Bila Jantung Asyik Berdebar-Debar – Dr Nur Hidayati

Sumber: http://www.drholdright.co.uk

Sumber: http://www.drholdright.co.uk

Pernahkah anda rasa jantung anda berdegup terlalu laju sehingga anda sesak nafas? Pernahkah anda rasa pening sampai hendak pitam? Jika pernah – anda memerlukan pemeriksaan doktor kerana anda mungkin mengalami keadaan yang dinamakan aritmia jantung.

Apa sebenarnya aritmia jantung?

Aritmia jantung bermakna anda mempunyai degupan jantung yang tidak teratur. Jantung yang normal berdegup mengikut aturan ritma yang teratur. Jantung berdegup perlahan ketika anda berehat atau dalam keadaan tenang. Ia berdegup pantas ketika anda teruja, risau atau ketakutan. Ritma jantung dikawal sistem kawalan ritma kompleks yang terdiri daripada neuron dan aktiviti hormon.

Kadangkala, sistem ini mungkin bermasalah dalam sesetengah individu lalu menyebabkan degupan jantung yang tidak teratur. Aritmia jantung yang paling kerap terjadi dikenali sebagai fibrilasi atrium (AF). .

Apa yang terjadi jika anda ada fibrilasi atrium (AF)?

Apabila anda mempunyai AF, jantung anda berdegup dengan tak efektif. Ini menjadi punca darah bergumpal di dalam jantung dan gumpalan darah boleh naik ke otak, menyebabkan strok atau angin ahmar. Inilah sebabnya jika anda mempunyai AF, doktor akan menasihati anda supaya mengambil ubat pencair darah. Ubat ini berfungsi untuk menghalang darah bergumpal di dalam jantung.

Mengapa AF terjadi?

AF biasanya terjadi apabila anda mempunyai penyakit jantung seperti penyakit jantung iskemik dan tekanan darah tinggi kronik. Peningkatan hormon tiroid, pengambilan alkohol berlebihan berpanjangan dan sesetengah ubat juga boleh menyebabkan kerancuan degupan jantung. Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan orang menghidap AF – tiada punca yang dijumpai.

Apakah rawatan AF?

Ada beberapa cara mengawal AF. Doktor mungkin cuba mengembalikan ritma jantung normal menggunakan ubat atau arus elektrik. Dalam masa yang sama, anda akan ditawarkan ubat pencair darah juga.

Selain fibrilasi atrium, apakah lagi abnormaliti ritma jantung?

Jantung anda mungkin berdegup terlalu laju atau terlalu perlahan. Oleh sebab itu anda mungkin mengalami pening kepala, rasa berdebar-debar atau pitam. Jika anda mengalami gejala sebegini – anda patut berjumpa doktor.

Apa yang doctor akan lakukan pada diri saya?

Mereka akan menanyakan gejala-gejala yang anda alami dan memeriksa tubuh anda untuk tanda-tanda abnormal. Kemudian, mereka akan menjalankan siasatan yang melibatkan pemeriksaan darah atau merekod ritma jantung menggunakan mesin elektrokardiogram (ECG). Bergantung kepada dapatan pemeriksaan dan siasatan klinikal – ada kalanya anda mungkin perlu menjalani siasatan lanjut seperti merekod ritma jantung 24 jam (pemantauan Holter) atau Echocardiogram (prosedur pengimejan ultrabunyi untuk mencari abnormaliti dalam struktur jantung).

Bolehkah saya meneruskan aktiviti seperti biasa?

Bergantung kepada keadaan anda, kebiasaannya – anda boleh meneruskan aktiviti normal harian anda selagi mana anda berpegang kepada nasihat doktor dan mengambil ubat.

Dr. Nur Hidayati berkursus untuk menjadi pakar penyakit dalaman dengan minat yang mendalam kepada penyakit berjangkit dan nefrologi. Beliau seorang kolumnis tetap untuk Malaysian Medical Gazette. Kenali beliau di laman The Team.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

1 comment for “Bila Jantung Asyik Berdebar-Debar – Dr Nur Hidayati

  1. February 24, 2015 at 4:31 am

    asalamualaikun,saya ada mempunyai gejala seperti di atas, berlaku dalam 3 tahun kebelakangan ini, sering terjadi dalam tempoh 3 tau 4 hari dalam sebulan. saya juga pernah mendapatkan pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar selama 4 hari dan dimasukkan hospital akibat gejala pitam, doktok sudah membuat pemeriksaan rapi jantung saya dan mengatakan semuanya baik tiada saluran tersumbat, cuma bacaan degupan jantung sahaja laju dan mengatakan itu mungkin saya risau atau strees,1 . soalan, saya juga mengalami masalah selsema yang teruk, sehingga sukar bernafas, hidung sentiasa tersumbat rasa macam nak lemas, jantung pun berdegup laju, adakah itu boleh menjadi punca penyebab juga?2. apakah langkah pencegahan yang perlu saya buat3. saya tidak merokok, dan apakah makanan yang perlu saya elakkan,4. bolehkah penyakit ini pulihsekian terima kasih,-hairul- umur 29, melaka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box