Cabaran Seorang Pegawai Farmasi – Norvena Hisyam

_DSC8510“Encik, makan ubat darah tinggi ni satu biji sekali sehari. Yang ini tiga kali sehari. Sebulan dari sekarang sila datang untuk dapatkan ubat lagi”

Ayat di atas amat biasa didengari bagi pesakit yang saban bulan pergi ke farmasi di klinik-klinik kesihatan mahupun hospital. Kerap kali tempat bertugas kami menjadi tempat pesakit melepaskan kekecewaan sekiranya perkhidmatan yang diterima tidak memuaskan. Ini kerana, farmasi merupakan stesen terakhir sebelum pesakit pulang ke rumah.

Tetapi!

Apabila ayat-ayat yang magis seperti “Terima kasih banyak-banyak ye nak kerana ajarkan pakcik guna pen insulin” diterima, ia menjadi tonik ajaib kepada segala kepenatan kami di farmasi. Respons tersebut selalunya diperolehi apabila perkhidmatan yang optimum diberikan kepada pesakit.

Bayangkan senario berikut: pelanggan ke kaunter farmasi, mengikut tertib tanpa berebut dengan pesakit lain untuk mengambil nombor giliran, kemudiannya duduk menunggu sambil membaca risalah atau bahan bacaan yang disediakan. Dan apabila tiba giliran, dilayan pula oleh petugas di kaunter yang memberikan perkhidmatan dengan penuh berhermah berserta senyuman, tentunyamemuaskan hati. Di tambah pula dengan adanya para pegawai yang menerangkan dengan jelas dan sopan mengapa masa menunggu begitu lama, saya rasa tiada sebab untuk drama-drama kemarahan dicetuskan.

Tentu sekali faktor-faktor lain seperti kemudahan kerusi dan ruang menunggu yang mencukupi, peredaran udara yang baik atau apa sahaja yang berkait rapat dengan keselesaan pesakit dan petugas di fasiliti kesihatan tidak boleh dipandang enteng.

Tidak dinafikan bahawa semua peringkat petugas di fasiliti kesihatan memerlukan daya tahan emosi yang tinggi. Kekal profesional bukannya pilihan petugas, malah merupakan pakej yang datang seiring dengan ‘akujanji’ yang dibuat untuk berkhidmat kepada masyarakat. Cabaran berhadapan dengan pelanggan yang sakit amat berbeza sekali jika dibandingkan dengan pelanggan yang menunggu untuk mendapatkan perkhidmatan di pasaraya atau di bank, yang sihat fizikal serta mentalnya.

Pembekalan ubat oleh Pegawai Farmasi dan Penolong Pegawai Farmasi tidak terhenti setelah ubat bertukar tangan di kaunter. Tugas kami lebih daripada itu. Empat tahun di universiti tidak mengajar kami sekadar untuk duduk melabel ubat yang dipreskrib oleh para doktor dan mendispens ubat di kaunter semata-mata. Setiap ubat, apa fungsinya, tindakannya di dalam badan dan apa kesan sampingan yang biasa adalah antara kamus pembelajaran sebelum layak bergelar graduan. Malah semak silang untuk mengelakkan kesilapan pembekalan ubat adalah inti pekerjaan ini. Jika tiada langsung naluri untuk ‘mengesan dan membaiki’ sebarang kesilapan sebelum membekalkan ubat kepada pesakit di kaunter farmasi, tidak sempurnalah tugas kami sebagai Ahli Farmasi. Peratusan kesilapan yang berlaku akan menjadi sangat tinggi.

Bayangkan jika bayi menerima dos ubat demam lebih tinggi dari berat badannya, pesakit yang menghidap darah tinggi tetapi menerima ubat kencing manis yang tidak sepatutnya dan ubat luka yang sepatutnya tidak ditelan, tetapi telah diminum oleh pesakit. Semua ini mungkin boleh berlaku namun boleh dielakkan dengan adanya pegawai farmasi berjiwa besar serta amanah dengan tugasnya untuk memberikan perkhidmatan yang optimum kepada pesakit.

Saya tidak menulis untuk mengajar masyarakat umum tentang fasiliti kesihatan tetapi sekadar berkongsi pengalaman dan cabaran yang kami hadapi setiap hari. Untuk artikel akan datang, saya akan sentuh mengenai cabang-cabang lain dalam bidang perkhidmatan farmasi yang masih asing daripada pengetahuan masyarakat. Bidang belakang tabir inilah yang menjadikan kerjaya ini unik.

Norvena binti Hisyam adalah seorang pegawai farmasi yang bekerja di Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box