha & Chaloupka, 1999; Jha et. al., 2006). Langkah ini diiktiraf oleh pakar kawalan tembakau dan juga anggota dalam Rangka Kerja Konvensyen Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di mana Malaysia turut menjadi anggota sejak 2005. Oleh sebab itu, kerajaan perlu agresif melaksanakan Artikel Enam, FCTC yang mencadangkan agar cukai yang lebih berat dikenakan ke atas tembakau dan produknya.

Menurut kajian terkini yang dijalankan oleh Southeast Asia Tobacco Control Alliance (SEATCA) ,  jika cukai rokok dinaikkan sebanyak 10% pada setiap tahun , pihak kerajaan dijangka memperolehi lebihan cukai sebanyak 23% daripada keuntungan cukai yang sedia ada, dan juga akan dapat menurunkan jumlah perokok sebanyak 3.8%. Tambahan pula, polisi yang sama yang telah dijalankan di New Zealand dan Australia berupaya secara tidak langsung menurunkan jumlah perokok di negara tersebut.

Jika penjual dan perokok tempatan terjejas dengan kenaikan harga rokok, situasi ini akan mendorong mereka untuk memilih rokok seludup yang lebih murah dari harga pasaran dan mempunyai pelbagai pilihan Oleh sebab itu, kawalan terhadap jenayah penyeludupan rokok juga perlu dilipatgandakan. Ini adalah kerana kenaikan cukai akan mengakibatkan harga rokok naik, dan seterusnya penyeludupan rokok juga akan naik untuk memenuhi permintaan rokok murah. Namun, perkara ini hanyalah propaganda pihak pembuat rokok yang menakutkan kerajaan untuk tidak menaikkan harga rokok.

 Kaedah perlaksanaan dasar ini, iaitu meningkatkan cukai tembakau, seharusnya tidak membawa sebarang masaalah kepada pihak kerajaan kerana Malaysia merupakan ahli kepada Rangka Kerja Konvensyen Kawalan Tembakau (FCTC) yang menyarankan setiap ahlinya untuk mengurangkan jumlah perokok menerusi pelbagai kaedah termasuklah meningkatkan cukai tembakau di pasaran.

Dr Farizah Mohd Hairi adalah professor madya dan pakar perubatan kesihatan awam di Universiti Malaya. Beliau juga merupakan ahli majlis Malaysian Council for Tobacco Control (MCTC) dan ahli NARCC

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box