Bila Obesiti Menyusahkan Buah Pinggang- Dr Nur Hidayati

5910_1024x768px-624x468Makin ramai antara kita yang mengalami masalah obesiti. Malah, rakyat Malaysia berjaya mengungguli carta obesiti dan penyakit kronik di Asia Tenggara. Sayangnya, fakta kejayaan ini bukanlah sesuatu yang membanggakan malah amat membimbangkan.

Banyak yang merasakan masalah obesiti adalah masalah yang kecil. Malah, ada ibu bapa yang beranggapan kanak-kanak yang montel ini adalah tanda kanak-kanak yang sihat juga sebagai simbol status hidup mewah. Ini mengakibatkan adanya kanak-kanak Malaysia yang membesar dengan persepsi; obesiti adalah sesuatu yang normal dan tidak perlu dirisaukan. Tapi realitinya, mempunyai berat badan berlebihan boleh membawa kepada masalah kesihatan yang serius dan sukar diubati.

Tahukah anda golongan yang obes lebih cenderung untuk mengalami sindrom metabolic, yang boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang?

Adakah anda mengalami sindrom metabolik?

Anda dianggap menghidap sindrom metabolik sekiranya anda memiliki sekurang-kurangnya tiga dari lima faktor risiko berikut :

– tekanan darah tinggi

– HDL (kolesterol baik) rendah

– kandungan trigliserida dalam darah tinggi

– kandungan gula dalam darah tinggi

– peratusan lemak tertumpu di bahagian perut tinggi

Apabila seseorang menghidapi sindrom metabolik, mereka lebih cenderung untuk mengalami kombinasi penyakit kencing manis dan darah tinggi. Apabila dua penyakit ini bergabung dan tidak dikawal, buah pinggang anda akan rosak dengan lebih cepat dan akhirnya gagal berfungsi. Apabila buah pinggang gagal berfungsi, keadaan ini boleh membahayakan nyawa.

Maka amatlah penting bagi semua individu untuk mengawal penyakit kencing manis dan darah tinggi. Salah satu caranya adalah dengan memastikan anda mempunyai berat badan yang ideal. Jika berat badan anda lebih dari sepatutnya – terdapat banyak cara untuk anda mencapai berat badan yang sesuai. Antaranya :-

– Kurangkan pengambilan makanan bergoreng, berlemak dan mengandungi gula yang tinggi.

– Elak makan secara berlebihan dan tingkatkan pengambilan makanan berserat tinggi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

– Amalkan aktiviti fizikal atau senaman secara berjadual

Sememangnya tiada pil magis yang boleh menghilangkan berat badan yang berlebihan sekaligus mengubati sindrom metabolik dan obesiti. Hanya keazaman yang utuh untuk mengurangkan berat badan melalui tabiat pemakanan yang teratur serta senaman yang berterusan mampu mengubah tahap kesihatan anda.

Apa lagi yang anda tunggu? Anda mampu mengubahnya.

Dr Nur Hidayati seorang pakar perubatan yang sedang membuat pengkhususan dalam bidang nefrologi. Artikel ini ditulis sempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2017 pada 9 Mac 2017.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box