Betapa Bahayanya Denggi #MsiaEndsDengue – Dr Khoo Yoong Khean

Source: www.topnews.in

Sumber: www.topnews.in

Pengenalan dan Epidemiologi

Bekerja dalam negara beriklim tropika, mustahil untuk tidak mengendalikan kes demam denggi. Tahun demi tahun, kita telah mengadakan banyak kempen kesihatan berkenaan demam denggi. Dari iklan televisyen hinggalah ke jerayawara. Tetapi demam denggi masih menghantui negara membangun seperti Malaysia. Ini membuktikan demam denggi merupakan satu masalah yang besar, bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 40% daripada penduduk dunia berisiko menghidap denggi dan 50 ke 100 juta kes dilaporkan setahun. Penyakit ini dilihat merebak dari negara tropika ke negara-negara seperti Portugal, Perancis dan Croatia.

Di Malaysia, demam denggi sedang meningkat naik daripada 6,000 kes pada 1995 hingga lebih 40,000 pada 2010, dan angka ini masih terus meningkat.

Apakah demam denggi?

Demam denggi ialah penyakit bawaan vektor, dibawa oleh dua jenis nyamuk, Aedes aegypti dan Aedes albopictus. Ia disebabkan oleh virus dengan 4 serotaip tersendiri, DENV-1 ke 4. Setiap serotaip memberikan kelalian sepanjang hayat selepas jangkitannya tetapi jangkitan berturutan dengan serotaip lain mungkin menyebabkan kerumitan denggi yang lebih berbahaya.

Ia mempunyai tempoh pengeraman (tempoh antara pendedahan kepada penyakit dan terbit gejala) 4 ke 7 hari selepas digigit nyamuk dan biasanya bertahan 3 ke 10 hari tanpa apa-apa komplikasi. Jangka waktu penyakit ini biasanya terbahagi kepada tiga fasa; fasa demam, fasa kritikal dan fasa pulih.

Source: blog.docsuggest.com -

Sumber: blog.docsuggest.com –

Fasa demam

Demam ialah gejala yang pertama sekali timbul. Fasa ini biasanya bertahan dua ke tujuh hari dan pesakit akan mengalami sengal tubuh dan sendi, sakit kepala (biasanya sakit retro-orbit, di belakang mata), pening, loya (rasa hendak muntah), muntah dan lesu tubuh badan (rasa penat, tidak bermaya dan tidak bertenaga).

Penyiasatan darah pada awal fasa demam boleh jadi normal atau semata-mata menunjukkan ciri-ciri penyakit bawaan virus. Oleh itu, selepas meriwayatkan sejarah dengan teliti, dan betul-betul disyaki denggi, doktor biasanya akan meminta ujian darah diulang untuk mengesahkan diagnosis demam denggi.

Terdapat juga pendarahan ringan pada mukosa seperti gusi berdarah dan aliran haid berat pada wanita.

Fasa Kritikal

Inilah fasa bahaya jangkitan denggi. Ia biasanya bermula pada hari ketiga hingga kelima penyakit. Dalam beberapa kes, ia mungkin selewat hari ketujuh. Fasa ini bertahan selama 24 ke 48 jam.

Dalam fasa ini, ketelapan kapilari bertambah. Cecair dalam badan meresap keluar daripada pembuluh darah, menyebabkan pendarahan, pengumpulan cecair dalam organ seperti peparu dan penyahhidratan.

Terdapat beberapa tanda amaran yang diawasi oleh doktor untuk menentukan keparahan penyakit, iaitu:

  1. Muntah berterusan.
  2. Kelesuan (rasa penat, kurang bermaya dan kurang bertenaga).
  3. Pendarahan mukosa (contohnya: berdarah gusi, hidung, aliran haid berat)
  4. Sakit perut berterusan.
  5. Rasa sakit apabila abdomen diperiksa.
  6. Bukti pengumpulan cecair dalam peparu.
  7. Perubahan keputusan ujian darah.

Jika penyakit tidak dirawat dengan baik pada ketika ini, pesakit boleh terenjat dan seterusnya mati.

Fasa pulih

Seperti namanya, fasa ini ialah apabila tubuh mula pulih. Cecair yang tiris keluar daripada pembuluh dara diserap semula, gejala-gejala awal beransur hilang dan kebugaran am pesakit bertambah baik. Ruam denggi yang tipikal mungkin muncul dalam fasa pulih ini.

Source: ryannreyes.tumblr.com

Sumber: ryannreyes.tumblr.com

Apakah rawatannya?

Dalam fasa demam, kebanyakan pesakit boleh dirawat sebagai pesakit luar dan tidak perlu ditahan di wad, melainkan ada kerumitan-kerumitan lain.

Demam denggi ialah penyakit virus dan rawatan utamanya ialah simtomatik/mengikut gejala. Doktor akan menilai status pesakit dan jika dianggap selamat untuk didiscaj, kebiasaannya, rawatan ialah mengawal demam dengan ubat anti piretik/anti demam seperti Paracetamol. Pesakit digalakkan untuk minum air dengan banyak pada masa ini.

Dalam siri lawatan ke klinik atau hospital, ujian darah akan diulang untuk menilai dan mengesahkan diagnosis denggi. Bergantung kepada status hidrasi dan ujian darah, doktor mungkin menahan pesakit di wad untuk pemerhatian.

Pada masa ini, cecair akan diberi secara intravena untuk membantu tubuh kekal terhidrat. Dalam kes-kes yang teruk, pemindahan darah adalah diperlukan. Sejurus tamat fasa kritikal, cecair intravena akan dihentikan dan pesakit akan dibenarkan pulang apabila dia mampu minum sendiri dengan baik.

Komplikasi demam denggi

Nyahhidratan yang teruk dan ketirisan cecair ialah musuh utama. Ini akan menyebabkan kegagalan kitaran (kegagalan tubuh badan mengekalkan bekalan darah yang cukup kepada organ penting dan meneruskan fungsi jasmani yang normal) pada pesakit dan berupaya mengakibatkan maut. Virus denggi juga diketahui menyebabkan hepatitis (bengkak dan radang hati). Doktor akan memantau fungsi hati anda dengan ujian darah. Dalam kes-kes pendarahan yang teruk, pemindahan darah adalah perlu.

Source: niswarthsewa.org

Sumber: niswarthsewa.org

Bagaimana mencegah denggi?

Mencegah lebih baik daripada mengubati, dan demam denggi tidaklah terkecuali. Adalah penting untuk memastikan tiada air bertakung di sekeliling rumah demi mencegah pembiakan nyamuk. Sesetengah kejiranan ada kerja-kerja pengasapan nyamuk secara berkala. Jika anda berjalan ke tempat di pedalaman, contohnya aktiviti meredah hutan, penghalau serangga juga berguna.

Demam denggi ialah satu penyakit bermaklum di bawah Kementerian Kesihatan dan kes-kes yang disahkan akan diziarah dan disiasat oleh pegawai kesihatan. Kawasan terjejas denggi akan diasapkan (fogging).

Rumusan

Masyarakat dan pegawai kesihatan seharusnya berwaspada dalam mengesan dan mengurus kes-kes denggi. Pengesanan awal demam denggi terbukti boleh menyelamatkan nyawa.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mempunyai inisiatif demam denggi yang sangat aktif seperti Global Alert and Response Program (Program Amaran dan Respon Global), iaitu suatu sistem amaran dan respon global dan bersepadu untuk epidemic dan lain-lain kecemasan kesihatan awam. Untuk maklumat lanjut, layari http://www.who.int/csr/en/index.html.

Buat masa kini, vaksin denggi masih belum boleh didapati, tetapi usaha sedang berjalan untuk mencapainya pada masa terdekat. Untuk maklumat lanjut mengenai usaha pembangunan vaksin denggi, layari http://www.denguevaccines.org/.

Dr. Khoo Yoong Khean ialah Editor Pengurusan Malaysian Medical Gazette. Kenali beliau di laman The Team. Artikel ini diterjemah oleh Encik Azizul Ismie Mohd Puad. Artikel asal terdapat di sini

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

 

Rujukan:

1 comment for “Betapa Bahayanya Denggi #MsiaEndsDengue – Dr Khoo Yoong Khean

  1. Dr JuMN
    February 9, 2015 at 12:55 pm

    Artikel yang baik dan terima kasih kerana terjemahan ke bahasa malaysia..
    Beberapa komen saya,ada beberapa ayat2 yang nampak terlalu direct translation from english, menyebabkan maksud ayat x sampai dengan betul, contohnya: mustahil untuk tidak mengendalikan kes demam denggi….mungkin lebih sesuai guna perkataan menjumpai / berlakunya / terjadinya..; aliran haid berat mungkin lebih sesuai guna aliran atau pendarahan haid yang banyak; increase capillary permeability sepatutnya diterjemah sebagai kebolehtelapan salur darah kapilari meningkat (bukan ketelapan yg meningkat); Fasa ini bertahan selama 24 ke 48 jam, perkataan bertahan tidak sesuai, perlu diganti dengan perkataan seperti dianggarkan berlaku, mengambil tempoh ke atau yg lebih sesuai..perkataan kebugaran am ditukar kepada kesihatan pesakit secara umum, kerumitan patutnya tulis aje komplikasi, fogging sepatutnya ditulis sebagai penyemburan asap dan lain-lain kesilapan ejaan seperti pembuluh dara…dan sebagainya..
    Penggunaan bahasa yang baik adalah penting untuk menarik perhatian pembaca dan memudahkan pemahaman terutamanya bagi mereka yang bukan di dalam bidang perubatan/kesihatan..
    Mohon di ambil perhatian
    Terima kasih..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box