Colles fracture: Kepatahan Tulang Sendi Pergelangan Tangan – Dr Ahmad Mahyuddin

Seorang wanita berusia 60-an telah terjatuh di bilik air rumah beliau semasa beliau hendak mandi. Lantai yang licin menyebabkan beliau tergelincir lalu terjatuh. Beliau menggunakan tangan kanan beliau untuk menahan dirinya yang jatuh ke lantai.

“Praakk,” jelas bunyi itu kedengaran di telinga. Lantas, beliau mengalami kesakitan yang amat sangat pada pergelangan sendi tangan kanan beliau yang kelihatan bengkak dan bengkok seperti garpu.

 

Colles fracture

Colles fracture adalah kepatahan pada tulang radius di pergelangan tangan (distal end radius fracture). Ia kebiasaannya disebabkan oleh pesakit jatuh dengan tangan ke hadapan (‘fall on outstrecthed hand’ atau FOOSH).

Ia mempunyai beberapa kriteria. Antaranya ialah:

  1. Ia biasanya berlaku pada wanita yang berusia lebih 60 tahun dan telah putus haid (post-menopausal).
  2. Kepatahan berbentuk garpu (dinner-fork deformity) dengan bengkok ke luar (radial deviation) dan ke belakang (dorsal displacement). Biasanya kepatahan berlaku dalam 2.5cm daripada permukaan sendi.
  3. Tulang pesakit adalah rapuh (Osteoporosis).

Osteoporosis adalah keadaan dimana tulang menjadi rapuh dan mudah patah. Ia boleh diibaratkan seperti cengkerang telur. Anda boleh rujuk artikel saya mengenai Osteoporosis di sini https://www.mmgazette.com/osteoporosis-tulang-umpama-cengkerang-telur-dr-ahmad-mahyuddin/

Simptom

Pesakit yang kepatahan ini akan mengalami kesakitan pada tempat yang patah. Ia biasanya akan bengkok dan bengkak.

Jika kebengkakan atau kebengkokan terlalu serius, ia boleh menyebabkan peredaran darah terganggu dan tekanan pada saraf di pergelangan tangan. Jika ini berlaku, hujung jari pesakit akan menjadi sejuk dan kebas.

Rawatan

Kepatahan Colles ini boleh dirawat secara pembedahan atau tanpa pembedahan bergantung kepada konfigurasi kepatahan tersebut.

Tanpa Pembedahan

Apa yang saya ingin tekankan disini, bukan semua kepatahan Colles memerlukan pembedahan. Majoriti kes boleh dirawat secara ‘Tarik dan Simen’ sahaja (Closed Manual Reduction and Cast). Simen akan dipasang dari paras bawah siku dan perlu dipakai selama 6 minggu bagi membolehkan tulang baharu (callus) tumbuh. Selepas 6 minggu, simen akan dibuka dan fisioterapi akan dimulakan bagi memperkuatkan otot dan mendapatkan pergerakan sendi sepenuhnya.

 

Pembedahan

Pembedahan cuma akan dilakukan sekiranya perlu. Antara keadaan pembedahan perlu dilakukan ialah apabila tulang yang patah tidak dapat diletakkan dengan sempurna selepas ditarik dan disimen. Pembedahan melibatkan penggunaan implant yang khusus bagi memastikan ia dapat memegang tulang yang rapuh.

 

Nasihat

Nasihat saya, marilah kita sama-sama mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan kejatuhan daripada berlaku.

Jika kita atau ibubapa menjejaki usia tua atau menjaga ibubapa warga emas, pastikan kita mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan risiko kecederaan atau kepatahan di kediaman kita. Antara langkah-langkah yang saya boleh cadangkan di sini termasuk:

  1. Menyediakan pemegang (railing) di bilik air dan di sisi tangga
  2. Memastikan tiada objek yang menghalang pergerakan di dalam rumah
  3. Meletakkan alas kaki di dalam bilik air agar tidak licin
  4. Jika anda tinggal di kediaman 2 tingkat, saya cadangkan ibubapa anda tidur di bilik bawah.

Langkah-langkah ini akan dapat mengurangkan kekerapan mereka naik turun tangga sekali gus mengurangkan risiko jatuh.

Sekiranya anda atau ibubapa anda mengalami kepatahan ini, segeralah ke hospital yang berdekatan. Doktor akan berbincang dengan anda mengenai pilihan rawatan yang terbaik.

Rujukan

  1. Review of Orthopaedic Trauma, Brinker, page 277-279
  2. Review of Orthopaedics, Mark D. Miller 5th Edition, page 590

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box