Cahaya Ramadhan: Langkah Permulaan Tanpa Asap Rokok #HealthyRamadhan – Dr Mohd Shaiful Ehsan

stop-smokingBulan Ramadhan adalah bulan yang seringkali ditunggu oleh setiap umat Islam. Bukan sahaja kerana kemeriahan dan keberkatannya, tetapi juga faedah kesihatan yang bakal diperolehi bagi penganut yang mengamalkan ibadah berpuasa selama sebulan. Umat Islam dituntut untuk mengawal diri daripada mengikut hawa nafsu, termasuklah dari makan dan minum, iaitu bermula dari terbitnya fajar pada awal pagi, sehingga terbenamnya matahari, iaitu sekitar lapan jam sehari. Ini termasuklah apa jua jenis bentuk rokok, samada elektronik ataupun puntung rokok tembakau.

Merokok tergolong dalam penyakit ketagihan yang mana memerlukan rawatan. Justeru, perokok sememangnya sukar untuk berhijrah tanpa bantuan, dan semestinya memerlukan kecekalan dan semangat juang yang tinggi untuk berhenti daripada ketagihan merokok. Umat Islam bukan sahaja dilarang merokok ketika Ramadhan, tetapi juga ianya sebenarnya adalah haram kerana kesan keburukannya pada kesihatan. Ramadhan merupakan bulan untuk melatih diri sendiri agar lebih berdisiplin. Sekiranya perokok ditanya berkenaan kebolehan mengawal tabiat merokok ketika berpuasa, nescaya hampir semua akan menyatakan mereka berjaya untuk tidak merokok pada waktu siang.

Apakah yang mendorong mereka sebenarnya untuk mampu tidak merokok seketika?

Ini adalah kerana rangsangan untuk merokok sebenarnya hanya datang dan pergi, dan tidak senantiasa kekal di dalam fikiran. Kajian menunjukkan keinginan yang tinggi untuk merokok hanya akan berlegar selama 5 minit pertama, dan sekiranya perokok mampu melawan perasaan ini, mereka sebenarnya mampu untuk mengawal dan melengahkan keinginan merokok tersebut untuk sekian waktu sehingga rangsangan itu datang berlegar lagi. Ini dapat dilipat-gandakan dengan perasaan yang tinggi untuk tidak merokok oleh kerana pemahaman yang sedia maklum untuk tidak merokok pada siang hari dalam bulan Ramadhan dan kepercayaan yang tinggi terhadap kewajiban tersebut sebagai seorang muslim.

Keinginan merokok juga dikaitkan dengan aktivit yang senantiasa dimulakan atau diakhiri dengan merokok, yang mana telah sebati dengan amalan perokok tersebut. Contoh terbaik adalah menjamu selera. Iaitu ramai perokok merasa terangsang untuk merokok seusai habis menjamah makanan. Justeru, larangan untuk makan pada waktu siang secara tidak langsung dapat mengurangkan tabiat dan rangsangan merokok tersebut pada waktu siang.

Rangsangan merokok juga akan berkurangan pada waktu siang di bulan Ramadhan kerana tidak adanya asap-asap rokok berada di sekitar masyarakat umum yang mana mampu mengingatkan si perokok pada rokok. Ini kerana ianya boleh disabitkan kesalahan jika makan atau merokok pada waktu siang dalam bulan ramadhan bagi seseorang Muslim di Malaysia. Justeru, makin kuranglah rangsangan dari persekitaran dan rokok itu sendiri.

Apakah yang boleh dilakukan untuk melengahkan dorongan merokok tersebut?

Secara konsepnya, keinginan untuk merokok dapat dihalang dengan senantiasa menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti bertujuan melengahkan dorongan merokok yang akan berlegar selama sekitar 5 minit. Ini termasuklah; membasuh tangan, menulis, melakukan kerja, menaip, berjalan, menarik nafas dalam, berdoa dan sebagainya. Pendek kata “lakukan sesuatu!!!!”. Elakkan daripada melihat atau terlihat atau menghidu asap rokok yang mana mampu mengingatkan semula ingatan pada keinginan merokok. Seringkali lah berkata pada diri sendiri bahawa kita mampu melengahkan tabiat merokok tersebut dan yakinlah bahawa kita mampu melawan godaan tersebut yang hanya muncul seketika biarpun berulang kali.

Apakah yang boleh dilakukan bagi mereka yang bercadang untuk tidak merokok bermula Ramadhan?

Perokok yang mempunyai tahap ketagihan yang sederhana dan tinggi untuk merokok, tetapi bermotivasi untuk berhenti merokok, perlulah melakukan kunjungan awal di fasiliti klinik berhenti merokok samada di hospital atau klinik-klinik berdekatan sebelum ramadhan lagi. Ini adalah penting untuk mendapatkan nasihat yang berterusan daripada pihak perubatan dan farmasi berkenaan langkah-langkah awal yang perlu diambil dan menilai tahap ketagihan perokok. Antara bantuan yang boleh diberikan termasuklah memulakan ubat-ubatan berhenti merokok sebelum perokok mula berhenti merokok sekiranya perlu. Ubatan-ubatan ini boleh diambil biarpun pada bulan ramadhan iaitu boleh diambil pada waktu malam; pada selepas berbuka dan selepas bersahur, sejajar dengan ibadah puasa. Sebagai contoh pengambilan ubat verenicline yang perlu diambil selepas makan boleh diambil selepas berbuka puasa.

Perokok juga perlulah menetapkan tarikh yang dijangka merupakan tarikh terakhir merokok, seperti akhir Ramadhan atau sebelum Syawal. Tampalkanlah catatan tarikh tersebut di dinding bilik atau ruang tidur untuk senantiasa mengingatkan diri akan keazaman untuk berhenti merokok pada tarikh tersebut secara hakiki. Bayangkan Ramadhan sebagai tempoh persediaan jitu dan “universiti penuh disiplin” demi menghadapi hari terkahir merokok iaitu sebelum menjelang Syawal. Hebohkan juga pada ahli keluarga dan rakan-rakan berkenaan niat untuk berhenti merokok tersebut agar mereka memberi bantuan dan dorongan disamping peringatan sekiranya kita lalai atau terlupa. Akhir sekali, jadikankanlah azam untuk menjadi Muslim yang lebih sempurna dan mencuba sedaya upaya meninggalkan tabiat rokok sebagai salah satu jihad di dalam mencari keredhaan dan keberkatan di dalam Ramadhan.

Secara kesimpulannya, Ramadhan merupakan antara waktu yang berkesan bagi perokok yang bercadang untuk berhenti merokok. Namun begitu, sekiranya masih belum berjaya, usaha yang berterusan perlulah diteruskan. Kerana segalanya bermula dari keinginan diri sendiri, biar apa pun cabaran yang ada. Percayalah, segalanya masih belum terlambat. Mari mula berhenti merokok. Mari berkunjung ke klinik berhenti merokok. Salam Ramadhan dan Salam kesihatan buat semua!

 

Artikel ini ditulis oleh Dr Shaiful Ehsan.

Dr Shaiful Ehsan sedang melanjutkan pelajaran beliau untuk menjadi seorang Pakar Perubatan Keluarga dan kini merupakan seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau sangat mementingkan pendidikan kesihatan kepada semua pesakit beliau.

Rujukan:

  • Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Merokok Dari Pandangan Islam – Portal Rasmi Fatwa Malaysia. Retrieved 14 March, 2016 from http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/merokok-dari-pandangan-islam.
  • Malaysia, Minitsry of Health. Clinical Practice Guidelines on Treatment of Tobacco Use and Dependence 2003. Academy of Medicine of Malaysia; 2003.
  • Michael C. Fiore, Carlos Roberto Jaén, et al. Treating Tobacco Use and Dependence: 2008 Update. Retrieved from bphc.hrsa.gov/buckets/treatingtobacco.pdf

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box